"Akal adalah makhluk Allah terbesar yang melayakkan manusia menjadi khalifah-Nya. Tunjuk peta fikiran yang benar dan mendudukkan ilmu pada martabat yang sebenar supaya terjadi seperti sebatang pokok yang bermula dari akar tunjang, perdu, batang, cabang ranting, daun, bunga dan buah." - Ustaz Abdul Halim Abas

Monday, January 21, 2013

SIAPA NABI KITA?

Sungguh-sungguh kamu sudah kenal dia? Kalau sudah kenal, mampukah kamu ikut caranya? Sanggupkah kamu menjiwai karektor dan perasaanya? Tahukah kamu sejauh mana pengorbanannya?


Siapa Nabi Kita?

Hari-hari hidupnya sederhana, selalu saja dia tidak makan. Paginya tidak menentu. Jika tiada makanan, diteruskan hari itu dengan berpuasa. Setiap waktu menyibukkan dirinya dengan kerja-kerja membaiki manusia sambil mendekatkan diri kepada Tuhannya.

Siapa Nabi Kita?

Dia pernah dituduh gila, dituduh mahukan pangkat dan kekayaan. Pernah diancam bunuh, pernah diugut, pernah dipulau suku-sakatnya. Sedangkan seluruh manusia tahu dia bersifat kehambaan. Sesungguhnya realiti  hidupnya penuh kesukaran. Begitulah nasib diri seorang hamba yang cintakan Tuhan.

Siapa Nabi Kita?

Kadang-kadang dilaluinya tiga puluh hari tanpa simpanan makanan di rumah. Nasibnya baik kerana dikelilingi rakan-rakan yang sehati dan sejiwa. Roti yang sekeping itu dikongsi mereka hanya sekadar mengalas perut sehingga malam, namun kasih sesama mereka tidak pernah luntur malah bertambah pula dalamnya.

Siapa Nabi Kita?

Dia suka tidur di atas tikar dari daun pokok kurma sehingga berbekas pipinya kerana kasarnya tikar itu. Di rumahnya tidak terdapat meja makan, lalu duduklah dia dan keluarganya di atas tanah menghadap hidangan yang tak seberapa tetapi amat berharga bagi mereka. Makanannya tidak lebih dari sepotong roti dari tepung kasar dan air kosong yang disulam dengan sebiji dua kurma.

Siapa Nabi Kita?

Harta tidak ingin disimpannya lama-lama. Semua yang ada dibahagikan segera kepada fakir miskin di sekelilingnya. Dibayarnya hutang saudaranya yang seagama. Ditebusnya hamba yang didera. Kalau mendapat hadiah, sukalah dia memberinya kepada orang yang memerlukan, tidak dipakai untuk dirinya dan keluarganya. Mendahulukan orang lain lebih dari dirinya dan keluarganya.

Siapa Nabi Kita?

Pernah dia berdoa dan didengari isterinya, dia mahu hidup sebagai orang miskin, mati sebagai orang miskin dan dihimpun bersama-sama orang miskin. Dia amat cintakan orang miskin sehingga dia tidak pernah menolak permintaan mereka walaupun dia sendiri tidak berada.

Siapa Nabi Kita?

Tidurnya amat sedikit, amalan malamnya banyak sekali malahan lebih banyak dari waktu siang. Tatkala usianya sudah lanjut, ibadahnya tidak berkurangan dan dipelbagaikannya kerana cintanya kepada Tuhan. Ada yang dibuatnya sambil berjalan, sambil berdiri, sambil duduk dan ada yang sambil baring.

Siapa Nabi Kita?

Akalnya sangat tajam, cakapnya penuh hikmah, doanya sangat makbul dan amat menjaga sifat marah. Tingkah lakunya lembut, berhemah. Amat prihatin pada orang yang dipimpinnya. Cakapnya apa yang perlu. Gelaknya pula hanya berpatut-patutan. Tidak pernah mengeji, tidak pernah mengherdik kecuali apabila diarahkan Allah.

Siapa Nabi Kita?

Sehari sebelum dia wafat, teringatlah dia bahawa masih ada saki-baki wang dinar yang belum dibahagikannya. Lalu ditanyakan kepada isterinya, maka berlarilah isterinya mendapatkan wang itu dan meletakannya di atas telapak tangannya. Saat itu dia jadi malu kepada Tuhannya, dengan segera dia menyuruh wang dinar itu diagihkan kepada fakir miskin. Keesokan harinya, wafatlah dia dalam keadaan hanya memakai pakaian yang kasar dan compang-camping. Tidak meninggalkan keluarganya dengan harta yang banyak melainkan serbuk gandum yang sudah hapak, sepotong roti kering, sebilah pedang, sebidang tanah yang diwakafkan dan seekor keldai. Ditinggalkan untuk umatnya sistem kehidupan terunggul, ekonomi yang berkembang, taraf hidup yang lebih baik serta para sahabat yang tinggi-tinggi akalnya. Pernah dia berkata semasa hidupnya, “Barang siapa di pagi-pagi hari merasa aman di rumahnya, merasa sihat badannya dan melihat cukup makanannya untuk sehari, maka sebenarnya Allah telah mengurniakan orang itu seluruh dunia serta isinya.” Inilah nikmat hidup yang dikecapi dirinya. Gaya hidupnya dipraktikkan para sahabat yang  setia dan faham akan perilakunya. Mereka amat bangga dengan hidup pemimpin mereka itu dan merasa aman damai, tenteram dan sentosa. Alangkah bahagianya mereka dapat merasa nikmat dekat kepada Allah.

Kongsikan :

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...