Sebelum kita membahas biografi Sheikh Badiuzzaman Said Nursi, kita harus mengetahui secara ringkas beberapa peristiwa besar yang terjadi pada masa kehidupan beliau dan penderitaan serta kepedihan yang meninggalkan luka mendalam di dalam lubuk hati beliau ketika menyaksikan umatnya menderita dan merintih.
Beliau – semoga Allah merahmatinya, dilahirkan pada masa pemerintahan Sultan Abdul Hamid ath-Thani iaitu di masa-masa terakhir kerajaan Uthmaniah yang hampir tumbang.
Beliau hidup semasa banyak musuh berlumba-lumba menghancurkan kerajaan ini. Mereka begitu dengki terhadap Islam dengan wujudnya negara berbentuk Khalifah.
Meskipun usaha gigih Sultan Abdul Hamid untuk memelihara kerajaannya yang luas selama 33 tahun iaitu dengan menggunakan kecerdikan polisinya, memanfaatkan suasana antarabangsa dan usahanya membangkitkan dunia Islam serta peringatan akan pentingnya kesatuan dan perpaduan di kalangan bangsanya untuk menghadapi angin taufan dari Eropah yang berdendam, namun semua itu sudah terlambat kerana agen-agen asing telah mampu membuat pos-pos pada waktu yang tepat di tengah-tengah negara untuk meruntuhkan pohon kerajaan dari akar-akarnya, kemudian setelah itu menggugurkan batang serta dahan-dahannya.
Pakatan telah dibuat dengan sangat teliti oleh kumpulan dan jaket mata-mata asing sehingga Sultan ridak mampu menghalang rampasan kuasa yang telah dirancang oleh kekuatan luar dan memperalatkan pelbagai organisasi dan persatuan untuk melaksanakannya.
Setelah Sultan digulingkan dari pemerintahan, media massa antarabangsa membuat propaganda meluas sehingga berhasil memburuk-burukkan Sultan yang teraniaya dan memberikan gelaran “Sultan Merah”, maksudnya penumpah darah atau algojo.
Hal ini menyalahi hakikat dan realiti kerana dokumen-dokumen rasmi dan kajian-kajian sejarah pada akhir-akhir ini membuktikan kepalsuan propaganda tersebut. Barangkali sikapnya yang keras terhadap zionis Emanuel Karh Saw dan keengganannya bertolak ansur sedikit pun dalam masalah bumi Palestin dengan orang-orang Yahudi, dapat menjelaskan sebab propaganda sengit tersebut.
Kemudian anggota-anggota organisasi Persatuan menggantikannya dengan Sultan Muhammad Rashad sehingga melalui beliau, mereka dapat menguasai politik kerajaan yang baru dan mereka memegang tampuk kepimpinan sehingga mereka mempunyai pengaruh dalam kehidupan sosial dan mempu mendekatkannya selangkah demi selangkah kepada contoh kehidupan peradaban Eropah yang mereka kagumi.
Meskipun anggota-anggota organisasi Persatuan menyeru slogan-slogan seperti “kebebasan, persaudaraan dan persamaan”, akan tetapi sebenarnya mereka mengamalkan sistem kediktatoran merah berdarah dengan membunuh para penentang mereka di jalan-jalan dan menyeksa orang-orang yang ada tanda-tanda hendak menentang.
Tidak cukup sekadar hal itu akan tetapi mereka juga mengiringi Kerajaan Uthmaniyah ke kancah Perang Dunia Pertama tanpa alasan sehingga pada akhirnya kerajaan tersebut hancur sehancur-hancurnya. Para pemimpin organisasi Persatuan lari ke luar negara meninggalkan umat yang menderita akibat perang pemusnah yang menyebabkan negara berada di bawah genggaman tentera asing.
Setelah kemangkatan Sultan Muhammad Rashad iaitu ketika perang, dinobatkanSultan Muhammad Wahiduddin yang membenci anggota-anggota Persatuan. Sultan ini dinobatkan ketika negara telah kalah dalam perang dan Inggeris, Yunani, Itali dan Armenia telah menguasai pelbagai daerah di kawasan Turki. Bahkan Istanbul sendiri berada di bawah jajahan British sehingga pada hakikatnya Sultan adalah tawanan Inggeris.
Demikianlah gambaran yang menyedihkan selepas perang. Dan sebalik itu, bangsa kalah yang menjadi porak-poranda kerana peperangan. Mereka menderita di bawah penaklukan para pengganas. Di dalam perasaan mereka ada luka yang dalam kerana kehilangan segala sesuatu yang mereka bangunkan dengan keringat, jihad dan aqidah mereka selama beberapa kurun waktu.
Di antara hal yang mengkagumkan ialah bahawa Badiuzzaman – semoga Allah merahmatinya, telah meramalkan terjadinya tragedi yang mengerikan ini. Beliau sering memperingatkan orang-orang yang berkenaan dan bertanggungjawab dari kalangan para Sultan dan penguasa, bahawa abad yang akan datang adalah “abad ilmu pengetahuan”.
Oleh itu, sekolah-sekolah agama yang ada pada ketika itu yang hanya mengajarkan ilmu-ilmu agama sahaja, tidak dapat melahirkan generasi muda yang mampu menghadapi para pengagum peradaban Barat selama ilmu-ilmu tersebut tidak ditambah dengan ilmu-ilmu pengetahuan alam moden.
Beliau telah memperingatkan di dalam banyak khutbah, majalah, karangan dan pertemuan peribadi serta lawatan beliau ke pelbagai kota dan desa. Semua itu untuk membangunkan umat dan orang-orang yang bertanggungjawab dari kelalaian yang telah lama dan dari tragedi yang bakal terjadi itu.
Akan tetapi seruannya tidak didengar melainkan oleh telinga yang tuli dan hati yang tertutup, sehinggalah terjadinya tragedi itu.
Bangsa Turki tidak mempunyai apa-apa lagi selain keimanan yang kuat untukmenghadapi ribut taufan dan melindungi diri dari anak panah musuh dan senjata penjajah. Maka begitu seruan iman dan Islam menerpa ke lubuk hati bangsa ini; mereka segera bangkit mengerahkan sisa-sisa kekuatan dan potensinya dan mengambil keputusan untuk terjun ke dalam kancah peperangan media massa melawan para penyerang. Dan itulah yang disebut “Perang Kemerdekaan”.
Di sini kita melihat Sheikh Badiuzzaman – semoga Allah merahmatinya, berdiri di barisan paling depan dan parit yang pertama iaitu di Istanbul. Beliau tidak rela meninggalkannya ke tempat lain. Beliau menunaikan kewajipan sucinya melawan penjajah dengan sebaik-baiknya.
Dalam pada itu, Sultan Wahiduddin memberi isyarat untuk melakukan perang kemerdekaan. Besar kemungkinan beliaulah yang mempersiapkan para pemimpin peperangan tersebut melarikan diri secara rahsia ke Anatolia untuk memimpin bangsa yang beriman ini masuk ke kancah perang melawan penjajah.
Bangsa Turki telah siap untuk bekorban dengan segala yang mereka miliki demi aqidah dan kebebasannya. Mereka sama sekali tidak mahu menyerahkan tongkat kepimpinan kepada siapa saja yang mempunyai bau permusuhan terhadap Islam.
Oleh sebab itu perang kemerdekaan adalah pertempuran yang dipimpin oleh akidah jihad di jalan Allah kerana memang di sana tidak ada fikrah lain yang mampu membangkitkan semangat dan menyatukan umat untuk memasuki peperangan sengit melawan tentera pelbagai negara di dalam kondisi yang sangat buruk.
Akan tetapi apabila kepimpinan berada di tangan Mustafa Kamal dan dia menjadi orang nombor satu di kerajaan, dia telah menghapuskan sistem Khalifah, menggantikan undang-undang syari’at dengan undang-undang Swiss, menyingkirkanpara penentangnya di kalangan para pemimpin yang dahulu bersama dengannya, memaksa kehidupan ala Barat ke atas umat dan menjadikannya sebagai undang-undang serta menghukum dengan sekeras-kerasnya orang yang melanggarnya.
Dia juga menggantikan huruf Arab dengan huruf Latin, menukarkan azan dengan azan berbahasa Turki dan perubahan-perubahan lain yang dahsyat.
Di sini di persimpangan jalan yang amat berbahaya dalam kehidupan umat, dan di depan angin taufan rasaksa yang menggoyangkan kehidupan sosial, muncullah Badiuzzaman untuk memikul keprihatinan umat dan menunaikan kewajipan risalah dengan menazarkan diri dan kehidupannya dan setiap detik waktunya, jauh dari kumpulan politik dan majlis-majlisnya.
Beliau tekun mengarang risalah-risalah an-Nur dan menyebarkannya di semua kalangan umat pada waktu yang sangat genting dan sukar untuk mempersiapkan masyarakat Islam seumpamanya yang penuh dengan vitaliti dan iman.
Kini kami mempersilakan pembaca yang budiman untuk menelaah sendiri usaha tokoh besar ini di dalam masalah dakwah yang paling agung iaitu dakwah Islam.
0 comments:
Post a Comment