"Akal adalah makhluk Allah terbesar yang melayakkan manusia menjadi khalifah-Nya. Tunjuk peta fikiran yang benar dan mendudukkan ilmu pada martabat yang sebenar supaya terjadi seperti sebatang pokok yang bermula dari akar tunjang, perdu, batang, cabang ranting, daun, bunga dan buah." - Ustaz Abdul Halim Abas

Monday, January 21, 2013

DI ZAMAN APA KITA BERADA SEKARANG?


Apabila dicabutnya keberkatan

Berkat atau barakah mempunyai maksud bertambah atau berkembang. Perkataan ini digunakan untuk menunjukkan ‘kebaikan yang banyak’ seperti dalam firman Allah SWT yang bermaksud “Kitab penuh berkat”, “Malam penuh berkat” yakni dipenuhi dengan kebaikan yang banyak.  Baginda SAW, sentiasa mendoakan para sahabatnya agar Allah ‘memberkati’ mereka. Seperti halnya doa baginda untuk Abi Qatadah yang berbunyi, “Ya Allah, berkatilah kulit dan rambutnya”. Sejak itu kulit dan rambut Abi Qatadah tidak pernah beruban sehinggakn mengikut Al Hafiz Ibn Asakir, kulit kepalanya itu sperti kulit kepala remaja berumur 17 tahun walaupun usianya sudah menjangkau 70 tahun.

Benarlah sabda baginda SAW bahawa salah satu tanda kecil hampirnya Kiamat ialah apabila waktu dirasai semakin singkat. Hadis mengenai perkara ini cukup banyak, seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tirmidzi daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidak akan tiba Hari Kiamat hingga waktu semakin singkat. Setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari, sehari bagaikan satu jam. Dan satu jam bagaikan api yang membakar daun kurma”.

Dalam hadis Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi SAW pernah bersabda maksudnya, “Waktu akan jadi semakin singkat, harta melimpah ruah, fitnah akan menyebar dan banyak terjadi pembunuhan”. Hadis ini banyak ditafsirkan ulama masa kini dengan tafsiran yang merujuk hal ehwal semasa dan kaitannya dengan teknologi yang ada kini. Namun di sini ingin kita ambil tafsiran rohaniah hadis-hadis ini terutamanya daripada Qadi’iyat, Al Nawawi dan Ibn Abi Jamrah. Menurut mereka ‘singkatnya waktu’ itu berkaitan rapat dengan HILANGNYA BERKAT. Misalnya masa satu hari tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya, melainkan cuma beberapa jam sahaja.

Pendapat ini dikuatkan oleh Ibnu Hajar dalam kitab ‘Fath Al Bari’ dengan mengatakan bahawa hadis ini bermaksud Allah SWT mencabut semua KEBERKATAN dari segala sesuatu, ia termasuklah KEBERKATAN WAKTU. Dan ini merupakan salah satu tanda dekatnya Kiamat.

Bolehlah dikatakan bahwasanya keberkatan dalam sesuatu itu adalah suatu kualiti yang berkembang melampaui kuantitinya. Jika sebelum makan kita berdoa agar Allah memberkati sesuatu makanan itu bermakna manfaat yang akan diperoleh dari makan itu tadi akan bertambah selain memberi tenaga kepada tubuh badan. Atas berkat tadi itulah manusia jadi sihat, terhindar dari penyakit, bersemangat untuk beribadah dan berjuang, terbit rasa bersyukur dalam hatinya dan diberi rahmat. Dari segi fizikalnya makanan itu tidaklah bertambah saiz atau kandungannya cuba penambahan yang berlaku adalah di sekitar ‘batinnya’. Tetapi dalam sejarah, sering terjadi perkara-perkara luar biasa atas berkat doa para Nabi dan aulia  Allah di mana orang yang hendak makan itu jumlahnya ramai tetapi makanannya sedikit. Namun apabila mula makan, makanan tadi dapat mengenyangkan seluruh tetamu tanpa disedari. Bagi Nabi dan Rasul ia adalah mukjizat dan bagi para aulia Allah ia adalah karamah. Perkara ini melibatkan keberkatan dari Allah atas sebab doa hamba-hambanya yang diCintaiNya dan juga sebagai tanda KebesaranNya.

Antara hal penting yang melibatkan keberkatan ialah keberkatan hidup dan keberkatan waktu. Waktu jadi penting keranan ianya adalah MODAL untuk manusia yang hidupnya di bumi ini dipertanggungjawabkan tugas yang tertentu. Tanpa keberkatan dan pengurusan waktu yang betul, seseorang manusia tidak akan mampu menyempurnakan tugasnya dengan efisyen. Oleh sebab inilah timbul dalam pemikiran mujahid Islam dan hamba Allah yang bertaqwa, masa itu lebih berharga daripada harta dan wang ringgit yang ada di dunia ini.

Dari mana datangnya keberkatan waktu ini? Ianya datang dari iman dan taqwa kepada Allah. Firman Allah dalam surah Al A’Raaf” 96,
“Dan (Tuhan berfirman lagi), Kalau sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab yang mereka telah usahakan”.

Manusia akhir zaman juga suka berkeluh-kesah jika kehilangan harta benda dan hal-hal duniawi. Amat sedikit sekali orang yang mengeluh keerana satu hari telah berlalu tanpa melakukan perkara yang bermanfaat. Antara manusia yang menghargai masa ialah Abu Bakar Al Khattib Al Baghdadi yang sentiasa rasa menyesal dengan berlalunya waktu.Beliau sentiasa dilihat membawa kitabnya semasa berjalan atau di lautan. Begitu juga dengan Imam Ibn Rusyhd, seorang ahli Fiqh dan filasuf menghabiskan waktu dengan membaca dan mengajar di seluruh kehidupan dewasanya sehingga tua kecuali pada dua malam . Iaitu di masa harinya menikah dan di waktu bapanya meninggal dunia.

Imam Abdul Wahhab As Sya’rani menceritakan tentang gurunya Sheikh Zakaria Al Asha’ari, “Selama dua puluh tahun aku melayaninya, tidak pernah sekali pun aku melihat dia dalam kelalaian atau melakukan perkara yang tidak berfaedah, baik di siang hari atau pun di malamnya. Kalau ada yang berbicara dengan agak panjang, beliau akan menegur, janganlah membuang waktu saya”.

Para sahabat Rasulullah SAW telah menggunakan waktu dengan sebaiknya. Islam itu juga terbangun sepantas 23 tahun akibat keberkatan masa yang dikurniakan Allah ketika itu. Pada zaman itu, keberkatan melimpah-ruah sehinggakan peristiwa-peristiwa yang berlaku amat luar biasa dan sudah terpahat di dalam lembaran sejarah. Antaranya, Zaid bin Thabit r.a diarahkan oleh Nabi SAW untuk menguasai bahasa dan tulisan Yahudi. Beliau berjaya melakukannya dalam masa 17 hari sahaja.

Selepas zaman Rasulullah, keluar pula Al Hafiz bin Syahin seorang ahli hadis yang berjaya menulis 330 judul buku, sebuah kitab tafsir Quran setebal 1000 halaman.

Syeikh Abdul Ghaffar Al Qushi, menulis kitab Fiqh mazhab Syafii setebal 1000 jilid di Kota Akhmim.

Imam Ibn Al Arabi seorang ahli hadis berjaya menulis kitab tafsir Quran setebal 80 ribu halaman.

Pemimpin Ahli Sunnah Wal Jamaah, Imam Abu Hasan Al Asy’ari berjaya menulis sebuah tafsir Quran 600 jilid dan ianya masih tersimpan di Perpustakaan Nizamiyah di Baghdad, Iraq.

Pada masa-masa yang serba sulit ini, mampukah lagi manusia terutama umat Islam melahirkan insan-insan yang tajam akal serta bertaqwa kepada Allah? Ketajaman fikiran para salafus soleh dan ilmuan Islam disulam dengan sifat taqwa kepada Allah telah menyebabkan mereka mendapat berkat serta dikurniakan Allah ilmu-ilmu yang sangat hebat kegunaannya. Jadi di zaman apakah kita berada sekarang ini? Di manakah kedudukan kita di kalangan manusia kini? Adakah kita ini umat yang memberi manfaat kepada alam sejagat atau kita hanya menumpang kepada kemajuan orang yang lain? 

Kongsikan :

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...