"Akal adalah makhluk Allah terbesar yang melayakkan manusia menjadi khalifah-Nya. Tunjuk peta fikiran yang benar dan mendudukkan ilmu pada martabat yang sebenar supaya terjadi seperti sebatang pokok yang bermula dari akar tunjang, perdu, batang, cabang ranting, daun, bunga dan buah." - Ustaz Abdul Halim Abas

Monday, January 21, 2013

MENEMPUH ALAM KEMATIAN


Alam kubur sentiasa menanti kedatangan kita. Ia akan berkata-kata kepada kita dan cuba mengingat-ingatkan kita tentang hidup kita di dunia. Kalau kita ini orang yang mendapat rahmat Allah, maka kubur menjadi malu untuk mengapa-apakan kita. Jika kita ini orang yang engkar, maka Allah akan mengizinkan kubur untuk menjahanamkan kita.

“Apa yang menyebabkan engkau tertipu denganku tatkala engkau berjalan di belakangku dengan bersenang-lenang?”
Kata-kata DUNIA di dalam KUBUR

Menurut Imam Ghazali, orang yang bercelaru dalam i’tikadnya terhadap Allah, mereka akan terketar-ketar apabila menjawab soalan malaikat. Mereka tidak dapat menjawab segala soalan yang diajukan sehingga kedua-dua malaikat itu memukulnya dengan pukulan yang membuatkan api menyala dari kuburnya beberapa hari. Sebahagian ulama pula menyatakan, amalan orang-orang fasik akan ditukar menjadi rupa anjing atau mereka diseksa mengikut apa yang mereka takut semasa di dunia.

Terdapat juga hadis yang menyatakan tentang kelebihan orang beriman apabila menghadapi kedua-dua malaikat di dalam kubur. Mereka akan dilayan secara lemah-lembut (walaupun mereka ada melakukan maksiat). Layanan mereka ini berbeza-beza mengikut perbezaan iman mereka.

Daripada Saidatina Aisyah r.a, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya suara MUNKAR dan NANKIR pada pendengaran orang mukmin bagaikan bunyi celak mata yang disapu pada mata (sangat lembut dan bergemersik). Dan himpitan kubur bagi orang mukmin itu umpama ibu yang merangkul anaknya yang mengadu sakit kepala lalu kepala anak itu diusap-usap dengan lemah-lembut. Duhai Aisyah bagi mereka yang syak terhadap Allah maka akan binasa dan merekalah yang dihimpit di dalam kubur bagaikan batu besar yang menghimpit sebiji telur.”
H.R Al Baihaqi


Di suatu subuh, Rasulullah SAW menceritakan suatu pengalaman yang baginda tempuh pada malam sebelumnya. Pada malam itu, Baginda telah di bawa oleh dua orang lelaki ke suatu tempat yang sangat luar biasa. Pada mulanya baginda diperlihatkan orang yang berguling di atas tanah, lalu ada orang lain yang menghempaskan batu besar ke kepala orang tadi sehingga pecah. Kemudian setelah kepalanya pulih, diulangkan seksaan yang sama ke atas lelaki itu.

Baginda dibawa lagi melihat seorang lelaki yang sedang baring terlentang. Terdapat seorang lelaki yang berbaju besi berdiri dekat kepalanya. Orang yang berbaju besi itu kemudian menetak mulut, hidung dan mata orang yang berbaring tadi sehingga tembus ke belakang. Lalu wajah orang itu pulih semula dan perbuatan itu diulang berkali-kali.

Nabi dibawa lagi ke suatu tempat seperti tempat membakar roti. Di dalamnya bunyi riuh suara manusia. Dilihatnya terdapat lelaki dan perempuan yang bertelanjang dan dibakar dari bawah  sehingga memekiklah mereka sekuat-kuatnya. 

Selepas itu, dua orang tadi membawa Nabi ke tepi sebatang sungai yang berwarna merah seperti darah. Terdapat seorang lelaki sedang berenang berulang-alik. Setiap kali sampai ke tebing, mulutnya disuapkan dengan batu oleh lelaki lain.yang sedang setia menantinya di situ.

Nabi SAW menceritakan lagi, “Kami berjalan lagi sehingga bertemu dengan orang yang tersangat hodoh wajahnya. Di kiri kanannya terdapat api dan orang itu berjalan mengelilinginya.”

Sambung baginda lagi, “Kami terus berjalan sehingga melewati sebuah taman yang sangat indah. Terdapat pokok-pokok yang berbunga dan seorang lelaki yang ketinggiannya menjulang ke langit sedang beristirehat di situ. Lelaki yang tinggi itu ditemani oleh ramai kanak-kanak yang bermain-main di tepinya.

Dari situ kami berjalan ke taman yang paling luas dan dipelawa masuk. Kami tiba ke sebuah kota yang binaannya diperbuat daripada emas yang bergemerlapan. Apabila pintunya dibuka, kami melihat sebaris lelaki yang cantik kejadiannya dan sebaris lelaki yang sangat hodoh rupa parasnya. Kemudian lelaki yang hodoh disuruh terjun ke dalam sungai yang tiba-tiba muncul di hadapan mereka. Sungai itu warnanya putihnya seperti susu, maka apabila mereka yang terjun tadi keluar dari sungai itu, kehodohan mereka telah hilang. Kecantikan telah menggantikan kehodohan mereka. Aku pun bertanya tentang perkara aneh yang aku tempuh semalaman.”

Mereka pun berkata, “Lelaki yang pertama itu adalah seorang Hafiz Quran, namun akhirnya ditinggalkannya Al Quran dan solat fardhu. Orang itu diulang seksaannya sehingga hari Kiamat. Lelaki yang ditetak mulut, hidung dan mata tadi ialah orang yang mencari nafkah dengan berbohong dan memperdaya orang lain saat ia keluar rumah hingga pulangnya di malam hari. Manusia di tempat pembakaran itu pula ialah orang-orang zina dan lelaki yang berenang di dalam sungai itu ialah orang yang memakan riba’. Lelaki yang tersangat buruk wajahnya itu adalah Malaikat Malik.” Ditambahnya lagi, “Lelaki yang tingginya menjulang ke langit yang di taman itu ialah Nabi Ibrahim Khalilullah yang ditemani kanak-kanak yang mati dalam fitrah. Dua golongan lelaki yang berbaris itu pula ialah golongan yang mencampur-adukkan amal solehnya dengan amal kejahatan, tetapi diberi keampunan oleh Allah SWT. Manakala aku ini ialah Jibril dan yang ini pula Mikail.” Lalu orang yang membawaku tadi berkata, “Inilah Syurga Adn dan  di sanalah tempat kamu.” Aku pun melihat  ke atas dan di sana ada mahligai seperti awan putih. Aku berkata, “Semoga Allah memberkati kamu, biarlah aku masuk ke situ. ”Mereka berkata, “Sekarang belum sampai masanya, kemudian nanti baru engkau dapat memasukinya.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari  dari Samurah bin Jundub r.a.

Perjalanan Nabi SAW ini berlaku semasa baginda sedang tidur dan mengikut para ulama, mimpi Nabi itu adalah benar dan ia merupakan wahyu dari Allah yang menerangkan bala dan nikmat di Alam Barzakh.

DARI AL HAJJAJ AL SHIMALI r.a, katanya, sabda Rasulullah SAW, “Apabila mayat dihantar ke kubur, berkatalah kubur kepadanya, “Sayangnya engkau hai anak Adam, apa yang menyebabkan engkau tertipu denganku? Tidakkah engkau tahu bahawa aku ini rumah fitnah (ujian), rumah kegelapan, rumah kesunyian dan rumah ulat. Apa yang menyebabkan engkau tertipu denganku tatkala engkau berjalan di belakangku dengan bersenang-lenang? Jika orang itu orang baik maka dijawabkan untuknya soalan kubur itu, “ Tidakkah engkau lihat bahawa dia ini seorang yang menyuruh yang maaruf dan mencegah kemungkaran.” Kemudian berkatalah kubur, “Jika begitu aku akan bertukar menjadi kehijauan (menjadi pandangan yang tenang) dan kembalikan tubuhnya menjadi bercahaya serta rohnya dapat naik kepada Allah SWT.”
H.R Al Tabrani.

Dari Anas Bin Malik r.a, katanya, bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya apabila seorang hamba dimasukkan ke dalam kubur maka datanglah dua malaikat lalu mendudukkannya seraya berkata, “ Apa yang engkau tahu tentang lelaki yang bernama Muhammad SAW?” Sekiranya orang mukmin, dia akan menjawab, “Aku menjadi saksi bahawa Muhammad SAW itu adalah hamba Allah dan pesuruhnya.” Kemudian malaikat berkata perhatikan olehmu tempatmu di neraka telah digantikan Allah dengan tempat di syurga. Lalu orang itu pun melihat kedua-duanya iaitu neraka dan syurga. Manakala orang munafik dan orang kafir akan ditanya soalan yang sama, “Apa yang engkau tahu tentang lelaki yang bernama Muhammad SAW?” Lalu orang itu menjawab, “Aku tidak tahu, aku hanya mengatakan apa yang biasa dikatakan oleh orang lain.”  Kemudian malaikat berkata, “Engkau memang tidak tahu dan tidak mengambil tahu!” Lalu dia pun dipukul dengan pemukul besi sehingga berteriaklah dia dengan jeritan yang dapat didengar oleh mereka yang berada disekitarnya (melainkan jin dan manusia).
H.R Al Bukhar

Kongsikan :

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...