Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (Nabi Muhammad SAW) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung olehmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, ia pula menumpahkan perasaaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling & engkar, maka katakanlah (wahai Muhammad), Cukuplah bagiku ALLAH (yang menolong & memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan DIA, kepada DIA lah aku berserah diri, dan DIA lah yang mempunyai Arash yang besar.”
(At Taubah: 128-129)
Umat manusia akhir zaman sesungguhnya sangat beruntung kerana dikurniakan Allah, seorang pemimpin istimewa yang sangat mulia peribadinya, baik hatinya, suci jiwanya, gigih perjuangannya, kasih kepada umatnya serta sangat benar kata-katanya.
Baginda Rasulullah SAW diberikan wahyu tentang akhir zaman, antaranya rentetan peristiwa yang bakal berlaku kepada manusia sehingga datangnya Hari Kiamat. Manusia seluruhnya wajib beriman terhadap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW tidak kira perkara itu melibatkan Tauhid, Syariat atau Akhlak Islam. Seluruh manusia juga wajib percaya kepada kata-kata Rasulullah SAW tidak kiralah sekiranya nabi itu bercerita tentang hal yang dahulu atau hal masa depan kerana hadis yang disampaikan oleh Rasulullah SAW datang dari Allah maka tidak hairanlah sekiranya nabi itu dapat menceritakan hal masa depan. Kepercayaan terhadap berlakunya Hari Kiamat termasuk dalam Rukun Iman yang peristiwanya ada disebutkan oleh Allah dalam Al Quran, diulas oleh Nabi SAW dan disampaikan oleh orang-orang soleh kepada manusia.
Kiamat itu terjadi apabila lengkapnya seluruh rentetan peristiwa yang pernah disebut Rasulullah SAW sekitar 1400 tahun yang lalu. Kebanyakan tanda-tanda kecil Hari Kiamat sudah pun berlaku dan kini sudah muncul tanda-tanda besar menandakan hampirnya Hari yang dijanjikan itu. Antara perkara yang besar yang bakal berlaku kepada manusia ialah kemunculan Dajjal, kedatangan Imam Mahdi a.s dan turunnya Nabi Isa a.s untuk membunuh Dajjal Laknatullah dan tentera-tenteranya. Oleh sebab kemunculan Dajjal ini pernah disebutkan oleh Nabi SAW, maka peristiwa ini sudah pasti akan berlaku. Baginda ialah SODIQUL MASDUQ iaitu yang kata-katanya itu benar dan dibenarkan.
Setiap umat akhir zaman merasakan merekalah yang bakal bertemu sang dajjal laknatullah dan merekalah yang akan diuji dengan tipu daya sang Dajjal yang sangat dahsyat. Perihal Dajjal banyak diperkatakan dalam hadis dan kini sudah biasa diperkatakan orang. Kemunculan Dajjal dirasakan sudah hampir waktunya bagi sesetengah orang. Namun tahukah kita bagaimana keadaannya apabila munculnya sang Dajjal. Dia membawa bersamanya fitnah terbesar yang tidak pernah disaksikan oleh seluruh alam sebelum ini.
Sifat fizikalnya sudah diketahui orang namun untuk menyelamatkan diri dari dajjal bukanlah sekadar kita tahu rupa parasnya. Sesungguhnya sang Dajjal akan datang kepada setiap manusia dengan membawa tawaran yang tidak dapat ditolak oleh mereka. Dunia ibarat syurga dan akhirat ibarat neraka. Manusia yang terpedaya akan patuh kepadanya dan manusia yang menentang akan diugut, dibakar hidup-hidup, ditembak, dipanggang beramai-ramai. Kalau si ibu enggan patuh, si anak akan dibunuhnya oleh sebab itu dikatakan pengikut dajjal itu terdiri dari ramai wanita. Bayangkan sekiranya anak kita yang masih kecil, cuba disakiti orang lain tidakkah nalurinya mengatakan yang si anak itu wajib diselamatkan? Maka si ibu yang mengikut nalurinya itu akhirnya akan patuh kepada Dajjal. Pada hari tu, naluri manusia juga tidak dapat menyelamatkannya dari fitnah Dajjal. Malah naluri manusia yang semulajadi itu juga bakal menempatkan seseorang manusia itu ke dalam tipu daya Dajjal.
Inilah yang dikatakan fitnah yang dahsyat yang bakal kita tempuh suatu masa nanti. Nauzubillah. Maka begitulah sedikit sebanyak perkara-perkara yang bakal berlaku kepada manusia apabila munculnya dajjal laknatullah seperti yang pernah dikhabarkan oleh Nabi SAW suatu masa dulu.
0 comments:
Post a Comment