"Dan ingatlah kisah
Nabi Ayub ketika ia menyeru Tuhannya, "Sesungguhnya saya telah ditimpa
penyakit dan Engkau adalah Tuhan yang lebih mengasihi daripada segala
yang mengasihi." Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami
hapuskan penyakit yang menimpanya dan Kami kurniakannya keluarga
seimbang dengan yang hilang. Bahkan ada pula tambahannya seiringan
dengan mereka sebagai rahmat dari Kami, dan peringatan teladan bagi
hamba-hamba Tuhan lainnya". Al Anbiyaa: 83-84
Umat
Islam perlu berusaha bersugguh-sungguh untuk memperoleh Iman. Sudah
menjadi sunnatullah barang berharga yang Allah ciptakan itu amat susah
untuk diperoleh. Iman dalam Islam adalah perkara yang pertama dan
mengatasi segalanya. Sesiapa dapat iman dalam hidupnya maka dia berjaya
dunia dan akhirat. Ibarat kalau terpaksa dibeli dengan nyawa sekalipun
maka terpaksalah kita beli dengan nyawa.
Iman itu
ditempa di dalam hati. Manusia perlu berusaha menempa hati mereka dengan
Iman yang tulen. Iman yang tulen ialah Iman yang diuji oleh Allah
dengan kesenangan dan kepayahan hidup. Adakala diujinya dengan penyakit
fizikal, penyakit batin, kemiskinan, penderitaan, kesenangan, kekayaan,
keselesaan, kekuasaan dan kekuatan, Ujian Allah kepada hambaNya ibarat
teguran-teguran kecil yang menunjukkan sifat KELEMBUTAN Allah kepada
makhlukNya. Di sini Allah MELIHAT kesungguhan dan kekuatan pegangan
hambaNya ketika diuji. Kalah dan menang manusia di dalam ujian
bergantung kepada kemurnian hatinya, usaha, tawakkal dan pergantungan
terhadap RAHMAT Allah.
Taarif iman yang sempurna menurut
Rasulullah SAW ialah yang disebut oleh lidah, diyakini oleh hati dan
dilaksanakan oleh perbuatan (mengaku, percaya, buat). Pada asasnya,
orang yang telah membenarkan dengan hati ucapan dua Kalimah Syahadah
perlulah membuktikannya dengan perbuatan seperti solat, puasa, zakat,
berjuang dan beramal jariah.
Juga terdapat Mukmin yang
sudah bulat kepercayaan dalam hatinya dengan Lailahaillallah tetapi
derhaka. Mereka ini perlu banyak bertaubat dan jika Allah tidak menerima
taubatnya maka nerakalah tempatnya tetapi tidak akan kekal. Menurut
Rasulullah SAW orang Islam yang banyak bertaubat kepada Allah tidak kira
waktu makan, kerja, berehat, membeli-belah dan sebagainya digolongkan
oleh Allah sebagai ahli taubat.
Maka ada pula orang
Islam yang mengucap dua Kalimah Syahadah dan kadang–kadang imannya itu
disertai sikap dan perbuatan. Tetapi hatinya pula dicelah oleh syak atau
dzan atau waham, orang seperti ini disebut ‘MUNAFIK’. Golongan seperti
ini akan menzahirkan Islam tetapi menyembunyikan kekufurannya. Golongan
munafik ini adalah hakikatnya kafir dan akan kekal di dalam neraka
bahkan tempatnya lebih dahsyat lagi daripada orang kafir. Mereka ini
adalah golongan yang ada berbuat baik kepada orang Islam TETAPI berbuat
lebih banyak kebaikan untuk orang kafir.
Golongan
manusia yang langsung tidak mengucap syahadah, tidak menyakini denga
hatinya dan tidak pula dilakukan dengan dengan perbuatanya dikatakan
kafir yang hakiki.
Bagi mukmin yang bersyahadah
disertai hati yang padu menyakini Allah dan Rasulnya dan dimanifestasi
juga dengan perbuatan dipanggil mukmin kamil. Mukmin kamil boleh
dibahagi kepada dua iaitu Mukmin muqarrabin dan mukmin soleh. Mukmin
Muqarrabin adalah orang yang paling hampir dengan Allah seperti para
rasul, nabi dan aulia Allah. Mukmin muqarrabin adalah yang paling cepat
masuk syurga manakala mukmin soleh adalah yang kemudiannya kerana ada
sedikit kecuaian dan hisabnya juga banyak.
Iman dalam
Islam adalah perkara yang pertama dan mengatasi segalanya. Ia merupakan
harta dunia dan akhirat. Sesiapa dapat iman dalam hidupnya maka dia
berjaya dunia dan akhirat, jika sebaliknya maka nerakalah tempatnya.
Perkara Iman ini seringkali disebut di pusat-pusat pengajian mahupun
ceramah umum namun untuk memperolehnya amat payah sekali.
Sebagai
contoh, seorang ahli ibadah yang banyak beribadah dan bila diuji Allah
SWT dengan kemiskinan, penyakit dan dipandang hina oleh masyarakat, maka
gelisah dan resahlah jiwanya. Ini menunjukkan iman seorang ahli ibadah
tadi masih lemah. Jika Allah memberikan nikmat pula, jarang antara kita
yang menyakini bahawa nikmat yang diberikan itu adalah dari Allah. Kita
selalu merasakan nikmat yang diperoleh itu adalah dari usaha kita
buktinya apabila kita mendapat sesuatu kebaikan, jarang sekali kita
ungkitkan hal itu kepada Allah. Kita ini bolehlah dikatakan sebagai
orang yang tidak bersyukur sekiranya kita sering berasa keluh-kesah
padahal semua keperluan makan, minum, rumah, kereta, isteri, anak-anak
semuanya cukup.
Cuba lihat sabda Nabi SAW,
“Barang
siapa di pagi-pagi hari merasa aman di rumahnya, merasa sihat badannya
dan melihat cukup makanannya untuk sehari, maka sebenarnya Allah telah
mengurniakan orang itu seluruh dunia serta isinya.”
Ini
menunjukkan pautan hati kita pada Allah tidak ada dan kita jarang
bergantung harap kepadaNya padahal Allah itu Maha Memberi dan Maha
Mengetahui. Jika seseorang itu beriman, maka apabila didatangkan ujian,
hatinya tidak gusar dan jiwanya sentiasa tenteram kerana dia menganggap
ujian itu sebagai hadiah dari Allah SWT dan diusahakan permasalahan tadi
hingga selesai dengan penuh yakin dan Tawakkal.
Firman Allah dalam Surah At Talak ayat 2-3,
“Barangsiapa
yang bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan lepaskan ia dari masalah
hidup. Dan diberikannya rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dan
barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan
mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang
dikehendakiNya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi
tiap-tiap sesuatu.”
Firman Allah di atas dapat memberi
panduan kepada orang-orang yang sering diuji oleh Allah. Adakalanya
kita marah dan kecewa apabila diuji dan ditimpa kesusahan padahal Allah
SWT itu memang gemar menegur hamba-hambaNya supaya mereka dapat mengenal
pasti kesilapan mereka dan kembali ingat kepadaNya. Manusia yang
inginkan Tuhan pasti akan diuji dengan pelbagai cara.
Nabi
Muhammad SAW adalah antara insan yang paling diuji oleh Allah.
Antaranya ramai umat Islam yang berpaling darinya selepas peristiwa
Isra’ dan Mikraj kerana tidak percaya dengan peristiwa ajaib itu. Diri
dan umatnya dipulaukan malah mereka merancang untuk membunuhnya. Begitu
juga dengan Nabi Ibrahim a.s yang dilempar ke dalam api dan disuruh
berpisah dengan anak isterinya serta diperintah Allah untuk menyembelih
Nabi Ismail a.s. Nabi Musa a.s yang terpaksa berdepan dengan ayah
angkatnya iaitu FIRAUN beserta bala tenteranya. Baginda diuji lagi
dengan perilaku pengikutnya yang keras kepala, suka menyeleweng dan
berpura-pura menyembah Allah, Nabi Ayub a.s diuji dengan kesenangan,
kesusahan, penghinaan dan penyakit, dibuang masyarakat sehingga terpaksa
mengasingkan diri.
Begitulah fitrahnya, manusia itu tidak
mengira pangkat dan kedudukan sentiasa berada dalam ujian. Dunia ini
ibarat penjara yang disediakan Allah untuk menguji hambaNya. Maka ibadah
pula adalah pengisian dalam menunggu tempoh dalam tahanan. Dunia adalah
tempat manusia berusaha mengatasi masalah hidup sambil mencuba
sedaya-upaya mengikut perintah Allah dan meninggalkan larangaNya.
Imbalan kepada susah-payah di dunia adalah Akhirat yang sangat bahagia
di mana manusia bersenang-senang dengan Nikmat dan Kurniaan Tuhan Yang
Maha Mengasihi.
Nabi Ayyub a.s diuji Allah dengan
kesenangan dan ketaqwaan sehingga dicemburui iblis dan sekutunya. Iblis
yang licik itu telah mempertikaikan nikmat keimanan yang diberikan Allah
kepada Nabi Ayyub a.s dengan mengaitkannya dengan nikmat kekayaan yang
dikurniakn Allah kepada Nabi Ayyu a,s. Maka untuk membuktikan Kebenaran
Kata-KataNya, Allah SWT telah mengizinkan iblis untuk menyakiti Nabi
Ayyub dan menghasut isteri baginda serta seluruh masyarakat untuk
membenci baginda.
Perbuatan Iblis tadi dengan izin
Allah telah menyebabkan Nabi Ayyub a.s kehilangan segala-galanya.
Baginda diuji dengan kematian anak-anaknya, perniagaannya muflis,
baginda jadi miskin papa kedana, dipandang hina, dijangkiti penyakit
yang sangat dahsyat, ditinggalkan isteri dan dipulaukan masyarakat.
Baginda telah dihalau dari rumahnya dan terpaksa bersembunyi di dalam
gua. Maka terganggulah urusan dakwah baginda secara sedikit demi
sedikit. Dikatakan baginda menghidap penyakit ganjil ini ketika berusia
70 tahun.
Keadaan Nabi Ayyub ini telah menggembirakan
iblis dan tenteranya lalu mereka mula berasa yang usaha mereka telah
berhasil. Mereka menyangka Nabi Ayyub akan marah dan meninggalkan Allah.
Namun kekuatan iman Nabi Ayyub a.s tidak sedikit pun goyah malah
bertambah kuat pengharapan dan keimanannya terhadap Allah SWT. Lihatlah
bagaimana CARA FIKIR Nabi Ayyub a.s dan sifat baik sangkanya terhadap
Allah! Iblis meminta lagi kepada Allah supaya menguatkan penyakit yang
menimpa Nabi Ayyub sehingga akhirnya Nabi Ayyub meminta kepada Allah
supaya penyakitnya itu tidak menjangkiti hati dan lidahnya. Nabi Ayyub
a.s ialah seorang hamba Allah yang sangat suka berzikir, sepanjang
hidupnya membasahi lidahnya dengan zikrullah dan hatinya sentiasa
mengingati Allah. Jadi lidah dan hati baginda itu telah dipelihara Allah
dari kerosakan supaya hambaNya ini sentiasa dapat mengingatiNya.
Apabila
kesusahan yang ditimpa baginda itu ditarik semula, seluruh kehidupan
Nabi Ayyub bertambah baik malah digandakan segala apa yang baginda
hilang semasa diuji Allah. Keimanan dan ketaqwaan baginda juga
bertambah-tambahlah hebatnya sehingga iblis tidak lagi dapat
mempertikaikan keikhlasan baginda kepada Allah SWT sampai bila-bila.
Sesungguhnya Nabi Ayyub sangat kasih dan kenal kepada Tuhannya sehingga
baginda tidak pernah berkeluh-kesah semasa ditimpa ujian yang paling
dahsyat dalam hidupnya. Baginda sentiasa bersangka baik dengan Allah,
mengharapkan pertolonganNya serta bertawakal sepenuhnya kepada Allah.
Baginda
yang ditinggalkan oleh isterinya (kerana diperdaya iblis dengan izin
Allah), tidak meminta kepada yang lain selain kepada Allah. Siapakah
yang menjaga hambanya ketika seluruh manusia meninggalkannya dan tidak
mempedulikannya? Dialah Allah yang sangat mengasihi hambaNya yang taat
kepadaNya dalam apa jua keadaan. Dialah yang terlebih baik PenjagaanNya
dan maha Pengasih dari kalangan mereka yang mengasihi.
Firman Allah dalam Surah Az Zumar: 38,
“Jika
engkau tanyakan kepada mereka, "Siapakah yang menciptakan langit dan
bumi?" Pasti mereka menjawab, "Allah!" Katakanlah, "Kalau demikian,
tahukah kalian bagaimana halnya dengan pujaan-pujaanmu selain dari Allah
itu, seandainya Allah hendak mencelakakan aku, apakah mereka sanggup
melenyapkan bencana itu? Atau Allah hendak menganugerahkan rahmat
kepadaku, apakah mereka dapat mencegahnya?" Katakanlah, "Cukuplah bagiku
Allah! Kepada Dialah orang yang bertawakal menyandarkan harapan
dirinya!"
Ujian dari Allah banyak berlaku kepada
orang-orang yang membina perhubungan dengan Allah. Hamba Allah yang
ikhlas beramal keranaNya akan sentiasa diperhatikan Allah supaya mereka
terselamat dari kesesatan. Mereka mendapat teguran, petunjuk dan hidayah
dari Allah sehingga seluruh perbuatan mereka terpelihara dari kesalahan
dan kesilapan. Hamba Allah yang disebutkan di atas ialah para nabi dan
rasul yang sangat mulia. Manusia biasa juga ada yang diuji oleh Allah
dengan kesilapan atau ketelanjuran dan orang yang semacam ini amat ramai
sekali di muka bumi. Mereka kemudiannya terselamat dari kesilapan lalu
ditunjukkan kebenaran sehingga dapat mendekatkan diri dengan Allah SWT.
“Kemudian
dia termasuk dalam golongan orang yang beriman dan berwasiat antara
satu sama lain supaya berhati teguh dan berkasih sayang. Mereka itulah
golongan kanan. Dan orang-orang yang menyangkal keterangan-keterangan
Kami mereka itulah golongan kiri. Mereka dikurung dalam neraka yang
ditutup rapat.”
(Al Balad: 17-20)
0 comments:
Post a Comment