DI SALONIQUE
Beliau lalu pergi ke Salonique dan berkenalan dengan para pemimpin organisasi Persatuan dan Kemajuan. Keranabeliau adalah orang yang sentiasa mengajak kepada kebebasan dan prinsip musyawarah Islam, maka beliau mendapat kehormatan daripada para pemimpin tersebut. Akan tetapi mereka tidak mampu menjadikanya sebagai ikutan mereka dan beliau tetap bebas pemikiran dan keperibadian. Bahkan ketika beliau merasakan sebahagian dari mereka tidak komited terhadap agama malah memusuhinya, beliau berkata kepada mereka, “Kalian telah memusuhi agama dan memalingkan diri dari syari’at.”
Masih di Salonique, seorang Yahudi yang terkenal, Emmanuel Karh Saw, ketua perkumpulan Masonic dan anggota Dewan Rakyat Uthmaniah, ingin menemuinya dengan tujuan untuk mempengaruhinya dan memasukkannya ke dalam barisannya. Badiuzzaman menemuinya akan tetapi tidak lama kemudian Yahudi tersebut keluar sambil berkata, “Orang yang mengkagumkan ini hampir memasukkan saya ke dalam Islam dengan kata-katanya.” (9) Emanuel Karh Saw ini adalah seorang Zionis Masonic pertama yang berusaha menggulingkan kekhalifahan dan mengusir Sultan Abdul Hamid.
PENGERTIAN KEBEBASAN
Ketika Peraturan Kedua[1] diumumkan di kerajaan Uthmaniah pada 23 Julai 1908M, Said mengerahkan seluruh tenaganya untuk menyampaikan khutbah dan menulis majalah-majalah untuk menerangkan pengertian kebebasan di dalam Islam dan pengaruh Islam di dalam kehidupan politik dan untuk menuntut diperakukan syari’at Islam serta memperingatkan salah tafsir terhadap erti kebebasan. Beliau melakukan semua itu kerana merasakan adanya usaha-usaha jahat dan tangan-tangan tersembunyi untuk memperalatkan peraturan tersebut demi kepentingan yang bertentangan dengan Islam. Beliau antara lain berkata, “Wahai anak-anak bangsaku! Janganlah menyalah tafsirkan erti kebebasan supaya ia tidak terlepas dari tanganmu. Janganlah kamu menuangkan perhambaan yang menjijikkan ke dalam wadah yang gemerlapan lalu memberikannya kepada kami untuk meminumnya. Sesungguhnya kebebasan itu tidak akan direalisasikan dan tidak akan berkembang melainkan dengan menerapkan hukum-hukum syari’at dan memelihara adab-adabnya.”
PERTEMUAN DENGAN SYAIKH AZHAR
Ketika itu Syeikh Azhar Mesir iaitu Syaikh Bakhyat Muti’i[2] berkunjung ke Istanbul. Ulama’ Istanbul yang tidak mampu mengalahkan Said Nursi mahu supaya Syeikh tersebut mengadakan debat dengan Said. Syeikh Bakhyat menerima cadangan itu dan dia menggunakan kesempatan berada di salah sebuah warung kopi dekat masjid Aya Sofya setelah maghrib untuk memulai perbincangan dengan Said di depan para ulama’. Dia mengemukakan pertanyaan berikut, “Apa pendapatmu mengenai kebebasan yang wujud sekarang di kerajaan Uthmaniah? Dan apa pendapatmu tentang peradaban Eropah?” Jawab Said, “Kerajaan Uthmaniah sekarang mengandungkan janin Eropah dan suatu hari nanti akan melahirkan.” Mendengar jawapan ringkas lagi mendalam itu Syeikh Bakhyat tidak mampu berbuat apa-apa selain berkata, “Saya setuju dengan kata-katanya. Saya sendiri juga mempunyai pendapat yang sama. Saya tidak mampu berdebat dan berdiskusi dengan pemuda seperti ini.” (10)
Dan pada 5 April 1909M terbentuklah organisasi Persatuan al-Muhammadi di Istanbul. Pendiriannya diumumkan setelah satu pertemuan agama di masjid Aya Sofya di mana Badiuzzaman menyampaikan khutbah yang mengkagumkan. Beliau tidak termasuk sebagai pengasasnya akan tetapi beliau adalah orang yang menyeru dan mendukungnya.
------------------------------------------------
[1] Peraturan yang mengharuskan pengumuman undang-undang dan pemilihan wakil rakyat di mana kementerian bertanggungjawab ke atasnya.
[2] Beliau adalah Syeikh Muhammad Bakhyat bin Husein al-Muti’I al-Hanafi Mufti dan ahli fiqih Mesir. Beliau dilahirkan di desa al-Muti’ah, kekuasaan Asyut. Beliau belajar di al-Azhar lalu mengajar di sana. Beliau pindah pada pengadilan agama pada 1297H dan menjalinkan hubungan dengan Sayyid Jamaluddin al-Afghani, kemudian beliau dilantik sebagai Mufti Mesir pada 1333H hingga 1339H. Beliau menulis buku-buku bermutu. Wafat pada 1354H. (Lihat al-A’lam karanganaz-Zarkali, jilid 6, ms. 274)
PERISTIWA 31 MAC 1325 ROMAWI
Ramai orang menulis tentang peristiwa ini dan menganalisis sebab-sebabnya. Orang-orang yang menulis selepas penggulingan Sultan Abdul Hamid merujukkan sebabnya kepada Sultan Abdul Hamid dan mereka menganggapnya sebagai suatu usaha penggulingan yang dirancang oleh Sultan untuk melenyapkan organisasi Persatuandan Kemajuan.
Akan tetapi buku sejarah yang lahir pada akhir-akhir ini setelah munculnya dokumen dan catatan peribadi orang-orang yang hidup pada masa pergerakan itu, menafikan tuduhan tersebut dan membuka sebab yang sebenarnya peristiwa berdarah itu. Buku-buku tersebut justeru menuduh Persatuan dan Kemajuanlah yang merancang dan memperalatkannya untuk menggulingkan Sultan Abdul Hamid.
Yang kuat adalah pendapat yang mengatakan bahawa peristiwa itu terjadi kerana beberapa sebab yang saling berkaitan antara lain: rakyat merasakan bahawa organisasi Persatuan dan Kemajuan telah jauh dari agama dan malah menjalinkan hubungan yang erat dengan Masonic dan Yahudi, dan bahawa organisasi Persatuan dan Kemajuan telah membuat suasana yang menakutkan di dalam kerajaan dengan pembunuhan Hasan Fahmi Bik, editor suratkhabar Sarbasti yang telah menyerang organisasi tersebut dengan usul-usul sengit. Dia dibunuh di atas jambatan Ghaltah dan pembunuhnya tidak diketahui. Ismail Mahir Basha juga turut dibunuh. Di dalam kerajaan juga tersebar isu bahawa pegawai yang naik pangkat kerana pengabdian panjang dalam tentera akan disingkirkan sehingga yang tinggal hanyalah mereka yang berkelulusan fakulti ketenteraan sahaja dan isu bahawa organisasi Persatuan dan Kemajuan telah menjual Bosnia dan Herzegovina serta kepulauan Crete dari wilayah Balkan.
Dalam suasana yang sengit dan panas terhadap organisasi Persatuan dan Kemajuan ini terjadilah peristiwa tersebut. Para tentera yang diutus oleh anggota-anggota Persatuan dari kota Salonique ke Istanbul untuk menjaga Persatuan Sultan membelot di Tash Qashlah. Mereka menangkap komandan-koman dan mereka di sana dan berkumpul pada pertengahan malam 31 Mac 1325 Romawi bertepatan dengan tarikh 31 April 1909M di perkarangan rumah Sultan Ahmad. Ramai tentera dari pasukan-pasukan lain bergabung dengan mereka dengan mengumumkan pembelotan mereka selama sebelas hari. Beberapa korban berlaku. Suasana tembak-menembak berlangsung sengit. Para tentera berteriak, “Kami mahu syari’at… Kami mahu syari’at…”
Peristiwa tersebut berakhir dengan datangnya tentera pergerakan ke Istanbul pada 23 April. Mereka dapat menguasai keadaan dan menyingkirkan Sultan Abdul Hamid pada tanggal 27 April 1909M. (11) Mereka mengumumkan hukum perang dan membentuk mahkamah tentera untuk mengadili orang-orang yang bertanggungjawab atas peristiwa tersebut.
PENGADILAN
Said Nursi adalah salah seorang yang diajukan ke tali gantung. Padahal peranan Badiuzzaman Said Nursi dalam peristiwa tersebut adalah sebagai pengaman. Beliau menasihati para tentera untuk kembali ke pengkalan dan mentaati komandan mereka. Beliau telah beberapa kali berkhutbah di hadapan tentera mengenai hal itu akan tetapi nampaknya mahkamah menuduhnya kerana beliau menulis di suratkhabar Vulcan (bermaksud gunung berapi) yang menyiarkan usul-usul sengit menentang organisasi Persatuan dan Kemajuan.
Di dalam mahkamah pemandangan lima belas mayat yang digantung nampak melalui celah-celah tingkap; hakim tentera Khurshid Basha mulai mengadili Badiuzzaman. Katanya, “Kamu juga menyeru penerapan syari’ah? Orang yang menuntut diperakukan syari’ah akan digantung seperti mereka.” (sambil menunjuk kepada orang-orang yang digantung).
Badiuzzaman terus bangun dan mengeluarkan kata-kata menakjubkan di depan mahkamah. Nukilannya antara lain adalah seperti berikut, “Jika saya mempunyai seribu nyawa, saya tidak akan ragu-ragu untuk menjadikannya sebagai tebusan satu hakikat daripada hakikat-hakikat Islam. Telah saya katakan bahawa saya ini adalah penimba ilmu, maka saya menimbang segala sesuatu dengan timbangan syari'at. Saya tidak mengakui selain agama Islam. Saya katakan hal ini kepada kalian sedang saya berdiri depan alam barzakh yang kalian sebut sebagai “penjara"sambil menunggu keretapi yang akan membawaku ke akhirat. Bukan untuk kalian yang mendengar ini sahaja tapi untuk seluruh dunia. Ketahuilah, telah tiba waktunya segala isi hati dibuka dan ditonjolkan, maka barangsiapa tidak dihalang, janganlah dia melihat kepadanya.
Sesungguhnya saya sangat rindu untuk datang ke akhirat. Saya siap pergi bersama mereka yang telah digantung. Bayangkan seorang Badwi desa yang mendengar tentang keajaiban dan keindahan Istanbul, pasti dia akan merinduinya. Saya persis seperti Badwi tersebut dalam kerinduan terhadap akhirat. Sesungguhnya pengasingan saya ke sana bukanlah hukuman. Jika kalian mampu, maka hukumlah saya dengan hukuman perasaan. Mahkamah ini telah memusuhi akal pada hari-hari kediktatoran, maka hiduplah orang-orang gila, hiduplah kematian dan untuk orang-orang yang zalim hiduplah neraka Jahannam…”
Dalam satu sidang sahaja dikeluarkan keputusan pembebasan Badiuzzaman dari mahkamah menakutkan yang telah menggantung puluhan orang itu. (12)
Setelah pembebasan Badiuzzaman dari mahkamah tentera, beliau meninggalkan kota Istanbul menuju ke Wan pada 1910M melalui jalan pesisir laut hitam. Beliau menyampaikan pelajaran dan kuliah-kuliahnya kepada kabilah-kabilah dan puak-puak yang dilaluinya. Beliau mengajar mereka dengan perkara agama dan menunjukkan kepada mereka perkara yang hak.
Dan di sana beliau mengarang bukunya “al-Munadharat” (13) yang dicetak di Istanbul pada 1913M.
MENUJU SYAM
Pada musim dingin tahun 1911M (1327H) beliau mengunjungi kota Syam di mana saudara perempuannya tinggal di sana. Beliau menyampaikan khutbahnya dan menyeru para ulama’ dan para jema’ah dalam bahasa Arab di masjid umawi di Damaskus. Khutbah tersebut telah dicetak dengan tajuk “al-Khutbahasy-Syamiyah”[1] yang berisi huraian tentang penyakit umat dan terapinya yang antara lain sebagai berikut:
1. Rasa putus asa masih hidup di dalam diri kita.
2. Matinya kejujuran di dalam kehidupan sosial dan politik kita.
3. Suka permusuhan.
4. Melalaikan ikatan kejiwaan yang mengikat sebahagian kaum mukminin dengan sebahagian yang lain.
5. Berleluasanya kediktatoran seperti penyakit menular.
6. Mengerahkan himmah untuk kepentingan individu tanpa memperhatikan kemaslahatan umum.
Lalu beliau menerangkan tentang terapi penyakit tersebut satu persatu yangantara lain dimulainya dengan “al-amal” ( harapan ).
Kemudian dari Damaskus beliau menuju ke Beirut dan kembali semula ke Istanbul melalui jalan laut untuk berusaha sekali lagi merealisasikan ideanya mendirikan Universiti az-Zahrak. Beliau menemui Sultan Muhammad Rashad dan mengiringinya bersiar-siar ke Rumlai. (14)
Beliau menagih janji Sultan dan organisasi Persatuan dan Kemajuan untuk membuka wisma seni Islam (seperti universiti Islam) di timur akan tetapi Perang Dunia Pertama memusnahkan projek itu. (15)
0 comments:
Post a Comment