"Akal adalah makhluk Allah terbesar yang melayakkan manusia menjadi khalifah-Nya. Tunjuk peta fikiran yang benar dan mendudukkan ilmu pada martabat yang sebenar supaya terjadi seperti sebatang pokok yang bermula dari akar tunjang, perdu, batang, cabang ranting, daun, bunga dan buah." - Ustaz Abdul Halim Abas

Monday, January 21, 2013

MEMBETULKAN JALAN FIKIRAN


KACAU BILAU DALAM MASYARAKAT

Kebanyakan kerosakan yang berlaku kepada diri manusia danorang di sekelilngnya adalah disebabkan cara berfikir yang salah. Tidak kira sejauh mana tingginya intelek seseorang itu, kalau cara fikirnya salah maka salahlah tindakannya. Seperti mana Robert S. McNamara, Henry Kissinger dan bijak pandai di luar sana yang otaknya luar biasa namun tindakannya sentiasa mengakibatkan kemusnahan nyawa dan kehidupan berjuta-juta manusia di muka bumi. Jadi di sini terdapat dua jenis jalan fikir iaitu berfikir untuk menghancurkan atau berfikir untuk mendamaikan. Oleh itu bagaimana pula yang boleh dikatakan cara berfikir yang betul dan cara berfikir yang salah?

AKAL MANUSIA

Akal manusia ialah makhluk Allah yang paling besar. Dengan kelebihan akal ini manusia disuruh mentadbir alam yang sangat luas. Tanpa akal, manusia itu lebih hina dari seekor haiwan. Semasa zaman para nabi dan rasul as,mereka dibekalkan Allah SWT dengan akal yang sangat tajam dan kebijaksanaan yang luar biasa. Buktinya banyak terdapat di dalam Al Quran, Hadis dan sejarah-sejarah ketamadunan manusia. Oleh itu bolehlah mereka ini dianggap sebagai cahaya penyuluh kepada ketamadunan manusia. Seperti juga Rasulullah SAW membawa manusia keluar dari zaman jahiliyah kepada dunia ilmu dan pengetahuan.

Mengapa di sini para pesuruh Allah dikatakan sebagai penyuluh ketamadunan manusia? Sedangkan bukan mereka yang membina piramid atau candi-candi di seluruh dunia? Di sinilah sebenarnya terletak maksud cara berfikir tadi iaitu sama ada berfikir untuk menghancurkan atau mendamaikan. Peranan para nabi dan rasul yang mempunyai ketajaman akal fikiran ialah membangunkan hati manusia agar wujud rasa kenal, takut dan cinta kepada Allah SWT. Mereka dikurniakan ilmu yang setinggi-tinggi ilmu iaitu wahyu dari AllahSWT. Antara rasul yang diberikan pengetahuan teknologi ialah Nabi Nuh as di mana baginda diarahkan agar membina sebuah bahtera yang boleh menahan ancaman bahaya besar sehingga dapat menyelamatkan sebahagian makhluk Allah di Mesopotamia. Jadi akal yang tajam tadi digunakan kerana Allah, atas perintah Allah tetapi atas daya usaha kreativiti baginda sendiri.

PENGETAHUAN SAMPAI MELALUI PROSES BANYAK BERFIKIR

Masalah yang berlaku kepada manusia adalah pencetus kepada kelahiran idea-idea baru bagi mengatasi sesuatu isu. Tanpa berusaha menyelesaikan masalah, manusia akan jadi malas berfikir dan terus kekal ditahap lama sepertimana yang berlaku pada zaman Jahiliyah Arab. Berfikir sangat menguntungkan sehingga orang yang mahu menipu seperti peniaga yahudi pun mendapat faedah. Keinginan mahu berfikir timbul dari desakan akal yang pada lumrahnya sentiasa mengalir. Apabila kebolehan berfikir ini disekat, maka kehidupan jadi statik, tidak berganjak ke mana-mana.

Dalam sejarah dunia, manusia banyak yang diprogramkan supaya patuh kepada kerajaan yang memerintah antaranya di kemboja semasa pentadbiran Khmer Rouge. Orang kemboja dipaksa menelan ideologi Khmer yang konon-kononnya mahu melahirkan generasi baru rakyatnya yang akan terikat dengan sejarah baru, cara hidup baru dan cara fikir yang baru. Begitu juga yang berlaku di kebanyakan negara di dunia kini. Rakyat disuruh berfikir hanya dalam bidang-bidang tertentu sedangkan kekayaan negara habis dilantak oleh segolongan manusia yang lain. Akhirnya segala doktrin jahat ditelan bulat-bulat sedangkan pada hakikatnya nilai kehidupan mereka sebagai manusia sudah pun terhakis. Oleh itu cara fikir yang begini telah nyata salah dan bercanggah dengan cara fikir Islam seperti yang dikehendaki Allah.

CARA FIKIR YANG SESUAI UNTUK ORANG ISLAM

Pertama dan yang diutamakan ialah KEHENDAK dan KUASA untuk  berfikir. Umat Islam disuruh banyak bermuzakarah apabila di tengah masyarakat dan bermuhasabah diri apabila berseorangan. Kedua-dua perkara ini adalah salah satu Sunnah Rasulullah SAW yang dapat menghasilkan percambahan buah fikiran. Oleh itu umat yang kuat berfikir akan sentiasa bergerak maju dengan lahirnya idea-idea untuk membangunkan manusia serta menegakkan Kalimah Allah.

Akal fikiran kita memerlukan makanan yang baik. Kesihatan akal terjamin jika kita mampu memasukkan ilmu pengetahuan dan informasi yang baik ke dalamnya. Manusia tidak akan jadi pandai berfikir sekiranya otaknya disumbat dengan terlalu banyak ‘sampah-sarap’ akibat menonton terlalu banyak program hiburan atau masak-memasak. Untuk melahirkan akal yang sihat, seseorang manusia perlu banyak terdedah kepada Al Quran, Hadis, ilmu pengetahuan yang dapat membuka minda, mendekatkan diri dengan orang bertaqwa, orang soleh dan para ilmuan. Pada zaman kini, manusia banyak yang menolak ilmu pengetahuan. Mereka terjebak dengan keseronokan berhibur, kurang berfikir dan sibuk mengisi jadual kerja. Hidup mereka hanya sekadar mengisi masa dari awal celik mata sehingga tidur diwaktu malamnya. Apabila ramai manusia yang bersifat begini, maka umat akan jadi lemah terutama sekali apabila suntikan-suntikan pemikiran jahat masuk ke tengah masyarakat. Mereka dengan rela hati  atau secara tidak sedar akan terpengaruh dengan unsur-unsur negatif yang sengaja dilontar untuk menguasai mereka.

Dari proses berfikir tadi, umat dapat menangkis dan mengikis unsur-unsur negatif yang merosak agama, masyarakat, budaya dan kehidupan. Tindakan yang dilaksanakan selepas perbincangan yang bernas dapat mengatasi pelbagai  masalah kehidupan. Rakyat miskin yang tidak cukup makan, dapat makan atas sebab ada pihak yang memikirkan bagaimana mengatasi masalah kemiskinan. Kemusnahan akibat banjir dapat diatasi kerana ada pihak yang berfikir dan bertindak membina empangan atau sistem saliran yang baik untuk mencegah banjir. Penyakit dapat dibasmi akibat ada pihak yang memikirkan pencegahan. Keruntuhan moral dibendung kerana ada pihak yang berusaha memikirkan metode terbaik mendidik kepimpinan dan orang awam. Budaya rasuah dihapuskan apabila ada pihak yang memikirkan cara memeranginya. Begitulah seterusnya, apabila di sesebuah negara atau di tengah-tengah umat ada ramai orang yang berfikiran ‘betul’.

Jalan berfikir yang betul itu akan terbukti berhasil mendatangkan faedah yang banyak kepada manusia dengan syarat UTAMA iaitu umat yang ingin maju perlulah KUAT BERFIKIR. Kemudian idea-idea yang terhasil disaring pula dengan Al Quran dan Hadis serta lain-lain sumber ilmu supaya bertepatan dengan kehendak Allah. Akhirnya perbuatan kita yang berlandaskan Al Quran dan Hadis akan mendatangkan hasil yang unggul kerana kita bertindak bersesuaian dengan fitrah manusia.

Apakah sebenarnya yang berlaku dalam proses berfikir? Semasa proses ini, akal yang sihat akan dapat ILHAM dari Allah. Akal yang kurang sihat pula akan dapat ilham namun dicacatkan oleh pengaruh Ammarah dan bisikan syaitan. Ilham yang disampaikan melalui orang-orang yang sihat akal dapat menyelesaikan masalah manusia secara ‘TOTAL’. Para nabi dan rasul as mempunyai akal yang sangat sihat dan tajam sehingga dapat merungkai wahyu yang sampai kepada mereka. Antaranya Rasulullah SAW yang berjaya membawa manusia jahil dan keras hati supaya beriman kepada Allah. Seluruh dunia ‘tunduk’ kepada kebijaksanaan Rasulullah secara langsung dan tidak langsung.

Bagi hamba Allah yang bukan rasul pula, ketinggian akal dan kesihatan fikiran seperti akal Saidina Umar Al Khattab telah berjaya menundukkan Rom dan Parsi. Abdul Rahman bin Auf yang mampu menumpaskan ekonomi yahudi di Madinah. Sultan Muhammad Fateh yang memikirkan strategi luar biasa akhirnya berjaya merobohkan kemegahan Kristian Byzantine di Istanbul. Oleh itu ketaqwaan dan ketinggian akal seseorang manusia itu dibantu oleh Allah dengan ilham sehingga mereka ini dapat memanfaatkan ilham tadi dengan melaksanakannya mengikut apa yang mereka faham. Di sinilah ketaqwaan memainkan peranan. Ketinggian akal tanpa bersandarkan taqwa akibatnya lahirlah tindakan yang salah. Tetapi dengan taqwa, semua fikiran dilaksanakan bertepatan dengan apa yang Allah mahu. Dengan taqwa dan akal yang tajam, umat Islam digeruni dan dihormati sehingga kebanyakan musuh menyerah diri dan mengakui kehebatan umat Islam.

Zaman itulah yang kita rindukan, cuma dalam umat Islam kini hanya sedikit yang suka memikirkan untung nasib saudara mereka. Kebanyakannya memperjuangkan periuk nasi sendiri, hanya sedikit di kalangan umat yang mahu ‘kerjanya‘ dinilai Allah semata-mata. Sedangkan apabila ditanya kepada  Rasulullah tentang kelebihan manusia di dunia mahu pun di akhirat, baginda sangat mengutamakan ketinggian akal. Oleh itu, kedudukan akal pada pandangan Rasulullah itu sangat tinggi kerana dengan akal yang sihat manusia mampu melaksanakan kebajikan dan kebaikan serta mencegah atau memerangi kemungkaran. Apabila akal umat Islam sudah maju maka semakin tinggilah keberadaban kehidupan mereka. Akal yang paling sihat ialah akal yang digunakan untuk menyumbang kepada agama. Badan yang sihat tanpa akal yang cergas hanya akan menyebabkan umat ditindas dan diperhambakan oleh orang lain.

Sabda Rasulullah SAW, “Tambahi ketinggian akalmu agar engkau bertambah dekat dengan Tuhanmu”

Kongsikan :

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...