PERINGATAN KESEDARAN
Ketika musibah dan kekalahan teruk
terus-menerus menimpa kerajaan Uthmaniah dan tentera penjajah memasuki
Turki serta Perjanjian Cifer diadakan, Said Nursi merasakan luka ini
seolah-olah ditujukan kepada hatinya. “Saya merasakan pukulan-pukulan
yang ditujukan kepada dunia Islam itu seolah-olah ditujukan kepada
hatiku yang paling dalam.” (21)
Dan beliau menulis tentang
kehidupannya pada masa itu, “Setelah pulang dari tawanan saya tinggal
bersama anak saudaraku, Abdurrahman, di sebuah rumah mewah di atas
puncak Jamlijah di Istanbul. Boleh dikatakan bahawa kehidupan saya pada
masa itu dari segi keduniaan adalah kehidupan yang ideal. Kerana
demikian saya telah terselamat dari tawanan, alat-alat penerbitan
terbuka bagiku di Darul-Hikmah al-Islamiyyah sesuai dengan tugas
ilmiahku dan populariti yang telah kumiliki padahal saya tidak layak
memilikinya. Saya tinggal di daerah yang paling indah di Istanbul iaitu
Jamlijah dan segala sesuatu yang ku kehendaki, kerana anak saudaraku
Abdurrahman – semoga Allah merahmatinya, tinggal bersamaku. Dia adalah
seorang yang sangat cerdik dan pintar. Dia adalah seorang murid yang
sedia berkorban, seorang pembantu sekaligus seorang penulis sehingga
saya menganggapnya sebagai anak sendiri secara maknawi. Ketika saya
merasa bahawa saya adalah orang yang paling bahagia di dunia ini, saya
melihat ke cermin. Saya melihat beberapa uban putih di kepala dan di
janggutku. Tiba-tiba kesedaran jiwa yang pernah saya rasakan ketika
dalam tawanan di masjid Quatarma dahulu mulai timbul kembali. Saya lalu
berfikir dan merenungi keadaan-keadaan yang berkaitan denganku dahulu.
Saya menduga bahawa itulah sebenarnya proses kebahagiaan dunia. Tiada
satu keadaan atau sebab yang ku renungi melainkan saya lihat bahawa itu
hanyalah sebab yang remeh dan palsu, tidak layak untuk dipegangi dan
dihubungi. Tambahan pula saya mendapati pada masa itu kurangnya
kesetiaan malah tiada kesetiaan, dari seorang kawan akrab dengan tidak
disangka-sangka.. Semua itu membuat saya lari menjauhkan diri dari
kehidupan dunia. Saya berkata kepada hati saya sendiri, “Tahukah kamu
apakah saya telah terpedaya sama sekali, sehingga saya melihat
orang-orang yang melihat kehidupan kita yang sebenarnya, perlu diratapi
dengan penglihatan iri dan dengki? Apakah semua orang itu sudah gila?
Ataukah saya sendiri yang hampir gila kerana saya melihat mereka yang
tertipu dengan dunia sebagai orang-orang gila dan bodoh? Apapun
keadaannya kesedaran yang menyelinap ke dalam diriku kerana melihat uban
itu telah membuatku melihat kefanaan segala sesuatu yang berhubung
dengan yang mampu fana dan musnah.”
Kemudian saya
menoleh kepada diri sendiri. Saya dapati ia sangat lemah! Ketika itu
menjeritlah jiwaku yang mendambakan kekekalan dan malah bergantung
kepada benda-benda yang fana kerana beranggapan ia akan kekal. Dia
menjerit dari lubuk yang paling dalam, “Selama saya fana secara jasmani,
maka faedah apakah yang saya harapkan dari benda-benda yang fana ini?
Selagi saya lemah maka apakah yang saya nantikan dari orang-orang
lemah?.. Tidak ada ubat pada penyakitku selain pada Yang Maha Kekal
Abadi dan selain pada Yang Maha Kuasa lagi Azali. Saya lalu segera
mencari.” (22)
Ketika Inggeris telah menawan Istanbul
pada 16 Mac 1920M, Badiuzzaman mengarang bukunya “al-Khuthuwat as-Sittu”
dan menerbitkannya secara bersembunyi dengan bantuan murid-murid dan
kawan-kawannya. Di dalam buku tersebut Badiuzzaman menyerang Inggeris
dengan nada yang lantang dan menjawab semua keraguan yang timbul pada
waktu itu dengan bukti-bukti yang kuat. Beliau juga menarik perhatian
kaum Muslimin terhadap ketamakan para penjajah dan memerangi sifat putus
asa yang banyak menguasai orang serta membangkitkan semangat mereka.
(23)
Dan di antara rangkaian komplot terhadap Islam
ialah bahawa Inggeris melalui gereja Anglikan mengajukan enam pertanyaan
kepada tokoh-tokoh Islam supaya mereka menjawab dengan enam ratus
perkataan. Tokoh-tokoh Islam itu menyebarkan pertanyaan-pertanyaan
tersebut kepada Badiuzzaman. Jawapan beliau adalah,
“Pertanyaan-pertanyaan ini tidak dijawab dengan enam ratus perkataan
atau enam perkataan atau satu perkataan akan tetapi dengan satu ludah di
wajah lancang Inggeris yang terkutuk.” (24) Setelah kerajaan Uthmaniah
runtuh dan porak-peranda, timbul keinginan pada sebahagian orang-orang
terpelajar Kurdis untuk mendirikan kerajaan Kurdis di wilayah-wilayah
timur Turki. Dan kerana Said berketurunan Kurdis dan mempunyai kedudukan
tinggi di kalangan para penduduk wilayah timur, maka salah seorang
wartawan menulis surat kepadanya memintanya supaya bergabung dengan
orang-orang yang menyeru pembentukan kerajaan tersebut. Said Nursi
menjawabnya dengan surat panjang yang isinya antara lain: “Wahai Rif’at
Bik, saya akan bersama engkau jika engkau berusaha menghidupkan kerajaan
Uthmaniah. Saya bersedia mengorbankan diri saya untuknya. Tapi kalau
hanya untuk mendirikan kerajaan Kurdis, saya tidak mahu!”
Beliau
juga mendapat usul dan permintaan yang sama dari Abdul Kadir, pemimpin
organisasi Ta’ala al-akrad akan tetapi jawapan beliau sama iaitu
menolaknya.(25)
FATWA
Gerakan menentang
penjajah asing bermula di Anatolia. Di bawah tekanan penjajah Inggeris,
Syaikh Islam Abdullah Affandi mengeluarkan fatwa menentang gerakan ini
dan orang-orang yang melakukannya. Tetapi dengan pantas, bangkitlah
tujuh puluh enam mufti bersama tiga puluh enam ulama’ serta sebelas
wakil rakyat memberi fatwa yang berlawanan. Justeru, mereka mendukung
gerakan tersebut dan mengobarkan semangat untuk memerangi penjajah.
Badiuzzaman adalah salah seorang ulama tersebut. Beliau berkata, “Fatwa
yang dikeluarkan majlis adalah di bawah tekanan Inggeris dan kehendak
mereka. Ia sama sekali tidak benar dan tidak boleh ditaati. Yang
demikian itu kerana orang-orang yang melawan penaklukan musuh tidak
boleh dikatakan orang-orang yang tidak taat. Oleh kerana itu fatwa
tersebut haruslah ditarik semula.” (26)
0 comments:
Post a Comment