"Akal adalah makhluk Allah terbesar yang melayakkan manusia menjadi khalifah-Nya. Tunjuk peta fikiran yang benar dan mendudukkan ilmu pada martabat yang sebenar supaya terjadi seperti sebatang pokok yang bermula dari akar tunjang, perdu, batang, cabang ranting, daun, bunga dan buah." - Ustaz Abdul Halim Abas

Monday, January 21, 2013

NILAI SEBUAH KEPIMPINAN YANG TAKUTKAN TUHAN


NILAI SEBUAH KEPIMPINAN YANG TAKUTKAN TUHAN

Tugas seorang pemimpin Islam sejati ialah mengabdikan diri kepada Allah dan berkhidmat kepada para pengikutnya serta seluruh masyarakat yang duduk di bawah kepimpinannya. Pemimpin yang takut kepada Allah itu adalah seorang manusia yang bertaqwa, berani, tajam akal fikiran, adil dan banyak bersabar.  Ini adalah sebahagian sifat kepimpinan Rasulullah SAW yang berjaya menundukkan manusia-manusia jahil agar beriman kepada kebenaran. Segala Hukum-Hakam Allah wajib dijalankan satu-persatu mengikut kesesuaian dan tahap keimanan para pengikutnya. Kedudukan yang diberikan oleh Allah kepada seseorang pemimpin melayakkan ia menjalankan hukuman ke atas dirinya dan orang bawahannya sekiranya ada pelanggaran syariat yang berlaku.

Masyarakat Islam banyak melahirkan pemimpin-pemimpin yang berhemah tingggi, berakhlak mulia, bertanggung jawab dan bertaqwa kepada Allah SWT. Adakalanya mereka sangat menonjol dalam masyarakat dan adakalanya mereka lebih suka bersenyap-senyap di tengah orang ramai.

Terjadi suatu kisah di waktu umat Islam seluruh dunia diancam kekuasaan barat yang pada ketika itu dirasuk ketamakan dan kerosakan pemikiran. Sekitar kurun ke 19 dan awal kurun ke 20, kepimpinan Islam telah dijajah secara total dari sudut pemikirannya mahupun kenegaraannya. Namun di tengah kemelut ini, masih wujud kepimpinan yang memperjuangkan Allah serta mempertahankan tanah air dari kaum kafir yang menekan mereka dengan kekerasan yang dahsyat lagi tidak berperi kemanusiaan.

Antara pemimpin Islam yang cekal berdiri teguh atas landasan kebenaran ketika itu ialah Imam Shamil (1797-1871), mujahidin Chechnya yang sangat terkenal berani serta tegas menegakkan Hukum-Hakam Allah.  Imam Shamil sangat terkenal kerana berjaya menyatukan bangsa-bangsa di sekitar Daghestan, Ingushetia dan Chechnya di bawah a panji Islam sedangkan di situ rakyatnya bercakap dalam 40 jenis loghat bahasa  yang sangat berbeza antara satu sama lain. Bangsa dan suku di sekitar utara Dageshtan dan Chechnya disatukan untuk mempertahankan tanah air semasa Perang Kaukasus (1817-1864) yang berlangsung akibat dasar penjajahan Rusia yang semasa itu di bawah pemerintahan Nicholas I dan anaknya Alexander II. Beliau juga terkenal dengan taktik perang gerila yang berjaya memecah-belahkan pasukan-pasukan tentera Rusia kepada angkata-angkatan kecil yang akhirnya diserang bertubi-tubi sehingga terpaksa berundur dari satu kubu ke satu kubu yang lain.

Perjuangan yang berlangsung lebih separuh dekad itu juga ada masa naik dan turunnya. Pada sekitar 1844, perjuangan Imam Shamil mendapat kemenangan demi kemenangan yang memeranjatkan pihak Rusia yang dipimpin oleh General Gourko. Tentera Rusia diusir keluar dari kubu-kubu kuat mereka setelah terkepung selama lapan hari di dalamnya. Namun kemenangan itu tidak menjanjikan kedamaian kerana Rusia telah merancang strategi seterusnya. Pada saat kemenangan di pihak mujahidin sudah nyata, Imam Shamil dikejutkan dengan kematian orang kanannya, Akhverda Mohoma yang syahid ketika bertempur dengan ribuan askar Rusia di Chanti Argun.

Pihak Rusia merasakan sudah tiba masanya mereka mengubah muslihat peperangan. Agen-agen mereka yang terdiri dari bangsa Dageshtan dan Chechnya dihantar masuk ke kampung-kampung kecil di sekitar Chechnya untuk mendekati ketua-ketua tempatan yang kurang senang dengan perjuangan Imam Shamil. Mereka ditawarkan sedikit kuasa dan kekayaan sekiranya bekerjasama dengan pihak Rusia. Akhirnya mereka yang tiada pendirian ini pun bersetuju lalu menghantar wakil untuk bertemu Imam Shamil. Setelah perbincangan dijalankan, mereka bersetuju untuk membawa tawaran perdamaian kepada Imam Shamil walaupun mereka sedar pendirian tegas Imam Shamil tetap tidak akan berubah. Lalu mereka memikirkan strategi bagaimana mahu memujuk Imam Shamil supaya berkompromi dengan rancangan mereka. Di kalangan mereka terdapat agen-agen Rusia yang dipasang khas untuk mencatur hala tuju perancangan mereka itu. Salah seorang dari mereka menyuruh ketua tempatan bertemu bonda Imam Shamil yang dikenali sangat baik hati dan lemah-lembut. Maka bertolaklah rombongan orang-orang munafik seramai empat orang, bertemu ibunda Imam Shamil. Segala rayuan, cerita dan penderitaan di utarakan. Akhirnya mereka menyatakan rancangan perdamaian dengan pihak Rusia yang kononnya akan membawa keamanan serantau. Bonda Imam Shamil yang tidak dapat menangkap tujuan jahat pelawat telah berjanji akan bertemu Imam Shamil untuk memujuk beliau supaya menerima perjanjian damai dari pihak lawan. Pada hari itu rombongan orang munafik telah mendapat kejayaan yang tidak diduga.

Imam Shamil menerima kedatangan bondanya petang itu dengan penuh rasa kasih sayang yang selayaknya bagi seorang manusia yang berpekerti tinggi. Bondaya itu dilayannya dengan penuh hormat dan takzim. Setelah itu perbincangan mereka bertambah serius sehinggalah si ibu menceritakan perihal tawaran dari pihak Rusia. Merah padamlah muka Imam Shamil mendengar kata-kata itu keluar dari mulut ibundanya sendiri. Namun tidak sekali beliau hilang pertimbangan. Imam Shamil menerangkan sedaya upaya tujuan sebenar pihak Rusia mahu berdamai. Perbuatan bondanya itu adalah suatu pengkhianatan kepada Islam dan bangsa Chechen. Akhirnya si ibu tadi sedar yang dirinya telah diperalatkan lalu mengaku tersilap. Segala-galanya sudah terlambat kerana perkara sudah disampaikan. Imam Shamil terpaksa mengambil tindakan ke atas bondanya sepertimana yang sepatutnya dikenakan ke atas sebarang pengkhianatan. Pada hari itu, anak dan ibu terpaksa berpisah dengan hati yang hancur kerana terperangkap dalam permainan musuh.

Perkara yang berlaku telah diketahui umum. Imam Shamil terpaksa mengunci dirinya di dalam masjid selama tiga, hari tiga malam. Sepanjang tiga hari itu beliau berpuasa sunat, solat dan berzikir sebanya-banyaknya. Amat berat dirasakan dilemanya kali ini. Di satu sudut, agama Allah dan Hukum-HakamnNya menjadi tanggungjawab. Di sudut yang lain pula, bondanya dituduh pengkhianat akibat tersalah langkah. Pada hari ketiga beliau keluar dari masjid dengan keadaan diri yang cukup nekad, lalu memanggil seluruh manusia pimpinannya termasuk empat orang munafik yang menjadi dalang kepada musibah ini. Pertama sekali, beliau meminta supaya bondanya dihadapkan ke hadapan orang ramai. Si ibu kemudian diiringi dua orang pemimpin kanan dan diletakkan di sisi Imam Shamil.

Mereka berdua berpandangan, dengan penuh kesyahduan Imam Shamil mendongak ke langit dan berkata, “Sesungguhnya perintahMu telah ditetapkan dan tidak akan berubah! Semoga dengan pelaksanaan HukumMu ini akan memberi keinsafan dan contoh tauladan kepada seluruh umat Islam!”

Imam Shamil menerangkan kedudukan sebenar bondanya yang dipergunakan orang munafik untuk memujuknya berdamai dengan pihak Rusia.

Katanya, “Kasih sayang bondaku dan jasanya kepada diriku telah membuatkan aku menyerahkan hal ini di Tangan Allah. Dengan berkat doa anda, aku telah diperkenankan jawapan dariNya. Tetapi jawapan itu ibarat pukulan maut kepadaku. Sudah menjadi KehendakNya agar aku menghukum pihak yang menyampaikan rancangan itu kepadaku agar dirotan seratus kali. Dengarlah kamu semua, pihak yang bersalah itu adalah bondaku sendiri!”


Hukuman pun dijalankan oleh salah seorang mujahidin dan selepas lima kali sebatan si ibu tadi pengsan menyembah bumi. Insiden yang menyayat hati itu telah disaksikan seluruh masyarakat Dageshtan dan Chechnya termasuklah empat orang munafik itu. Oleh sebab tidak dapat menahan kesedihan, Imam Shamil berlari mendapatkan bondanya. Kaki bondanya itu didakapnya lalu menangislah beliau di situ. Orang ramai yang tidak dapat menahan kesayuan meminta agar hukuman dihentikan.

Hukum Allah wajib diteruskan dan Imam Shamil dengan hiba berdoa kepada Allah, “Tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah pesuruhNya. Sesungguhnya penghuni langit telah mendengar doaku. Aku telah diperkenankan untuk menanggung hukuman ibuku. Habisi bilangan sebatanmu ke atasku kerana itulah sebaik-baik kurniaan kepadaku”.

Lalu Imam Shamil berdiri, membuka jubahnya dan bersedia menerima baki 95 sebatan. Mujahidin pun mengambil sebatang rotan yang dipanggil nogai yang cukup tebal lalu melibasnya ke badan Imam Shamil. Beliau redha dengar setiap libasan itu sambil bersyukur kepada Allah. Di hatinya, beliau berasa puas dan lazat kerana berjaya menjalankan Hukum Allah. Bondanya juga diselamatkan Allah dari dihukum atas berkat keikhlasan diri Imam Shamil yang teguh dengan pendiriannya. Selesai saja dari menjalani hukuman, Imam Shamil bangkit semula dengan perlahan-lahan sambil mengorak langkah menuju ke tengah orang ramai.

“Di manakah orang-orang yang menjadi dalang kepada penglibatan ibundaku dalam pengkhianatan ini?”

Dengan sukarela mereka berempat mengadap Imam Shamil sambil bersedia mahu dijatuhkan hukuman. Orang ramai menyangka empat orang munafik itu akan dikerjakan habis-habisan, namun yang berlaku adalah sebaliknya.

Berkatalah Imam Shamil kepada mereka, “Pulanglah semula kepada orang-orang kamu. Ceritakanlah kepada mereka apa yang kamu dengar dan apa yang kamu lihat”.

Kongsikan :

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...