“Sesungguhnya telah
datang kepadamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (Nabi Muhammad
SAW) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang
ditanggung olehmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, ia pula
menumpahkan perasaaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang
yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling & engkar, maka
katakanlah (wahai Muhammad), Cukuplah bagiku ALLAH (yang menolong &
memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan DIA, kepada
DIA lah aku berserah diri, dan DIA lah yang mempunyai Arash yang Agung.”
(At Taubah: 128-129)
Zaman
kini manusia yang banyak ilmu agama diangkat setinggi-tingginya. Nama
mereka meniti di bibir setiap masyarakat yang mengenali mereka. Ada yang
dipanggil ustaz, ustazah, al hafiz dan pelbagai gelaran lagi. Mereka
adalah pemikul amanah agama antaranya mentarbiah dan melaksanakan
tuntutan-tuntutan Islam dalam masyarakat.
Di sebalik
kesibukan mereka berdakwah dan membetulkan keadaan masyarakat, diri
mereka itu juga diuji oleh Allah di beberapa sudut yang sesuai dengan
taraf mereka sebagai ulama dan guru agama. Antara yang diuji adalah IMAN
dan TAQWA. Tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang guru atau
'orang-orang agama' dilihat oleh Allah dengan cara meletakkan
rintangan-rintangan berupa hasutan dunia dan nafsu Ammarah dalam
perjalanan mereka. Ibarat jika diberikan DUNIA apakah dia masih mahu
meneruskan kerjanya atau apabila sudah dapat DUNIA, adakah dia mudah
menjual prinsipnya.
Persoalan yang sebegini akan
ditempuh oleh setiap guru agama dan orang-orang agama. Mereka akan
ditekan dengan perasaan yang bercelaru dan sukar untuk membuat pilihan.
Ujian IMAN yang sebegini amat rumit kerana dalam pemikiran mereka timbul
suatu perasaan yang mereka ingin menggunakan kesempatan dunia untuk
lebih banyak melakukan kerja-kerja dakwah dan pentarbiahan. Orang agama
yang diberikan pangkat pada mulanya akan berjanji dan bernazar ingin
bekerja bersungguh-sungguh demi agama. Pada dirinya dirasakan hasrat
yang sebegini nampak murni dan boleh diteruskan. Mereka dinaikkan ke
tahap yang lebih baik dan peningkatan ini dirasakan mereka hasil
daripada ilmu agama yang dipelajari selama ini. Diri mereka semakin gah
di kalangan manusia, mereka menjadi lebih popular dan lebih ’selesa’
berada di kedudukan ini. Jadi pada bahasa ringkasnya, orang agama pada
permulaan, akan diuji Imannya dengan pangkat dan kedudukan. Begitulah
seterusnya mereka diuji dan diuji lagi sehingga mereka melalui seluruh
ujian KEIMANAN yang disediakan Allah. Oleh sebab guru agama atau orang
agama ini tunjang kepada pembangunan Islam, mereka ini mestilah
mempunyai KARISMA yang tinggi dan AKHLAK yang boleh dicontohi.
Seorang
guru yang baik mampu meyakinkan masyarakat kepada dakwah yang
disampaikannya. Seorang anak murid yang yakin kepada gurunya akan berani
menyeberangi titian gantung yang usang jika diarah berbuat demikian.
Namun ujian KETAQWAAN adalah ukuran sebenar kepada tahap keimanan
seseorang guru agama atau orang-orang agama. Adakah dia benar-benar
percaya dengan apa yang disampaikannya? Adakah keimanannya terhadap ilmu
Allah sama seperti keimanan golongan masyarakat yang ditarbiahnya atau
lebih baik atau kurang dari mereka?
Jadi UJIAN TAQWA
itu sebenarnya suatu ujian keimanan terbesar lebih dari ujian pangkat
dan kekayaan dunia. TAQWA adalah sumber kekayaan yang sukar diperoleh.
Hanya dengan latihan dan ujian kerohanian, seseorang manusia itu dapat
memperoleh TAQWA. Jika seseorang manusia itu merasa TAQWA itu dapat
sampai kepada mereka tanpa usaha maka mereka sebenarnya tertipu. TAQWA
akan datang dengan amal kebaikan, dengan pengorbanan, dengan hati yang
ikhlas, dengan tawakkal dan dengan meminta-minta kepada ALLAH.
SEBAGAI
UMAT ISLAM yang beriman kepada Hari Kiamat, kita terpaksa menempuh
akhir zaman ini dengan pelbagai jenis kekeliruan. Hanya Iman
(foundation) yang kukuh dan murni sahaja dapat menyelamatkan diri kita
dari kecundang di dunia dan di Akhirat.
TAQWA itu ibarat
roh kepada Iman, iaitu apa yang kita percayai dan kita buat mengikut apa
yang dipercayai. Tanpa taqwa, iman jadi tidak bermaya, jadi pegun tidak
berubah, tahap iman tetap sama bertahun-tahun kerana tiada peningkatan
yang berupa kesedaran. Kita hanya jadi Islam pada kulit namun di dalam
jiwa masih kososng dan tercari-cari tujuan belajar agama. Ilmu
pengetahuan bertambah sepanjang masa, namun diri sebenarnya semakin jauh
dari Tuhan. Lebih malang lagi sekiranya wujud rasa dalam hati yang diri
sudah selesa dan dekat kepada Allah. Mereka yang ada rasa begini
sebenarnya masih lagi terawang-awang di kayangan.
AMALAN ZAHIRIYAH
Islam
ialah amalan zahiriyah manakala Iman ialah amalan batiniyah (hati).
Dengan kata lain jika Iman kuat, Islam pasti kuat. Tetapi kalau Islam
(zahirnya) yang kuat belum tentu imannya kuat. Kuat di sini bermaksud
ada TAQWA. Jangan kita jadi orang yang kuat beramal tetapi lemah
Imannya. Matlamat kita ‘KUAT BERIMAN DAN KUAT BERAMAL.
Firman Allah dalam Surah Al Asr:1-3,
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu semuanya berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang BERIMAN dan BERAMAL SOLEH.”
MAKSUD TAQWA
TAQWA
ada pelbagai maksud. Ada yang dikatakan takut, ada yang mengatakan
menyerah diri kepada Allah. Sebenarnya apabila kita mula rasa (dalam
hati) BERCITA-CITA HENDAK BAWA ALLAH dalam kehidupan kita, itulah
langkah pertama dalam proses menjadi orang yang ada TAQWA.
KUNCI
Kuncinya
ialah RASA INGIN BERTUHAN, TAKUT dan GEMENTAR dengan Tuhan yang
diselang-selikan dengan RASA SEDAP, LAZAT dan TENANG apabila kita
menyebut atau mendengar NamaNya. Ianya ibarat seseorang yang rindukan
Rasulullah SAW, sebak di dadanya apabila melihat nama Nabi atau membaca
kisahnya. Pendek kata apa jua yang didengarnya, dilihatnya atau
dibacanya mengenai Allah membuatkan dia rasa sebak di dada dan wujud
rasa Allah itu Maha Ada di sanubarinya.
IMAN BERKARAT
Sebahagian
manusia dan orang agama yang Imannya belum teruji atau pun dia tertewas
dalam ujian KEIMANAN masih boleh membaiki kelemahan ini. Sebenarnya
mereka belum mampu mengesan penyakit-penyakit yang menghijab hati
mereka. Iman mereka masih lagi ‘berkarat’ dan sebenarnya perlu digilap
agar cahaya kesedaran dan kasih sayang Allah dapat masuk ke dalamnya.
Ciri-ciri orang yang mempunyai IMAN BERKARAT antaranya mereka cepat
marah, mudah tertekan, keluh-kesah jika diuji, cepat juga bangganya bila
dipuji. Ibadahnya banyak, ilmunya juga bukan kepalang. Dirinya megah
dengan kedudukan yang dimilikinya. Pakaiannya seperti alim ulama, akhlak
zahirnya cukup terserlah, cakapnya tentang agama lantang dan serius,
namun sering saja dia mendahulukan dirinya dalam hal yang
menguntungkannya. Orang lain sering ditinggalkan di belakang malah
adakalanya mereka menjadi cerewet tentang hal duniawi. Hati-hati mereka
ada sifat yang tidak disukai Allah antaranya bakhil, riya’, ‘cakap tidak
serupa bikin’, gila popular, bergaduh dengan jiran tetangga,
takut-takut menegur orang atasan dan yang paling parah lagi, sikap tidak
ikhlas.
PANDANGAN ALLAH
Hati mereka tidak terlatih
walaupun diri zahir banyak melakukan solat, zikir, puasa, haji dan
dakwah. Orang begini walau berapa banyak pun dakwahnya pada masyarakat,
tidaklah ia dapat mengubati penyakit masyarakat kerana kesan dakwahnya
pada hati pendengar tidak ketara. Masalah tidak dapat diselesaikan dan
keruntuhan moral orang yang dibimbingnya tidak dapat diatasi. Penyakit
(hati) begini perlu diberi perhatian agar tidak memakan diri. Sebagai
manusia, kita dilihat oleh Allah mengikut darjat ketaqwaan. Taqwa itu
pula tidak boleh dimiliki dengan ilmu-ilmu yang dipelajari. Ia datang
melalui latihan, amalan, ujian, kesedaran, hidayah dan petunjuk dari
Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jika sudah ada taqwa,
manusia yang banyak ilmu tadi akan jadi pendakwah yang berjasa kepada
orang ramai, memiliki akhlak yang tinggi serta semakin kenal kepada
dirinya dan Allah SWT. Jika orang yang bertaqwa tadi adalah orang
kebanyakan, dia tetap dapat menyumbang kepada masyarakat dengan menjadi
orang baik-baik dan disukai Allah. Dari sinilah UMMAH YANG DIPANDANG
ALLAH akan lahir.
UMMAH YANG DIPANDANG ALLAH
Rahsia
kejayaan para nabi dan orang soleh ialah menjaga hubungan baik dengan
Allah. Mereka berhati-hati dalam hal batin (hati). Nafsu mereka
ditundukkan terlebih dahulu sebelum mereka memulakan dakwah sebab itulah
para sahabat itu digelar RADIALLAHU ANHU yang bermaksud ‘yang redha dan
diredhai’. Ketaqwaan yang semacam inilah yang cuba diperjuangkan oleh
orang-orang soleh antaranya Salahuddin Al Ayubi, Sultan Muhammad Al
Fateh dan angkatan Wali Songo. Usaha mereka dalam membawa agama Allah ke
kedudukan yang tinggi bermula dari RASA TAKUT dan CINTA kepada Allah.
Mereka akhirnya bangkit di kalangan umat Islam yang lain dengan membawa
pejuangan yang lebih berani dan suci. Mereka adalah insan-insan yang
berusaha mendapatkan RESTU ILAHI, agar Islam dapat ditegakkan dan
masyarakat dapat kembali dekat kepada Allah. Perjuangan yang mendapat
RESTU ALLAH akan jadi lebih mudah walaupun tentangan datang dari segenap
penjuru.
Firman Allah dalam Surah Al Luqman ayat ke 8,
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh akan memperoleh Syurga yang penuh kenikmatan.”
PERIKSA KUALITI IMAN
Jadi
di sinilah pentingnya IMAN YANG ADA TAQWA berbanding IMAN BERKARAT
tadi. Iman mendahului amalan yang baik. Orang yang mengaku beriman
tetapi tidak mahu beramal adalah penipu. Orang yang beramal tetapi tidak
beriman terang-terang tertipu. Sedarlah kita betapa RUGINYA kerja yang
tidak didorong oleh iman yang ada TAQWA. Periksa hati sendiri, apakah
beriman atau tidak dan BAGAIMANA KUALITI IMAN KITA itu. Orang yang
beriman sudah tentu akan beramal. Tetapi orang yang beramal belum tentu
benar-benar beriman. Dan orang lain yang langsung tidak beramal, lagi
lemahlah imannya atau langsung tiada iman.
“Allah tidak melihat kepada rupamu dan hartamu (gambaran lahir) tetapi Dia melihat hati kamu dan amalan kamu.”
(Riwayat Muslim)
IMAN
YANG TIDAK DIGILAP IBARAT GERABAK KERETAPI YANG BERKARAT, TIDAK DAPAT
BERGERAK, DIBIARKAN TERBENGKALAI DAN TIDAK DIBAIKI. AKHIRNYA KERETAPI
ITU TIDAK AKAN MENDATANGKAN APA JUA MANFAAT KEPADA ORANG RAMAI.
0 comments:
Post a Comment