SIKAP-SIKAP HALUS YANG BERADA DALAM DIRI MANUSIA BIJAKSANA
Kumpulan
manusia yang bijak itu memiliki ilmu dunia, ilmu agama, ilmu kehidupan
atau pun ketiga-tiganya. Ilmu sangat penting dalam Islam. Pelbagai jenis
ilmu wujud dalam Islam sehinggakan kalau dipecahkan mengikut kategori
tertentu akan lahirlah beribu-ribu macam ilmu baru. Ibu segala ilmu
ialah Dua Kalimah Syahadah yang diucap oleh seluruh penghuni langit dan
bumi sejak dari awal penciptaan. Para Nabi dan Rasul menguasai manusia
dengan bantuan wahyu, ilmu, akhlak dan ketaqwaan. Begitu juga manusia
biasa yang ingin menurut jejak langkah para nabi dan rasul serta orang
soleh, sekurang-kurangnya perlu memiliki keempat-empat ciri asas
berkenaan. Manusia bijak tanpa bimbingan wahyu akan jadi seperti Stephen
Hawking atau Noam Chomsky. Mereka tidak percaya kepada tuhan atau
percaya kepada tuhan selain Allah. Manusia bijak itu terdapat dalam
golongan ilmuan dunia, para pemimpin, ulama, pendakwah, pejuang agama,
pejuang kemanusiaan, orang kenamaan atau orang kebanyakan. Tidak kira
mereka berada di kedudukan mana sekali pun, kebijaksanaan hanyalah suatu
alat untuk membezakan ketinggian akal masing-masing.
BAHAYA GOLONGAN PEMIMPIN
Golongan
pemimpin yang bijak jadi bahaya apabila mereka terlebih banyak memiliki
ilmu dunia. Mereka yang bijak ini pandai memanipulasi keadaan
sehinggakan manusia tertipu dengan kepalsuan mereka. Agama hanya jadi
alat untuk mencapai matlamat dengan cara menjerat manusia-manusia cetek
pengetahuan supaya mempercayai perjuangan mereka. Begitu juga sekiranya
mereka ini berjuang untuk menegakkan demokrasi atau sosialisme atau
zionisme, konsep yang sama diterap supaya perjuangan nampak bersesuaian
dengan keadaan semasa. Kebijaksanaan begini dipakai oleh kebanyakan
pemimpin yang gila kuasa atau mahu berkuasa dalam tempoh yang lama.
Cita-cita mereka sama seperti Firaun dan Haman yang beriya-iya mahu
menipu tuhan sehingga akhirnya terjerat dengan kesombonagn diri. Salah
satu penyakit jiwa yang dihadapi manusia selain gila harta ialah gila
kuasa, pangkat, jawatan dan kedudukan. Mereka berebut ingin menjadi
pemimpin sungguh pun antara mereka mempunyai kapasiti akal yang cukup
terhad.
Ada apa dengan kuasa?
Mereka
yang mencari peluang untuk menjadi pemimpin akan menggunakan segala aset
kurniaan Allah yang ada pada dirinya untuk menarik sokongan orang ramai
terhadapnya. Pemimpin yang sebegini masih kurang bahayanya jika
dibandingkan dengan individu yang bercita-cita merebut kerusi kepimpinan
dengan cara menjatuhkan individu yang lain. Orang yang tergila-gila
mahu jadi pemimpin juga akan berusaha sekeras-kerasnya supaya setiap
kesalahan orang yang di atasnya itu dapat didedahkan kepada umum supaya
rosak segala reputasi pemimpinnya itu di mata masyarakat. Namun pemimpin
yang sedia ada juga bekerja habis-habisan untuk mempertahankan kerusi
kepimpinan sehingga berlakulah pertarungan demi pertarungan untuk
merebut kerusi yang paling atas.
Yang lebih parah lagi
ialah apabila pemimpin yang sudah terlalu lama duduk di atas kerusi
kepimpinan tidak mempunyai hasrat untuk berundur. Adakalanya, jawatan
ketua itu mahu disandang mereka sampai mati. Orang-orang bawah yang
sudah terlalu meluat melihat gelagat pemimpin, akhirnya menjauhkan diri
kerana mereka tahu peluang untuk jadi pemimpin telah tertutup.Manusia
yang sebegini menjadi duri dalam daging bagi sesuatu organisasi kerana
mereka sebenarnya gunting dalam lipatan yang hanya menunggu peluang
untuk menghancurkan individu yang berada di atas. Manusia lapisan kedua
ini, jika diberi kuasa pastinya akan mengulangi perbuatan mentor-mentor
mereka kerana mana lagi mahu tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi? Putaran
yang sebegini akan terus-menerus berlaku di sepanjang zaman di kalangan
manusia-manusia rakus dunia dan gila pangkat.
Jadi
tidak hairanlah pemimpin selalu panas punggung dan sakit jantung.
Sekiranya cepat mati, pasti ada orang yang bergembira. Oleh itu apa ada
pada kuasa kalau kuasa yang ada tidak digunakan untuk mencetak orang
bertaqwa, mendekatkan diri dan masyarakat kepada Allah atau digunakan
untuk menegakkan hukum-hakam Allah?
Menjadi pemimpin
dan menjadi orang yang mengejar-ngejar kerusi kepimpinan adalah dua
karakter yang sama. Mereka ini mahu duduk di sana untuk menunaikan
kepentingan peribadi lebih dari kepentingan orang bawahan. Manusia yang
sebegini sebenarnya tidak takut Tuhan. Apatah lagi mahu meninggikan
syiar Islam. Lebih baik orang-orang begini tidak memperjuangkan agama
Allah kerana agama pun boleh tergadai di tangan mereka. Inilah yang
dikatakan pada awal tadi bahawa mereka yang gila kuasa sebenarnya
mempunyai kapasiti akal yang terhad.
Pemimpin Islam
masa kini harus mencontohi kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda tidak
terburu-buru mengejar kemahsyuran atau pun tersua-sua muka mencari
pengikut. Sewaktu baginda diangkat menjadi pemimpin Madinah baginda
sebenarnya dijemput datang ke sana untuk menyatukan suku kaum Aus dan
Khazraj. Bagaimana pula baginda boleh terkenal di madinah sedangkan
baginda tidak bebas bergerak selama 13 tahun tinggal di Makkah? Apakah
yang menyebabkan orang Madinah yakin dengan kepimpimpinan baginda?
Sebenarnya
yang menjadi ukuran kepimpinan Rasulullah s.a.w ialah kebijaksaan,
keadilan dan ketinggian akal baginda di samping mempunyai personaliti
yang luar biasa. Baginda rasulullah terkenal dengan sifat rendah diri
dan baik hati. Sewaktu ‘Fathah Makkah’ baginda masuk ke kota
kelahirannya itu dengan menundukkan kepala, lalu memaafkan seluruh
orang-orang Makkah yang pernah menyakiti orang Islam. Pemimpin yang
berhikmah seperti rasulullah amat sedikit di kalangan umat Islam. Kalau
ada pemimpin Islam yang bijaksana pun, mereka kebanyakannya
berkepentingan diri dan penuh dengan muslihat jahat yang membelit
kehidupan umat Islam.
BAHAYA GOLONGAN ULAMA
Ulama
yang dimaksudkan di sini ialah ulama yang tidak dapat memberi faedah
kepada masyarakat. Mungkin kebanyakan ahli Al Quran itu digelar Al
Hafiz, namun tidak semestinya mereka hidup cara Al Quran. Lebih parah
lagi apabila seseorang ulama itu bijak menggunakan kesempatan untuk
menonjolkan dirinya ke tengah masyarakat, bermegah-megah dengan ijazah
atau kesarjanaan, gila-gila mengejar populariti, bertungkus-lumus
mendapat tempat di hati pemerintah yang korup, menjadi penjilat
punggung-punggung mereka (bukan dengan niat untuk membetulkan) dan
menjadikan agama sebagai alat untuk meraih keuntungan dunia. Terdapat
dua jenis ahli agama iaitu ulama yang bertungkus-lumus membetulkan
pemerintah dan masyarakat atau sejenis lagi yang membodek-bodek
pemerintah, merosak masyarakat dan yang makan gaji. Rosaknya masyarakat
kerana rosaknya para ulama. Kejamnya pemerintah kerana kejamnya para
ulama. Ulama bijak juga terbahagi dua iaitu ulama bijak yang bertaqwa
atau ulama bijak yang buta, tuli, pekak dan bisu. Ulama kategori kedua
ini perlu dijauhi selaras dengan hadis rasulullah s.a.w , antara
maksudnya “… jangan kamu duduk bersama ulama melainkan ulama yang
membawa lima perkara daripada lima perkara iaitu ulama yang membawa dari
keraguan kepada keyakinan, dari riya’ kepada ikhlas, dari cinta dunia
kepada zuhud, dari bongkak kepada tawadhuk dan dari perkelahian kepada
nasihat (kedamaian)…”
BAHAYA PEJUANG AGAMA DAN PEJUANG KEMANUSIAAN
Kebijaksanaan
dalam berjuang sangat diperlukan dalam perjuangan. Tetapi kebijaksanaan
pejuang agama dan pejuang kemanusiaan terbatas kepada objektif mencapai
matlamat perjuangan masing-masing. Banyak manusia mahu turut sama
berjuang demi membaiki keadaan dunia namun akhirnya tertipu dengan
perjuangan yang rupa-rupanya mempunyai cita-cita politik dunia.
Perjuangan sebegini sangat merbahaya kerana pengorbanan boleh jadi
sia-sia. Jadi kebijaksanaan tidak digunakan untuk membangun Islam
sebaliknya agama itu hanya menjadi alat untuk mencapai matlamat dunia.
Fenomena ini terjadi di mana-mana. Akibatnya, perjuangan itu juga akan
turut gulung tikar sepertimana pejuang-pejuang lain sebelum mereka.
Mereka mempunyai semangat perjuanagn yang tinggi namun tiada keteguhan
hati untuk menempuh tipu daya dunia. Akhirnya perjuangan entah ke mana,
kehidupan pula semakin jauh dari landasan taqwa.
BAHAYA MANUSIA BIASA YANG BIJAK DALAM AGAMA
Manusia
kelompok ini menyangka agama itu boleh diambil sebahagian dan yang
sebahagian lagi boleh ditinggalkan. Mereka ini adalah sebahagian
kelompok manusia yang berpegang kepada fahaman sekular dan sosialis.
Orang sebegini merasakan Islam tidak relevan secara keseluruhan tetapi
tidak pula menolak sebahagian undang-undang yang ada di dalamnya. Begitu
juga manusia yang belajar ilmu Syariat merasa mereka sudah cukup ilmu
agama dan menolak tasawauf dan kerohanian. Orang belajar tasawuf tapi
menolak syariat dan akhlak Rasulullah SAW. Mahu hidup cara Islam tapi
tidak suka berpandukan mazhab. Orang ikut Al Quran tetapi meninggalkan
Sunnah. Memiliki ilmu kerohanian tetapi tidak mempraktikkan akhlak
mulia. Segelintir dari manusia memikirkan logika terbaik untuk
fahaman-fahaman yang dianutinya sedangkan Islam itu telah sempurna
ditangan Rasulullah SAW. Maksud sempurna di sini ialah Islam itu terlalu
luas. Luas yang bagaimana? Wujud bermacam-macam hal FURUIYAH atau
cabang yang timbul dalam agama dimana jika dikumpulkan semuanya akan
kembali kepada tunjang yang satu, akidah yang satu, syariat yang satu
dan akhlak yang satu. Menolak salah satunya akan mengakibatkan Islam
yang ada pada kita jadi cacat. Manusia itu bijak dalam mengambil
bahagian-bahagian agama sehinggakan mereka berani berhujah
mempertahankan kepercayaan masing-masing. Golongan manusia yang sebegini
wujud dalam setiap agama. Sebagai contoh, di dalam agama Kristian
terdapat perpecahan perkara pokok yang sangat ketara sehingga tahap
kafir-mengkafiri antara mereka. Di kalangan penganutnya lahir pelbagai
mazhab yang melibatkan konsep ketuhanan dalam agama itu sendiri.
Akhirnya agama kristian hanya menjadi gagah di sudut fizikalnya sahaja,
namun maruahnya sudah lama hancur dek kerana berkonflik terlalu lama.
Inilah yang terjadi kepada agama yang tidak sempurna, sehinggakan mahu
bercerita tentang keesaan Allah pun belum tentu ada jawapannya.
BAHAYA ORANG YANG BIJAK DAN PENTINGKAN DIRI SENDIRI
Sikap
yang sebegini wujud di dalam setiap golongan masyarakat. Baik dalam
kepimpinan, keagamaan sehinggalah kepada orang kebanyakan, penyakit
inilah yang sering menghantui perjuangan dan kehidupan manusia. Pemimpin
yang ada kepentingan akan melupakan pengorbanan dan keadilan. Ulama
yang ada kepentingan akan menggadai nabi dan tuhan. Manusia bijak pandai
yang berkepentingan hanya memikirkan keuntungan. Orang kebanyakan yang
ada kepentingan tidak rela dirinya ketinggalan. Jadi manusia yang ada
kepentingan hanya akan bekerja untuk dirinya sendiri walau apa pun jenis
pakaian kehidupan yang dipakainya. Usahanya hanya untuk kepentingan
diri atau keluarga supaya dipandang tinggi manusia dunia. Kadang-kadang
personaliti mereka nampak elok, di mata masyarakat mereka bertata
susila. Seperti perwatakan Presiden Amerika, pemimpin Eropah dan
orang-orang politik, mereka memakai imej-imej mulia sehinggakan tidak
terlihat pada diri mereka perbuatan-perbuatan jahat yang mereka lakukan.
BAHAYA UMAT ISLAM YANG TIDAK YAKIN, TIDAK FAHAM ATAU MERASA SUDAH FAHAM ISLAM
Golongan
yang bersikap begini dapatlah diistilahkan sebagai golongan yang
berpura-pura. Islam itu diambil di beberapa sudut sahaja. Contohnya,
sebuah syarikat menjual produk Islam, namun praktis pengurusannya lebih
kurang sama dengan bukan Islam. Umat Islam berurusan tentang agama,
tetapi apabila berjanji sentiasa berunsur khianat, apabila berniaga
sentiasa berunsur muslihat. Begitu juga yang terjadi kepada manusia
beragama Islam yang luarannya nampak Islam tapi di hatinya masih keji,
hitam dan berhasad dengki. Golongan yang sebegini juga sebenarnya duri
dalam daging Islam kerana orang bijak yang sebegini susah untuk
diperbetulkan kerana mereka sudah merasa cukup dengan apa yang mereka
ada.
TAQWA SEBAGAI PENGUKUR DIRI, PENAWAR RACUN DUNIA, AKHLAK TERCELA DAN MASALAH HATI
Wahyu
adalah panduan umat Islam dalam menempuh segala macam hal dunia dan
akhirat. Untuk faham wahyu kenalah ada ilmu supaya apa yang kita faham
bertepatan dengan apa yang Allah mahu. Selepas ada ilmu baikilah diri
sehingga wujud akhlak terpuji supaya terubat personaliti. Semuanya itu
untuk satu tujuan agar dapat melatih diri sehingga dapat taqwa kerana
hanya dengan ketaqwaan sahaja diri menjadi mulia di sisi Allah SWT.
Taqwa itu akan dimiliki oleh semua orang tidak kira bijak, atau kurang
bijak. Di kedudukan mana sekali pun manusia itu, taqwa akan tetap
menjadi habuan bagi sesiapa yang berusaha mendapatkannya.
0 comments:
Post a Comment