SIFAT TAWADDHUK, IKHLAS, PRIHATIN DAN PANTAS MEMBERI
- Menunjukkan kasih sayang walaupun kepada orang yang terendah di kalangan ummah.
- Bagaimana Rasulullah SAW menyuruh umatnya menilai kehidupan di dunia?
- Masih ramai orang Islam yang menderita di seluruh dunia. Orang-orang beginilah yang perlu kita cari untuk dibantu, diwujudkan ekonomi untuk mereka dan diberikan kemahiran kendiri.
Nabi
Muhammad SAW mendidik umatnya melalui kata-kata dan contoh perbuatan.
Para sahabat yang kasih kepada baginda akan menurut segala perkataan dan
perbuatan baginda sehinggakan para sahabat yang terdekat itu sangat
digeruni musuh walaupun selepas kewafatan baginda SAW. Salah satu sifat
yang paling dicintai baginda ialah sifat mendahulukan orang lain dalam
segala hal lebih dari dirinya dan keluarganya sendiri. Melalui
keprihatinan baginda, umat Islam merasa sangat beruntung berada di bawah
kepimpinannya. Pada zaman Rasulullah, telah lahir masyarakat Islam yang
sensitif, peka, bertolak ansur, merendah diri dan berkasih sayang.
Jabir r.a menceritakan, Rasullullah SAW tidak pernah berkata ‘TIDAK’ apabila diminta.
Sahih Bukhari dan Muslim
Baginda
akan menunaikan permintaan secepat mungkin. Jika tidak, baginda
berjanji akan buat pada masa lain atau baginda berdoa agar keperluan
orang itu ditunaikan Allah. Hadis ringkas ini sering kali dipandang
remeh oleh umat Islam. Sesungguhnya umat Islam perlu banyak ‘memberi’
pada jalan Allah, membangunkan ekonomi dan pendidikan Islam melalui
konsep ‘beri atas jalan Allah’ (fi sabillah). Walaupun Rasulullah SAW
seorang yang kurang hartanya, baginda bersungguh-sungguh membantu orang
lain yang memerlukan. Oleh sebab umat Islam kini banyak sangat
kekurangan, bersama-samalah kita menghayati akhlak Rasulullah dalam hal
memberi bantuan tanpa mengharapkan balasan.
Aishah r.a
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima hadiah dan juga membalas
hadiah. Inilah yang dikatakan ‘orang berbudi, kita berbahasa’.
Rasulullah SAW selalunya membalas dengan hadiah yang lebih baik dari
apa yang didterimanya. Malah hatinya sentiasa merasa ingin memberi lebih
dari perasaannya untuk menerima.
Sesungguhnya perbuatan
yang ikhlas kerana Allah SWT akan dibalas dengan kebaikan yang
berganda-ganda. Beginilah caranya Nabi SAW memupuk sikap prihatin dan
perasaan tolong-menolong dalam setiap jiwa umat Islam.
Ibnu
Abbas r.a berkata, Rasulullah SAW adalah seorang yang amat pemurah
dalam kebajikan. Hidup baginda sangat sederhana tetapi dalam hal
memberi, raja pun akan berasa malu. Ada sebuah kisah dimana seorang
wanita tua menghadiahkan baginda sehelai kain. Kerana amat
memerlukannya, baginda pakai kain itu. Tiba-tiba ada orang lain datang
dan meminta kain dari baginda. Tanpa ragu-ragu baginda menyerahkan kain
itu kepada orang yang meminta.
Pada suatu masa beberapa
orang sahabat ingin menyembelih seekor kambing lalu dibahagikan kerja
itu kepada setiap seorang. Ada tukang sembelih, tukang lapah dan ada
tukang masak. Rasulullah SAW bersabda ketika itu, “Saya akan pergi
memungut kayu api.” Para sahabat berkata, “Ya Rasulullah biarlah kami
yang membuatnya.” Sabda baginda, “Saya tahu kamu akan buat itu untuk
saya tapi saya tidak mahu merasa sebagai orang yang istimewa dan Allah
tidak suka kepada sifat itu.
Menurut Saidina Husin r.a
yang sebahagian ceritanya berbunyi, “Baik hati dan sopan-santun baginda
dirasai semua orang. Baginda umpama bapa bagi mereka, baginya hak
sekalian manusia adalah sama. Bila bersamanya akan terasa ketinggian
ilmunya, ketawaddhukannya, kesabarannya dan kejujurannya, tidak ada
suara lantang atau menghina atau mengaibkan sesiapa dan orang yang buat
silap tidak didedahkan. Martabat seseorang diukur mengikut darjat
ketaqwaannya. Yang muda disayangi, yang memerlukan diberi keutamaan.
Orang luar serta musafir dipelihara.”
Nabi SAW sentiasa
hidup dalam keadaan TAWADDHUK. Baginda merasa dekat kepada Allah melalui
cara hidupnya itu. Tindak-tanduknya hanya mengikut apa yang ALLAH SUKA.
Dari
Anas r.a katanya, “Rasulullah SAW melawat orang sakit, menghadiri
urusan kematian, menuggang keldai serta menerima undangan walaupun dari
hamba sahaya. Semasa perang Bani Quraizah, Baginda SAW menunggang keldai
yang tali kekang dan pelananya dibuat daripada sabut pokok kurma”.
Sunan Tirmidzi
Baginda
dikatakan suka berjalan kaki kerana ia dapat melancarkan proses
berfikir. Baginda sampai di tempat-tempat yang jarang manusia sampai.
Pengetahuannya terhadap sesuatu perkara sangat mendalam. Seluruh
hidupnya tidak pernah sombong dan bongkak sedangkan dengan izin Allah,
seluruh alam ini serela-rela hati mahu duduk di bawah naungannya. Inilah
salah satu ciri TAQWA yang menonjol dalam diri Nabi SAW yang
jarang-jarang kita beri perhatian. Rasulullah SAW tidak merasa terhina
menunggang keldai padahal keldai itu martabatnya lebih rendah dari kuda.
Baginda suka menziarahi orang sakit tidak kira golongan atasan atau
bawahan. Menurut Saidatina Aishah r.a, baginda seorang manusia seperti
insan lain yang membersihkan pakaiannya sendiri, memerah susu kambing
dan mengurus kerjanya sendirian. Baginda juga suka membuat kerja-kerja
rumahtangga seperti menjahit pakaian dan menampal kasut.
0 comments:
Post a Comment