"Akal adalah makhluk Allah terbesar yang melayakkan manusia menjadi khalifah-Nya. Tunjuk peta fikiran yang benar dan mendudukkan ilmu pada martabat yang sebenar supaya terjadi seperti sebatang pokok yang bermula dari akar tunjang, perdu, batang, cabang ranting, daun, bunga dan buah." - Ustaz Abdul Halim Abas

Monday, January 21, 2013

Menentang Keserakahan dan Menundukkan Nafsu Ammarah

Manusia Kufur Nikmat!!! 


“Demi kuda perang yang berlari kencang dengan terengah-engah. Dan kuda yang memercikkan api dengan pukulan (kakinya).Dan kuda yang menyerang dengah tiba-tiba pada waktu subuh. Maka ia menerbangkan debu. Dan menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh. Sesungguhnya manusia itu sangat engkar. Dan sesungguhnya manusia itu menyaksikan sendiri keingkaran. Dan sesungguhnya dia sangat bakhil kerana cintanya kepada harta. Maka adakah diatidak mengetahui apabila dibangkitkan apa yang ada di dalam kubur. Dan dilahirkan apa yang ada di dalam dada. Sesungguhnya tuhan mereka Maha Mengetahui akan keadaan diri mereka.”

(Al Adiyat: 1-11)


Allah memberi celaan kepada manusia yang lebih mementingkan dunia daripada akhirat. Allah juga mencela manusia yang tidak membiasakan diri berbuat kebaikan demi hidup di akhirat. 

Salah satu tanda manusia kufur nikmat ialah apabila dia tidak mahu hidup bersederhana. Kekayaan harta benda dan ketinggian pangkat menjadi ukuran pada mata hatinya dalam menilai sesuatu perkara.

Manusia tidak mahu mengambil sikap zuhud Rasulullah SAW, sedangkan cara hidup yang sederhana itulah telah berjaya menundukkan hawa nafsu masyarakat Islam dalam hal kedunian.

Dalam Surah Al Adiyat yang diturunkan di Makkah, Allah SWT mengingatkan manusia agar bekerja bersungguh-sungguh untuk Akhirat kerana kehidupan di Akhirat itu ADALAH MATLAMAT SEBENAR KEHIDUPAN.

Permasalahan manusia hari ini terutama umat Islam ialah mereka suka mengambil DUNIA SECARA BERLEBIH-LEBIHAN. Apabila dapat sedikit kemewahan, mulalah kita lupa kepada TUHAN. Amal jariah dilakukan hanya sekadar mahu mengambil ‘berkat’ dengan niat supaya urusan kehidupan bertambah lancar.

Kita jadi mudah lupa dengan nikmat yang diberikan, malahan sering juga kita membelakangkan Allah apabila diselubungi nikmat DUNIA. Segelintir kita berasa sangat senang dengan kemewahan yang diperoleh walaupun di sekeliling kita umat Islam terus lemah dan terhina di mana-mana. Harta dan kuasa yang dikurniakan Allah tidak juga kita gunakan untuk berjuang dan berbakti kepada Allah.

Kita lebih suka membiarkan agama Islam ditindas dan diperlekehkan. 

Umat Islam di Makkah diasuh oleh Nabi SAW untuk bermudah-mudah dalam kehidupan. Si kaya menolong si miskin dan si miskin pula jadi redha dengan keadaan diri disamping berusaha membaiki taraf hidup. Perjuangan Rasulullah SAW di Makkah adalah jihad harta dan peribadi.

Para sahabat dipupuk perasaan cintakan kesederhanaan tidak kira yang berharta seperti Saidina Abu Bakar, Uthman dan Abdul Rahman bin Auf r.a atau pun yang jadi miskin seperti Rasulullah SAW atau pun yang memang miskin seperti Saidina Ali dan Bilal bin Rabah r.a sendiri. Hidup zuhud ini terbit dalam hati setiap manusia yang mempunyai cita-cita Akhirat.

Dunia bagi mereka ibarat racun yang membunuh hati dan perasaan cintakan Allah. Dunia digunakan semata-mata untuk ‘menebus’ Akhirat. Oleh yang demikian dunia yang berupa perhiasan seperti harta dan pangkat digunakan sebagai alat untuk menegakkan Hukum-Hakam Allah, menolong perjuangan Islam, membela fakir miskin, anak yatim dan orang tua, membangunkan ekonomi umat Islam, meningkat dan menambah baik teknologi yang memberi manfaat kepada manusia sejagat, melawan kekufuran yang berleluasa, melawan musuh-musuh Allah, memperbaiki akhlak sekalian manusia,menambah ilmu pengetahuan umat Islam dan menegakkan agama Allah.

Jika kita tidak melakukan perkara-perkara sebegini, malanglah nasib kita kerana dunia itu sudah dibentangkan supaya kita berusaha membaikinya dari kerosakan yang telah berlaku. Dunia ini dibukakan seluas-luasnya untuk kita membuat kebaikan semata-mata mendekatkan diri kepada Allah.

Semangat bekerja untuk Akhirat adalah satu tiupan semangat kekuatan yang perlu dihembus masuk ke dalam hati-hati umat Islam supaya mereka sedar akan kepentingan bekerja keras untuk kesejahteraan manusia.

Mereka yang lalai, perlu diketuk semula hatinya dengan peringatan-peringatan dari Al Quran, Hadis dan kisah-kisah sejarah agar mereka kembali bertenaga membantu Islam, sedar akan tanggungjawab mereka dan kembali kepada Rahmat Allah. 

Kufur nikmat adalah penyakit yang membuatkan seseorang manusia itu lupa diri dan tidak mahu kenal PENCIPTA nya. Mereka ini merasa cukup hebat dengan apa yang diusahakan oleh tangan-tangan mereka sendiri walaupun jauh di sudut hati, mereka tahu kejayaan itu semata-mata PEMBERIAN DARI ALLAH YANG MAHA KAYA.

Kufur nikmat adalah sikap yang sangat merugikan umat Islam kerana ia dapat melahirkan rasa bongkak, malas berjuang, takut berkorban, bakhil, tamak dan ujub dalam hati manusia itu sendiri. Mereka yang kufur nikmat akhirnya jadi liat untuk berjuang demi Allah.

Mereka lebih suka membutakan mata dan buat tak tahu terhadap keperluan membangunkan Islam. 

NIKMAT DUNIA adalah jambatan untuk mendapat TAQWA. Kesederhanaan dalam mencari dunia adalah ciri-ciri taqwa yang berkesan dalam menundukkan nafsu duniawi dalam diri manusia.

Manusia yang sudah ada taqwa dalam hatinya akan berasa senang walaupun hidup susah. Malahan orang yang ada taqwa juga akan berasa bersyukur jika diberikan seluruh kekayaan dunia ke dalam tangannya. Buktinya Rasulullah SAW sendiri mempunyai access yang cukup luar biasa untuk mendapatkan kekayaan dunia.

Malahan jika baginda mahu, seluruh Bukit Uhud sudah bersedia bertukar menjadi emas jika dipinta. Namun apalah ukurannya emas sebanyak gunung sekali pun kerana semua itu tidak ada nilainya di sisi Allah.

Inilah contoh kesederhanaan dalam kehidupan. Walau sebanyak manapun kekayaan dunia di dalam genggaman kita, cita-cita Akhirat langsung tidak boleh diketepikan.

Ambillah dunia sebanyak-banyaknya, namun di hati kita jangan sedikit pun tercalit perasaan cintakan dunia. Biarlah kita ini bersederhana dalam kehidupan demi Islam dapat ditegakkan, amal jariah tersebar luas, ekonomi Islam bertambah maju, umat Islam bersatu-padu, umat Islam menjadi umat contoh yang boleh diteladani, umat Islam jadi kaya ilmu, bijak pandai pada pemikiran dan dunia menjadi aman sejahtera kerana kebaikan yang ada di merata-rata.

Misi yang dibina para Rasul hanya dapat  diteruskan sekiranya umat akhir zaman mempunyai cita-cita Akhirat dan bebas dari penyakit lupa diri, kufur nikmat dan malas berjuang. Berkorban demi masa depan Islam ialah tuntutan batin bagi orang-orang yang ada TAQWA dan RASA SYUKUR KEPADA ALLAH.

RUGINYA HIDUP KITA JIKA DUNIA INI DIKEJAR SEMATA-MATA UNTUK DUNIA. NIKMAT DUNIA DIKURNIAKAN ALLAH UNTUK KITA MEMPERJUANGKAN AKHIRAT. DUNIA ITU JAMBATAN AKHIRAT. MALANGNYA RAMAI MANUSIA YANG SALAH FAHAM DAN TERUS LALAI DARI BERKORBAN DEMI ALLAH DAN MASA DEPAN AGAMA ISLAM. 

USAHAKANLAH UNTUK MEMBAIKI DIRI dengan TAQWA......

Kongsikan :

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...