Aku masih ingat ketika belajar agama
kepada seorang tuan guru di Masjid Kg. Pokok Pauh, Kubur Panjang, Alor
Setar, Kedah di awal tahun 70’an. Seusia 17 tahun, aku masih terlalu
muda namun sering solat berjemaah di masjid tersebut di samping mendapat
kesempatan mendengar kuliah-kuliah rasmi dan tidak rasmi. Anggota
jemaah sering mendengar kupasan khusus dari tuan guru tentang satu ilmu
yang sangat penting yang dipanggil ilmu TAUHID.
Tuan guru sering bertanya, siapakah yang menjadikan langit dan bumi? Maka anggota jemaah dengan yakin menjawab, ALLAH!
TUAN
GURU: Tahukah kamu siapa yang mempasak gunung-ganang, menumbuhkan
tanaman, pokok, mencantikkan ia dengan bunga, menurunkan hujan,
menjadikan lautan, sungai dan tasik?
JEMAAH: ALLAH!
TUAN
GURU: Siapakah yang mencipta bulan, bintang dan matahari, siang dan
malam serta yang menangguh dan memberi rezeki, memberi kebaikan dan
keburukan, menutup kebaikan dan kejahatan, membuka pintu nikmat?
JEMAAH: ALLAH!
TUAN GURU: Siapakah yang mencipta manusia, memberi penglihatan dan pendengaran serta memberi mereka tangan dan kaki?
JEMAAH: ALLAH!
TUAN
GURU: Siapakah yang menjadikan haiwan yang buas dan yang jinak, haiwan
yang berjalan di atas muka bumi,berenang di dalam laut, terbang di
langit-langit biru dan bergayut dipohon-pohon?
JEMAAH: ALLAH!
TUAN
GURU: Tahukah kamu siapa yang menurunkan bala dan rahmat, menjadikan
gempa bumi, kemarau, banjir, ribut, taufan dan puting beliung?
JEMAAH: ALLAH!
TUAN
GURU: Tahukah kamu siapa yang membalut buah-buahan dengan kulit agar
tidak rosak, memberi manisnya gula, masinnya garam, masamnya cuka dan
pahitnya peria?
JEMAAH: ALLAH!
TUAN GURU: Tahukah
kamu siapa yang memasinkan air laut, menawarkan air sungai, meninggikan
dan merendahkan air (pasang-surut air)?
JEMAAH: ALLAH!
TUAN
GURU: Tahukah kamu siapa yangmengelokkan dan memburukkan akhlak
manusia, mencantikkan dan menjelekkan wajah manusia, yang menguatkan dan
melalaikan ingatan manusia?
JEMAAH: ALLAH!
Maka begitulah sentiasanya jawapan para jemaah dan tuan guru pun amatlah berpuas hati.
Beliau
sering bertanya dan bertanya tentangnya apa sahaja persoalan yang ada,
sampailah kepada hal sekecil kerdipan pelupuk mata, denyutan jantung
yang disedari atau tidak disedari dan seluruhnya bahawa sesungguhnya
tiada suatu pun yang bergerak di alam ini melainkan digerakkan oleh
Allah SWT, Tuhan Yang Maha Agung lagi Maha Perkasa. Demikianlah para
guru yang mursyid itu mengajar manusia tentang kewujudan Allah, tentang
KeagunganNya, KasihSayangNya, KelembutanNya, KebesaranNya, KekuasaanNya,
KekuatanNya, KeperkasaanNya dan KemuliaanNya.
0 comments:
Post a Comment