BERSAMA MUSTAFA KAMAL
Kerana Badiuzzaman terkenal dengan
permusuhannya terhadap para penjajah, maka beliau diundang ke Ankara -
pusat gerakan perlawanan oleh Mustafa Kamal supaya bergabung dengan
mereka. Akan tetapi beliau menolak undangan tersebut dan berkata, “Saya
ingin berjihad di tempat paling membahayakan dan bukan di belakang
parit. Saya berpendapat bahawa tempat saya ini adalah lebih berbahaya
daripada Anatolia.” (27)
Akan tetapi undangan demi
undangan selalu datang kepada beliau sehingga beliau mengutus beberapa
muridnya ke Ankara, kemudian beliau sendiri datang ke sana pada 1922M
menjelang Aidil Adha. Beliau di sambut dengan sangat meriah di Setasiun.
Akan tetapi beliau tidak suka berada di Ankara kerana kebanyakkan wakil
rakyat tidak mendirikan sembahyang dan tingkah-laku mereka serta
tindakan-tindakan Mustafa Kamal yang memusuhi Islam juga membuatnya amat
sedih. Oleh kerana itu beliau memutuskan untuk mencetak keterangan pada
19 Januari1923M yang mengandungi sepuluh hal yang ditujukan kepada
wakil rakyat untuk menasihati dan mengingatkan mereka akan Islam. Beliau
memulakannya dengan kata-kata, “Wahai para utusan, sungguh kalian akan
dibangkitkan di Hari kiamat kelak.” Akibat dari keterangan yang
disebarkan kepada para wakil rakyat tersebut oleh Jeneral Kadhim Karh
Bakar, ketua pertama gerakan kemerdekaan, hampir enam puluh orang wakil
menjadi komited kepada agama dan mereka mendirikan solat sehingga masjid
di bangunan dewan rakyat tidak cukup menampung jama’ah sehingga mereka
berpindah ke ruangan yang lebih besar.
Mustafa Kamal
tidak rela terhadap keterangan tersebut. Dia memanggil Badiuzzaman dan
terjadilah pertengkaran sengit antara keduanya. Mustafa Kamal berkata
kepada beliau, antara lainnya, “Tidak syak lagi kami memang memerlukan
Sheikh yang pintar seperti kamu. Kami mengundangmu ke sini untuk
memanfaatkan pendapatmu yang penting. Tapi justeru hal pertama yang kamu
lakukan di sini adalah berbicara mengenai solat kepada kami. Usaha
pertemuan di sini hanyalah menimbulkan perpecahan di kalangan wakil
rakyat.” Badiuzzaman menjawab sambil menudingnya dengan jari, “Basha… oh
Basha… Hakikat tersebar setelah iman adalah sembahyang. Orang yang
tidak sembahyang adalah pengkhianat dan hukum pengkhianat adalah
tertolak.” (28)
Setelah itu Mustafa Kamal berfikir
untuk menjauhkan Badiuzzaman dari Ankara dengan alasan beliau dilantik
sebagai penasihat umum di wilayah timur dengan gaji yang tinggi. Akan
tetapi beliau menolaknya.
PENINGGALANNYA
Kita
melihat bahawa Badiuzzaman selama ini iaitu setelah kedatangannya dari
tawanan dan selama tinggal di Istanbul dan Ankara, telah menerbitkan
risalah-risalah dan buku-buku dalam bahasa Turki dan Arab.
Yang
pertama kali diterbitkannya adalah “Isyarat al-“Ijaz”, kemudian pada
tahun1921M “Qazil ‘Ijaz” dalam ilmu logik. Kemudian pada tahun 1922M
beliau menerbitkan “as-Sunuhat”. Pada tahun 1923M beliau telah
menerbitkan risalah-risalah berikut: Rumuz. Isyarat. Thulu’at, Lama’at,
Syu’a at min Ma’rifah Nabi s.a.w. dan Nuqtah min ma’rifatillah.
Di Ankara beliau menulis “Dzail adz-Dzail”, “al-Hibab” dalam bahasa Arab dan beberapa bahagian “al-Mathnawi al-Arabi an-Nuri”.
Di
dalam risalah-risalah ini beliau telah memberikan bukti-bukti yang
pasti akan kewujudan Allah dan keesaan-Nya. Itu dilakukannya untuk
menghadapi arus keraguan, kemurtadan dan kejauhan dari agama yang telah
muncul di kalangan orang-orang yang kagum dengan Barat. Beliau
menggambarkan keadaan ini di dalam mukadimah risalah “ath-Thabi’ah”
sebagai berikut:
Saya diundang mengunjungi Ankara 1338H
/ 1922M. Saya menyaksikan kegembiraan kaum Mukminin dengan kekalahan
Yunani berhadapan dengan tentera Islam. Akan tetapi saya melihat selama
gelombang kegembiraan ini, kefasikan yang hebat sedang merangkak dengan
jahat dan penuh mekar. Ia menyelinap dengan ajaran-ajarannya yang rosak
ke dalam aqidah kaum Mukminin yang taat untuk merosak dan meracuninya.
Saya sedih sekali dan saya meminta tolong kepada AllahYang Maha Tinggi
lagi Maha Kuasa dan berlindung dengan ayat berikut: “Rasul-rasul mereka
berkata: “Apakah ada keraguan pada Allah, Pencipta langit dan bumi?”
(Surah Ibrahim: 10) dari kehancuran yang mengerikan yang akan
menghancurkan rukun-rukun iman dan membongkar asas-asasnya, maka saya
datang membawa dalam kandungan risalah ini bukti kuat, tajam dan hebat
untuk memotong kepala kefasikan tersebut dan mencabut akar-akarnya. Saya
karang dalam bahasa Arab dan saya ambil maknanya dan idea-idea dari
cahaya suci ayat di atas untuk membuktikan dengan jelas kewujudan Allah
dan keesaan-Nya. Saya cetak di percetakan Yani Kawun di Ankara. Akan
tetapi saya belum merasakan pengaruh bukti yang kuat tersebut di dalam
melawan kefasikan dan menghentikan arusnya di telinga orang-orang.
Sebabnya menurut perkiraan saya kerana ia terlalu ringkas dan amat
global sekali. Tambahan lagi, ramai yang tidak tahu bahasa Arab di Turki
dan jarang orang memperhatikannya pada waktu itu, sehingga sayangnya
bahang kemurtadan itu telah tersebar di kalangan orang banyak. Hal ini
membuat saya mengulangi penulisan risalah ini dengan bukti-buktinya
dalam bahasa Turki dengan sedikit tambahan keterangan sehingga berbentuk
seperti ini.” (29)
PEMERGIAN KE WAN PADA 1923M
Badiuzzaman
meninggalkan Ankara setelah merasakan dari dekat keadaan yang buruk
pada dewan rakyat dan merasa ada niat jahat yang tersembunyi terhadap
Islam pada ramai anggotanya. Beliau sangat sedih sehingga beliau
memperbanyakkan tahajjud dan ibadah serta mengadu kepada Allah Ta’ala
atas keadaan kaum Muslimin. Beliau banyak menghabiskan masanya di Wan,
dekat dengan salah satu daerah lama yang dihancurkan dan ditinggalkan di
pergunungan Ark. Beliau terus beriftikaf dan mengasingkan diri.
Seolah-olah Allah mempersiapkannya untuk menghadapi situasi hebat dan
taufan perosak yang hampir melanda Islam.[1] Kata salah seorang murid
mengenainya, “Beliau mendirikan sembahyang tahajjud setiap malam, Saya
kadang-kadang melihatnya ketika beliau sedang sembahyang sehingga saya
tidak boleh tidur. Dan ketika melihat saya terjaga, beliau
berkata,“Selagi kamu terjaga, maka marilah menyertai saya berdoa.” Saya
tidak mampu membaca sebarang doa sehingga beliau berkata, “Saya akan
berdoa dan kamu mengaminkannya.” Kadang-kadang saya mengantuk sekali
ketika berdoa. Beliau memandang saya dan berkata, “Saya dahulu juga
sepertimu. Nanti kamu akan terbiasa.” (30)
----------------------------
[1]
Salah seorang muridnya, Mustafa Songghor meriwayatkan, “Sheikh
menggunakan masa lima jam setiap malam tanpa kecuali untuk berdoa dan
beribadah sehingga beliau berumur lapan puluh tahun. Akan tetapi setelah
umur sekian, beliau hanya menggunakan dua jam setiap malam untuk
sembahyang tahajjud dan beliau membaca doa wiridnya pada waktu siang.”
PEMBERONTAKAN SYEIKH SAID BIRAN
Sebuah
pemberontakan meletus di wilayah timur Turki di bawah pimpinan
SyeikhSaid Biran, seorang pemimpin yang menonjol di kalangan kaum
Kurdis. Pemberontakan ini ditujukan untuk melawan politik Mustafa Kamal
yang membangkitkan kemarahan rakyat kerana sikapnya yang memusuhi Islam.
Menjelang
terjadinya pemberontakan, Syeikh Said Biran mengirim beberapa surat
kepada Said Nursi memintanya bergabung dengannya dalam pemberontakan
menentang pemerintahan Ankara. Akan tetapi beliau menolak kerana beliau
tidak mahu menumpahkan darah kaum Muslimim yang bebas di dalam
pergerakan yang tidak ada harapannya.
Berikut ini catatan dialog antara beliau dan Husein Basha salah seorang pemimpin kaum Kurdis:
Husein
Basah: Saya ingin minta pendapatmu dalam satu perkara. Tenteraku telah
siap sedia dan kuda-kuda pun ada. Demikian pula senjata dan harta benda.
Saya menunggu perintahmu.
Said Nursi: Apa yang kamu katakan? Apa niatmu? Siapa yang akan engkau perangi?
Husein Basha: Kami akan memerangi Mustafa Kamal.
Said Nursi: Siapa tentera Mustafa Kamal?
Husein Basha: Apa katamu.. mereka ada tentera?!
Said
Nursi: Tenteranya adalah penduduk kerajaan ini. Mereka adalah kaum
kerabatmu dan kerabatku. Jadi siapa yang engkau bunuh? Dan siapa pula
yang akan mereka bunuh? Befikirlah… dan fahamilah! Kamu hendak seorang
saudara membunuh saudaranya!
Husein Basha: Mati adalah lebih baik daripada kehidupan seperti ini.
Said Nursi: Apa dosa kehidupan ini? Jika engkau bosan dengan kehidupanmu maka apakah dosa kaum Muslimin yang lemah ini?
Husein
Basha: (Bingung) Engkau telah memusnahkan himmah dan keinginanku. Saya
tidak tahu bagaimana saya akan menemui kaumku yang tengah menunggu
kepulanganku. Mereka akan menyangka saya adalah pengecut. Saya telah
mensia-siakan harga diriku di antara kaumku.
Said Nursi: Bagaimana jika harga dirimu kosong di kalangan manusia tetapi engkau diterima di sisi Allah Ta’ala?
Ketika
Husein Basha mengatakan kepada beliau bahawa dia ingin menerapkan
syari’at Islam dengan pemberontakannya itu. Said Nursi berkata, “Apakah
engkau ingin menerapkan syari’at Islam? Menerapkan syari’at itu bukan
dengan jalan ini. Jika saya mengatakan kepadamu, “Hai Husein, kemarilah
bersama tenteramu yang berjumlah tiga ratus orang itu untuk menerapkan
syari’at, maka tenteramu ketika menuju ke sini akan merompak dan
merampas serta membunuh orang-orang yang mereka lewati di jalan. Ini
menyalahi syariat.” (31)
Hal ini menunjukkan bahawa
Sheikh Said Nursi di samping tidak mahu mengalirkan darah kaum Muslimin,
tidak percaya kepada orang-orang tersebut dan setakat mana kesedaran
mereka terhadap Islam serta di tahap mana kemampuan mereka menerapkan
Islam.
Akan tetapi sikapnya yang demikian itu tidak
menyelamatkannya dari kemarahan pemerintah Ankara kerana setelah
memadamkan gerakan Syaikh Said Biran, pemerintah mula menangkap
ketua-ketua kabilah Kurdis dan mengasingkan mereka kekota-kota lain
serta mengawasi mereka. Dan meskipun Sheikh Said Nursi beribadah sepenuh
masa di puing-puing rumah yang telah ditinggalkan di puncak sebuah
gunung, akan tetapi pemerintah mengutus tentera untuk menangkapnya,
padahal kabilah-kabilah di kota Wan iaitu di tempat tinggal Sheikh Said –
juga tidak turut serta dalam pergerakan ini kerana pengaruhnya.
PENANGKAPAN DAN PENGASINGAN 1925M
Pasukan
itu naik ke gunung dan menangkap ulama’ yang sedang mengkhususkan diri
untuk beribadah itu. Beliau dibawa ke Istanbul melalui Erzurum lalu di
Trabozan. Perjalanan itu ditempuhi dengan gerabak yang ditarik oleh
kuda-kuda di atas salji yang menyelimuti pergunungan pada musim dingin
beku itu.
Beliau tinggal di Istanbul dalam pengawasan
selama dua puluh hari. Kemudian keluarlah perintah untuk memindahkannya
ke kota Bourdur. Beliau tinggal di sana selama tujuh bulan. Selama di
sana beliau menggunakan untuk beribadah dan mengarang risalah
“al-Madkhal ila an-Nur” iaitu pelajaran Al-Qur’an yang ditulis dengan
tangan dan dibahagi-bahagikan kepada murid-murid dan pencintanya. Dan
dari sana beliau dipindahkan sekali lagi ke Sparta untuk beberapa bulan.
KE BARLA DI ATAS SAMPAN
Mereka tidak membiarkannya lama di sana kerana perintah pengasingannya keluar lagi. Kali ini ke Barla yang jauh.
Syaukat
Demirayi tentera yang ditugaskan untuk memindahkan Sheikh Said Nursi ke
Barla, menceritakan kenangannya sebagai berikut, “Saya berada di kota
Igridir ketika mereka menyuruhku datang ke pejabat polis pusat pada pagi
hari minggu. Saya datang ke sana. Di sana ada komandan dan ketua polis
serta para anggota majlis daerah dan juga seorang yang berserban berumur
sekitar empat puluhan memakai jubah dan nampak berwibawa.
Ketua
polis berkata padaku, “Dengar sini. Kamu harus membawa Syaikh kita yang
terkenal dengan gelaran Badiuzzaman ini ke Barla. Tugasmu ini sangat
penting. Jika kamu telah menyerahkannya kepada pegawai di sana, suruhlah
mereka menandatangani surat rasmi ini dan memberitahu kami.” Saya
mengatakan, “Baik tuan.”
Saya keluar bersama Syaikh. Di
jalan saya berkata padanya, “Wahai Syaikhku, engkau saya anggap seperti
orang tuaku. Dan ini adalah tugas yang dibebankan kepadaku oleh itu
saya harap engkau tidak marah kepadaku.”
Syaukat
meneruskan ceritanya mengenai perjalanannya dengan sampan.
Katanya,“Cuaca pada waktu malam dingin. Musimnya memang dingin. Air
danau membeku di sana sini. Salah seorang pengawal sampan di bahagian
depanku memecahkan salji dengan tongkat panjang di tangannya sehingga
membuka jalan bagi sampan.”
Syaikh Badiuzzaman
membahagi-bahagikan kismis basah dan manisan kepada kami. Saya
memperhatikan beliau dan saya dapati beliau sangat tenang kerana
sentiasa bertafakkur di danau dan pergunungan di sekitar kami.
Kerana
siang hari pendek, maka waktu sembahyang asar pun tiba dengan cepat.
Beliau ingin bersembahyang dengan berdiri, maka sampan itu kami putarkan
ke arah kiblat. Kemudian saya mendengar suara takbir “Allahu Akbar”.
Selama hidup saya belum pernah mendengar suara takbir dengan nada yang
kusyuk dan berwibawa seperti itu. Saya merasakan bulu remang ditubuhku
berdiri. Pergerakan Syaikh tidak seperti pergerakan orang-orang tua yang
kami kenal. Kami berusaha supaya sampan tetap mengadap ke arah kiblat.
Dan ketika Syaikh selesai sembahyang, beliau menoleh kapada kami seraya
berkata, “Terima kasih wahai saudara-saudaraku. Saya telah melaporkan
kalian!” Beliau adalah orang yang rendah hati dan berakhlak mulia.” (32)
0 comments:
Post a Comment