Rasulullah SAW lebih banyak berlapar daripada banyak kenyang dalam seluruh kehidupannya….
Selain
ibadah Solat, Rasulullah SAW juga amat mencintai ibadah PUASA. Terdapat
banyak hadis dan kisah dalam Islam yang menyatakan kecintaan baginda
terhadap amalan ini. Tahukah kita bahawa amalan berpuasa ini telah
diamalkan sejak Nabi Adam a.s lagi? Di kalangan para rasul, amalan puasa
ini sangat-sangat disukai mereka kerana perbuatan ini dapat memberikan
perasaan dekat, aman, tenteram dan menambah rasa kehambaan kepada Allah
SWT. Contohnya Nabi Nuh a.s berpuasa selama 12 bulan, Nabi Daud a.s pula
berpuasa selang-selang hari, manakala Ruhullah, Isa Al Maseh berpuasa
setiap hari ketiga. Dengan kata lain, mereka dan kaum-kaum mereka
berpuasa dengan cara masing-masing dan cara Nabi kita, Muhammad SAW
adalah yang terpaling istimewa.
Untuk apa kita makan?
- Rasulullah SAW melatih dirinya supaya banyak berlapar
- Bagaimana Allah Taala mengajar manusia itu sekadar cukup mengambil hanya untuk keperluan diri?
- Tidakkah Rasulmu mengajar kepadamu supaya bersederhana dalam segala perbuatan?
- Makan dan minum bagi umat Islam adalah kerana Allah agar mendapat kekuatan untuk taat dan beribadah kepadaNya.
Firman Allah SWT, “Wahai para Rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal soleh. (Surah Al Mu’minun)
“Aku
tidak makan sambil bersandar, aku adalah seorang hamba maka aku makan
seperti makannya hamba dan minum seperti miniumnya hamba”.
“Anak
Adam tidak memenuhi bejana (tong) yang lebih buruk dari perutnya.
Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap untuk menegakkan sulbinya
(tenaga). Kalau tidak dapat melakukan hal ini maka sepertiga untuk
makan, sepertiga untuk minum dan sepertiga lainnya untuk nafas”.
“Makanlah apa yang dekat dengan kamu (di hadapanmu dahulu).”
“Muliakanlah roti kerana Allah SWT menurunkannya dari keberkatan langit.”
“Apabila
suapan kamu jatuh maka pungutlah. Buangkan kotoran yang ada padanya.
Jangan tinggalkanya untuk syaitan. Dan hendaklah dia menjilat
jari-jarinya (selepas makan).
“Para malaikat sentiasa memohonkan rahmat untuk kamu selagi hidangan terletak di hadapanmu sehingga ianya diangkat.”
“Pada
hari Kiamat Allah berfiman, “Wahai anak Adam, Aku lapar tetapi engkau
tidak memberiKu makan.” Maka anak Adam itu bertanya, bagaimana aku
hendak beri Kamu makan sedangkan Engkau adalah Tuhan Semesta Alam.
“Allah SWT Menjawab’ “Saudara kamu yang Muslim merasa lapar, tapi kamu
tidak berinya makan. Kalau engkau berinya makan, bererti engkau telah
memberi Aku makan.”
“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat
bilik yang bahagian luarnya nampak dari dalam dan bahagian dalamnya
nampak dari luar. Bilik itu disediakan bagi orang yang melembutkan
perkataan, memberi makan (orang lain), menunaikan solat malam sementara
orang lain sedang tidur.”
“Barangsiapa menyajikan makanan
yang disukai saudaranya, maka Allah menuliskan untuknya sejuta kebaikan,
dihapuskan sejuta keburukan, diangkat untuknya sejuta darjat dan Allah
memberinya makan dari tiga Syurga iaitu Syurga Firdaus, Syurga ‘Adn dan
Syurga Al Khuld.”
Baginda SAW akan mendahului makan dengan
berwuduk, ‘basmalah’, tidak meniup makanan atau minuman yang panas,
jarang sekali menggunakan pisau (dari logam) untuk memotong, duduk
dengan kemas di atas tikar, menghulur kepada sebelah yang kanan,
mendahulukan orang-orang tua dan tetamu, bercakap hal kebaikan, tidak
bangun sebelum hidangan diangkat dan diakhiri dengan menghirup air
sebanyak 3 tegukan setiap kali minum (di sini dikatakan menghirup bukan
meneguk atau menelan kerana perbuatan itu dapat menjaga kesihatan
jantung), membaca ’hamdallah’, membaca surah Al Ikhlas dan Al Quraisy
serta doa-doa yang disunnahkan.
Di sini terdapat gambaran
ringkas cara Rasulullah SAW menilai soal makan dan minum. Sesungguhnya
Rasulullah sering kali dalam hidupnya berpuasa dalam erti kata lain
baginda banyak berlapar. Oleh itu nikmat makan baginya serupa dengan
nikmat berlapar (berpuasa) di mana adab-adabnya dijaga agar mendatangkan
keberkatan dari Allah. Adalah diketahui bahawasanya baginda menitik
beratkan soal adab dalam segala urusan baik yang kecil mahupun yang
besar. Rasulullah SAW sepanjang hidupnya tidak pernah makan berseorangan
melainkan ditemani keluarganya atau para sahabat. Baginda juga amat
suka memberi makan kepada orang miskin dan makan bersama mereka.
Betulkanlah
semula persepsi umat Islam tentang makan, minum dan puasa. Bawalah
bekalan yang sebanyak-banyaknya untuk kehidupan di dunia dan di Akhirat.
Dalam Islam, makanan itu suatu alat untuk mendekatkan diri kepada
Allah. Kalau kita tidak menjaga kedudukan halal dan haram dalam makanan,
kita akan jadi semakin jauh dari Rahmat Allah.
Kaifiyat puasa Rasulullah SAW
Selain
bulan Ramadhan, baginda banyak sekali melakukan puasa sunat sepanjang
hidupnya. Baginda amat suka berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Pernah
ditanyakan kepada baginda mengapa baginda suka berpuasa pada hari Isnin.
Baginda menjawab, “Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan
(al-Quran)” (H.R Muslim).
Baginda juga berpuasa pada
setiap 13,14 dan 15 haribulan (dalam bulan Islam), pada 10 Muharram
(Asyura), 9 Zulhijjah (Hari Arafah), puasa tiga hari setiap bulan
(selain Ayyamul Beed tadi-13,14,15 hb) dan sebagainya.
Abu
Hurairah pernah dipesan oleh baginda SAW supaya berpuasa tiga hari
setiap bulan, solat Dhuha dan Solat Witr sebelum tidur. Amalan ini
dilakukan oleh Abu Hurairah r.a sehingga beliau meninggal dunia. (Sahih
Bukhari dan Muslim)
Ibn Abbas r.a berkata, “Rasulullah
SAW kadang-kadang berpuasa banyak hari dalam satu bulan sampai kami rasa
baginda tidak akan berhenti berpuasa (hingga habis bulan itu). Pada
bulan lain, baginda tidak berpuasa sehingga kami fikir baginda tidak
akan puasa lagi. Baginda tidak puasa penuh sebulan melainkan pada bulan
Ramadhan (sejak di Madinah).”
Dari Anas bin Malik r.a
katanya, Rasulullah SAW berpuasa pada hari-hari tertentu. Ada ketika
(bulan), baginda berpuasa berhari-hari hingga kami fikir baginda akan
terus berpuasa. Di bulan lain, baginda tidak puasa hingga kami fikir
baginda tidak akan berpuasa lagi. Sesiapa pun boleh melihat amalan mulia
baginda mendirikan solat di malam hari dan juga boleh melihat baginda
tidur di waktu malam. (Sahih Bukhari dan Muslim).
Ibn
`Abbas r.a berkata bahawasanya Rasulullah SAW tidak akan meninggalkan
‘Puasa Putih’ samada baginda berada di rumah atau dalam perjalanan. (H.R
An Nasa’i)
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah
SAW bersabda, “Amalan disembah ke hadrat Allah setiap hari Isnin dan
Khamis. Aku ingin amalanku dipersembahkan ketika aku sedang berpuasa.”
(Sunan Tirmidzi)
Abdullah bin Amr bin Al-As r.a
mengatakan bahawa Rasulullah SAW pernah berkata bahawasanya puasa pada
tiga hari setiap bulan itu bersamaan dengan puasa sebulan penuh. (Sahih
Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Dharr r.a katanya,
Rasulullah SAW bersabda, “Sekiranya kamu hendak berpuasa tiga hari dalam
sebulan, lakukanlah pada 13,14 dan 15 haribulan pada bulan itu.” (H.R
Tirmidzi)
Mengikut ahli Hadis, amalan manusia
dipersembahkan secara terperinci sekali di waktu siang dan sekali di
waktu malam. Pada hari Isnin dan Khamis pula, amalan ditunjukkan secara
ringkas. Amalan yang dibuat selama setahun pula dibentangkan kepada
Allah SWT dalam bulan Sya’ban dan Lailatul Qadr.
Saidatina
Aishah r.a mengatakan bahawasanya Nabi SAW tidak berpuasa pada
mana-mana bulan sebanyak pada bulan Sya’ban (selain Ramadhan). (Sunan
Tirmidzi)
Puasa pada bulan Sya’ban ini agak unik
kerana Rasulullah SAW banyak sekali melakukan puasa pada bulan ini.
Apakah ada rahsia di sebalik perbuatan mulia Nabi pada bulan Sya’ban?
Sabda
Rasulullah SAW, “Dalam bulan ini (Sya’ban), terdapat satu hari di mana
semua amalan pada tahun itu dipersembahkan ke hadrat Allah SWT. Aku
ingin amalanku ditunjukkan di kala aku sedang berpuasa.”
Rasulullah
SAW mengharungi bulan Sya’ban dengan banyak berpuasa kerana pada satu
hari yang cukup istimewa, amalan manusia dihadapkan kepada Allah. Oleh
itu Nabi SAW, banyak mengumpulkan puasa-puasa sunat yang terpaksa
ditinggalkannya pada bulan-bulan lalu dan dikerjakan pada bulan Sya’ban.
Oleh sebab itu puasa Nabi pada bulan Sya’ban menjadi lebih banyak dari
bulan-bulan lain (kecuali Ramadhan). Memang beginilah yang Nabi SAW
mahukan iaitu mengisi hari-harinya di bulan Sya’ban dengan banyak
berpuasa.
Saidatina Aishah r.a mengatakan bahawa pada
zaman jahiliyah kaum Quraish melakukan puasa Asyura. Rasulullah SAW juga
mengerjakan puasa ini. Baginda menunaikannya di Madinah (selepas
hijrah) dan menyuruh sahabat juga melakukannya. Apabila berpuasa di
bulan Ramadhan difardhukan, puasa Asyura menjadi amalan Sunat. Sesiapa
yang mahu boleh melakukanyya dan sesiapa yang tidak mahu, boleh
meninggalkannya. (Sunan Tirmidzi)
Terdapat satu kisah
ketika Rasulullah SAW berada di Madinah, baginda mendapati Ahli Kitab
Yahudi juga mengamalkan puasa Asyura. Baginda bertanya kepada mereka
mengapa mereka melakukan puasa itu. Lalu mereka mengatakan bahawasanya
Musa a.s telah diselamatkan Allah pada hari ini dan Firaun
ditenggelamkan juga pada hari ini (10 Muharram). Sebagai kesyukuran,
mereka berpuasa pada hari Asyura. Rasulullah SAW kemudian bersabda,
”Kami lebih berhak (lebih patut) mencontohi Musa a.s daripada anda.”
Maka baginda berpuasa dan menganjurkan seluruh sahabat juga berpuasa.
(Sahih Muslim)
Selain itu Nabi SAW menganjurkan
berpuasa pada satu hari sebelum dan satu hari selepas Hari Asyura
(antara satu, mana-mana boleh dikerjakan). Ini kerana berlaku satu
peristiwa dimana Ahli Kitab kebanyakannya sudah menyeleweng dari Wahyu
sebenar dan Rasulullah SAW bersabda, “Andainya aku masih hidup tahun
depan, nescaya aku akan berpuasa pada hari ke-9.” Ada juga hadis yang
berbunyi, “Jangan ikut cara Yahudi, puasalah pada hari ke-9 atau ke-11.”
Adakalanya Nabi SAW berpuasa pada hari Sabtu, Ahad,
Isnin dan ada pula Nabi SAW berpuasa pada hari Selasa, Rabu, Khamis.
Kadang-kadang dibuatnya pada awal bulan dan adakalanya pada akhir bulan.
Menurut Saidatina Aishah r.a, kadang-kadang Nabi SAW tidak menetapkan
hari-hari tertentu dalam amalan baginda. Namun adakalanya, baginda
menetapkan pula amalan baginda untuk hari-hari tertentu dan bulan-bulan
tertentu.
Begitulah caranya Rasulullah SAW berpuasa
sepanjang hayatnya. Banyak sekali hadis-hadis yang menjadi rujukan
tentang puasa Nabi SAW yang disaksikan sendiri oleh orang-orang di
sekeliling baginda. Sesungguhnya amalan puasa tidaklah terhad pada bulan
Ramadhan sahaja, malahan seorang Nabi yang darjatnya paling tinggi di
sisi Allah pun amat menitik beratkan ibadah puasa dalam seluruh
hidupnya. Nabi SAW mengerjakan puasa untuk menunjukkan rasa kasih dan
cintanya kepada Allah SWT dan untuk mengajar umat Islam cara mendekatkan
diri kepada Allah serta menanam rasa kehambaan kepadaNya.
Dari
Abu Hurairah r.a katanya, bersabda Rasulullah SAW, “Tiga orang yang
doanya tidak akan ditolak iaitu pemerintah yang adil, orang yang puasa
sampai dia berbuka, dan orang yang teraniaya." (Sunan Tirmidzi)
Seorang
guru pernah berpesan kepada anak muridnya, “Sekiranya kamu ditimpa
masalah dan usaha kamu untuk menyelesaikan masalah itu tidak berhasil,
maka berpuasalah dengan banyak supaya kamu merasa dekat dan diPandang
oleh Allah. Kerana masalah kamu itu datang dariNya dan Dialah jua yang
menghilangkannya. Berpuasalah sehingga kamu rasa tawadhuk dan hati kamu
tunduk menjadi hamba kepada Tuhan Semesta Alam.”
Sesungguhnya
salah satu sifat mulia baginda ialah apabila melakukan sesuatu yang
baik, baginda akan melakukannya secara berterusan (istiqamah), dibuatnya
selalu, diulang-ulang dan dipraktikkan sehingga sebati dengan dirinya.
Oleh itu didiklah dan latihlah diri kita secara berhemah dan
berperingkat-peringkat dalam mengikut Sunnah Rasulullah SAW. Walaupun
Nabi tidak menyuruh kita membuat amalan-amalan yang memberati diri kita,
sekurang-kurangnya tanamlah keazaman dalam diri kita semoga suatu hari
nanti kita mampu menjadikan puasa Rasulullah SAW antara amalan yang kita
amalkan dalam hidup dan dibuat kerana Allah semata-mata. Marilah kita
mengambil sedikit sebanyak ilmu berpuasa dari Rasulullah SAW, yang
perbuatannya itu dapat membaiki hati dan mengubat rohani serta
mendalamkan rasa takut, taqwa dan cinta kita kepada Allah SWT.
0 comments:
Post a Comment