JANGAN ROSAKKAN HATI HAMBA ALLAH YANG INGIN KENAL KEPADANYA!
Sama-samalah
kita membaiki dan mendidik hati kita dengan sifat TAQWA,IKHLAS DAN
REDHA. Semoga Allah menjadikan hati kita ini, terang-benderang dengan
cahaya KASIH SAYANGNYA sehingga kita dapat dekat kepadaNya.
AKHIR
ZAMAN kini ternyata ramai manusia tercari-cari kebenaran. Oleh itu ada
di antara mereka yang dibukakan Allah HIJAB HATI MEREKA untuk menerima
HIDAYAH sehingga tekadlah diri mereka itu untuk masuk Islam. Di seluruh
dunia kini orang sedang sibuk memperkatakan Islam baik dari sudut
positif mahupun sebaliknya. Bilangan manusia yang ‘terselamat’ kerana
Islam bertambah ramai dari masa ke semasa sehinggakan dunia pun jadi
cemburu dengan perkembangan ini.
Sebagai umat
Islam yang prihatin, kita amat mengalu-alukan kemasukan saudara baru ke
dalam Islam dan berbesar hati untuk membimbing mereka sedaya-upaya kita
supaya mereka menjadi manusia yang lebih baik dari sebelumnya. Di sini
terletak kepentingan gerakan dakwah dan kebajikan Islam dalam memainkan
peranan yangsepatutnya. Lebih-lebih lagi pihak yang bertanggungjawab
membawa mereka kepada Islam, mereka inilah yang akan menjadi ‘role
model’ dan tempat rujuk saudara baru ini. Mereka inilah sebenarnya yang
bakal mencorak jiwa, rohani dan jasmani saudara baru ini supaya mereka
berjalan seiring Kehendak Allah.
Malangnya ada
diantara kita yang jadi acuh tidak acuh terhadap saudara baru.
Maklumlah, saudara baru ini kadang-kadang tergolong dari manusia yang
berwatak kasar dan kurang sopan. Ada yang keras kepala dan ada yang mahu
tunjuk pandai. Ini semua perkara biasa, lebih-lebih lagi mereka belum
faham akhlak Islam dan belum menempuh proses kerohanian yang bakal
mencantikkan akhlak dan peribadi mereka. Terdapat juga kisah-kisah di
mana, saudara baru kita ini merajuk dan membawa diri kerana tidak diberi
layanan yang baik oleh orang-orang yang diharapkan dapat membantu
mereka mengharungi hidup baru sebagai orang Islam. Di sini kita harus
membuka ruang yang lebih luas kepada mereka agar mereka merasa selesa
dan diperlukan. Kasihanilah mereka kerana ada antara mereka itu yang
dibuang dari keluarga kerana masuk Islam, ada juga yang diugut bunuh,
putus saudara, hilang pekerjaan dan diceraikan suami atau isteri.
Luangkanlah sedikit masa bersama mereka, hiburkan hati mereka dengan
cerita-cerita positif dan cuba penuhi hajat mereka sekadar termampu.
Bagi
yang ‘berada’, bantulah saudara baru kita dengan harta benda dan wang
ringgit kerana ada antara mereka yang hidup miskin sebelum masuk Islam.
Umat Islam yang berilmu pula, rajinkanlah diri untuk mentarbiah
pemikiran dan hati saudara baru ini sehingga mereka faham tentang hal
Islam, Iman, Ihsan, Tauhid, Syariat, Akhlak, Fardhu Ain dan Fardhu
Kifayah. Bagi yang mempunyai kuasa, ambil peduli hal kebajikan saudara
baru supaya wujud pertalian yang kukuh antara masyarakat dan saudara
baru. Berilah mereka peluang-peluang pekerjaan yang lebih baik kerana
ada antara mereka yang sebelum memeluk Islam bekerja di tempat-tempat
yang dilarang Syariat.
Jika kita berusaha membaiki
hal-hal sebegini, maka akan bertambah ramailah manusia yang rasa
beruntung dalam Islam dan kekal bersamanya sampai bila-bila. Pimpinlah
mereka sehingga mereka jadi sebaik atau lebih baik dari yang memimpin.
Tanamkan sifat kasih sayang dalam hati mereka, juga sifat ikhlas, sabar
dan tawakal supaya diri mereka itu mudah dilentur mengikut ajaran Islam
dan bersemangat menghadapi ujian dalam kehidupan. Janganlah kita mudah
melenting jika dihujani soalan yang bertubi-tubi kerana hati mereka
sebenarnya tidak sabar-sabar ingin kenal kepada Allah.
Atas
tujuan INGIN KENAL ALLAH lah orang-orang ini masuk Islam. Kita
seharusnya mempermudahkan jalan-jalan untuk mereka mengenal ALLAH. Allah
lah yang telah memenuhi hati-hati mereka sehinggakan mereka jadi begitu
ghairah untuk beribadat, berjuang dan hidup dalam Islam. Janganlah kita
yang sepatutnya jadi pembimbing, merosakkan hati mereka ini dengan
sikap dan akhlak buruk kita terhadap mereka. JANGAN ROSAKKAN HATI HAMBA
ALLAH YANG INGIN KENAL KEPADANYA!
0 comments:
Post a Comment