"Pada hari itu tidak berguna harta dan anak kecuali mereka yang pergi membawa hati yang selamat sejahtera”. (As Syuara’: 88-89)
Sekiranya
kita kategorikan seluruh manusia yang hidup di dunia ini, tidak kiralah
apa bangsa dan agamanya, mereka itu dapat dipecahkan kepada beberapa
golongan. Terdapat 6 kumpulan manusia yang paling utama iaitu:
- Pemimpin dan orang politik.
- Ulama’ dan para cerdik pandai.
- Orang kaya dan ahli ekonomi.
- Orang miskin.
- Golongan muda-mudi (suami-isteri).
- Kaum ibu dan kanak-kanak.
Mereka
hidup dan berjuang dalam bidang masing-masing dengan cara dan matlamat
yang pelbagai. Oleh sebab hala tuju jalan-jalan yang penuh berliku dan
bersimpang-siur, maka berlakulah pergeseran, pertembungan dan
perlanggaran yang akhirnya melahirkan kacau-bilau dan kelam-kabut,
suasana tidak terkawal yang hujung-hujungnya mencetuskan pergaduhan dan
membawa kepada pembunuhan, peperangan dan kekacauan.
Pemimpin
tidak adil, kuasa disalah gunakan, menindas, kepentingan peribadi
diutamakan, korup dan akhirnya rakyat serta masyarakat terbiar.
Kebajikan dan peluang kehidupan yang baik tertutup malahan jurang antara
miskin dan kaya menjadi terlalu ketara.
Pada siapa hendak mengadu?
Segelintir
ulama’ akhir zaman pula tidak mampu dan tidak mahu mendidik atau
mentarbiyah pemimipin dan masyarakat. Ilmu agama yang diperoleh
dipergunakan antaranya untuk mencari makan dan mengejar kemasyuran.
Agama Islam terbiar dan umatnya terus jahil serta dipermainkan. Mereka
lebih takut pada kutukan-kutukan penguasa dan manusia daripada takut
teguran Allah SWT.
“Telah timbul berbagai
kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang
telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana
Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan
perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka
kembali (insaf dan bertaubat)”.
Ar Rum: 41
Orang-orang
kaya pula pemberi rasuah dan penghisap darah. Harta yang ada pemberian
Allah dikumpulkan hanya untuk kepentingan sendiri. Hiduplah mereka
dengan rumah-rumah bak mahligai dan istana, dikelilingi sahabat handai
yang setaraf, orang-orang gajian yang ramai, kenderaan-kenderaan yang
memenuhi ruang, kelab-kelab bola sepak, kapal-kapal mewah dan
wanita-wanita simpanan. Maka beramal jariahlah mereka dengan hasil-hasil
yang bercampur halal haram dan bermegah-megahlah mereka dengan
usaha-usaha mereka itu semata-mata ingin meninggikan status mereka pada
mata manusia padahal pada hakikatnya merekalah yang ’merompak’ hak-hak
orang miskin tanpa sedikit pun rasa bersalah.
Orang-orang
miskin pula tidak sabar apatah lagi untuk redha dengan kemiskinan. Si
miskin berhempas pulas untuk memenuhi keperluan hidup. Namun seperti
orang kaya, mereka juga tidak mengira soal halal dan haram demi
memenuhkan keinginan nafsu serakah. Hasad dengki dan dendam kesumat
bermaharaja lela dalam hati-hati orang miskin dan orang kaya.
Suami
tidak bertanggung jawab, isteri pula tidak taat, anak-anak menderhaka,
ibu bapa tidak mampu mengajar dan mendidik, wanita dan gadis hilang
maruah, perempuan ramai yang tidak menjaga batas-batas sebagai seorang
perempuan. Muda-mudi bergaul bebas dan penzinaan mereka telah
mengakibatkan lahirnya anak di luar nikah. Lebih menyedihkan apabila
ketelanjuran mereka mendorong kepada perbuatan buang bayi. Jadi nyawa
manusia itu menjadi semakin tidak berharga. Jelaslah, manusia tidak kira
dari kategori mana sekali pun pasti melakukan kejahatan yang sama
buruknya. Hanya diri mereka sahajalah yang mereka pentingkan.
Ini
semua adalah kerana masing-masing degil dan tidak mahu kembali kepada
Allah. Peranan yang sepatutnya dilaksanakan dengan sebaik mungkin telah
disia-siakan. Manusia mengira bahawa mereka akan hidup selama-lamanya.
Kekayaan telah mejadikan mereka sombong dan kemiskinan pula telah
menyebabkan mereka marah kepada Tuhan. Kebabasan dan kedamaiaan tidak
dihargai malah manusia tidak pernah merasa cukup walau apa jua keadaan
hidup mereka.
Oleh itu ajaran Islam telah memberi panduan
yang jelas dalam usaha untuk membawa masyarakat yang rosak ini ke arah
masyarakat Islam yang hidup berlandaskan kasih sayang kepada Allah,
hidup dalam keadaan bersederhana, tolong-menolong, kembali kepada taqwa,
kembali kepada fitrah semulajadi mereka, masyarakat yang mendapat
keampunan dari Allah, masyarakat yang baik, prihatin dan diberi hidayah
dari Allah. Inilah jalan yang ditunjuki Allah dan rasulNya Muhammad
SAW.
Secara fitrah, samada ditanya atau tidak, disoal
atau tidak, tidak akan ada seorang manusia pun yang mahu hidup dalam
derita dan susah -payah. Samada di dunia lebih-lebih lagi di Akhirat.
Sebab itulah semua orang akan memburu kesenangan, keselesaan dan
kebahagiaan hidup. Masing-masing dengan cara yang tersendiri. Ada yang
mencari dengan kuasa, ada pula dengan jawatan, yang lain pula dengan
wang ringgit, dengan ilmu, dengan populariti, kecantikan dan pelbagai
lagi. Terlalu sedikit orang yang mencari keselamatan dan kebahagiaan
hidup dengan jalan menjadi orang yang BERTAQWA.
Sedangkan
taqwa itu adalah satu-satunya syarat yang dijamin oleh Allah. Taqwa
boleh membawa manusia untuk bahagia di dunia dan di akhirat. Sebab itu
berapa banyak orang yang tidak memiliki taqwa hidup di dunia sudah
berada dalam bimbang, keluh-kesah, sunyi, tidak puas, gelisah walaupun
wang, harta, kekayaan, kuasa semuanya cukup, namun jiwa tetap
gundah-gulana. Benarlah Firman Allah SWT,
“Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah, hati jadi tenang”.
Al Rad’: 28.
“Pada hari tu tidak berguna harta dan anak, kecuali mereka yang pergi membawa hati yang selamat sejahtera”.
As Syuara: 88-89
Rukun
Iman, rukun Islam dan Ihsan adalah benih taqwa. Kalau kita tidak pandai
menanam benih taqwa ini, bagaimana kita hendak dapat pokok dan buahnya?
Untuk ia memberi manfaat dan kebaikan, benih taqwa itu mesti ditanam
hingga ia tumbuh menjadi pokok yang ada batangnya, dahan, ranting, daun,
bunga dan akhir sekali buahnya. Buah taqwa itulah hasil yang boleh
dinikmati di dunia dan di Akhirat. Kalau benih taqwa itu disimpan dan
tidak ditanam maka ia tidak akan tumbuh. Maka tidak akan ada hasil atau
buahnya untuk dinikmati.
“Barangsiapa
yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah
hidup. Dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan
barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan
mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang
dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi
tiap-tiap sesuatu.”
At Thalaaq:2-3
Dengan
memiliki sifat taqwa, si miskin boleh bahagia, apatah lagi kalau kaya.
Dengan taqwa, manusia boleh tenang dengan pelbagai masalah apatah lagi
kalau tidak ada masalah. Dengan taqwa orang sakit boleh tenang dan
berasa sihat. Dengan taqwa manusia boleh jadi berkasih sayang,
berkorban, berjuang untuk mendaulatkan Islam, tanah air dan ummah. Maka
betul-betul beruntung orang yang dalam hidupnya mempunyai sifat taqwa.
Taqwa
itu diperoleh dari dua asas iaitu yang pertama, sesungguhnya manusia
dan jin itu dijadikan oleh Allah adalah untuk mengabdikan diri kepada
Allah semata-mata. Manakala yang kedua, manusia itu
dipertanggungjawabkan menjadi khalifah Allah di muka bumi. Kedua-du
fungsi ini harus dipikul dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Agar
apabila kembali ke Akhirat mereka akan diisyhtiharkan sebagai
orang-orang yang selamat dan sejahtera. Kembali dengan membawa amal yang
banyak sebab sepanjang berada di dunia mereka menggunakan apa sahaja
yang ada semuanya untuk berbakti kepada Allah dan mencari Redha Allah.
Pergunakanlah
waktu dan kesempatan di dunia untuk mencapai sasaran sebagai orang yang
bertaqwa. Itulah pangkat atau darjat yang membolehkan kita selamat di
dunia dan di akhirat. Jalan-jalan menuju yang telah ditempuh oleh
orang-orang terdahulu dari kita yang telah mendapat ujian dari Allah.
Ingatlah bahawasanya kehidupan kita di dunia ini antaranya untuk
bersusah-payah, untuk diuji, digagalkan dan diberi kejayaan.
Fitrah
manusia itu menjurus kepada kebaikan. Kalau kita mempunyai anak,
mestilah kita mahu berikan yang terbaik untuknya. Begitulah juga dalam
hal taqwa, kerana yang terbaik untuk kita itu adalah TAQWA kepada Allah.
Iman tanpa taqwa adalah kerugian bagi seseorang manusia. Amal tanpa
taqwa juga boleh menyebabkan seseorang manusia itu ‘muflis’ di akhirat.
Sebahagian dari taqwa itu adalah kita buat segala sesuatu untuk Allah,
demi Allah, bagi mendapatkan restu dan keredhaan serta pengampunan dari
Allah semata-mata.
Rasulullah SAW pernah ditanya oleh
seorang sahabat tentang malam Lailatul Qadr. Sekiranya sang sahabat
ditakdir berjumpa dengan malam yang berkat itu apakah doa yang terbaik
yang harus dipohonkan. Jawab Rasulullah SAW, pintalah keampunan dari
Allah. Maka di sini jelaslah, pada seluruh kehidupan manusia, kita ini
sebenarnya mesti memburu sifat TAQWA kerana hanya dengan TAQWA sahajalah
seseorang itu akan diPandang Allah. Apabila sudah diPandang Tuhan maka
apa jua hal kehidupan pasti kita dapat tempuhi dengan sabar dan redha.
0 comments:
Post a Comment