"Akal adalah makhluk Allah terbesar yang melayakkan manusia menjadi khalifah-Nya. Tunjuk peta fikiran yang benar dan mendudukkan ilmu pada martabat yang sebenar supaya terjadi seperti sebatang pokok yang bermula dari akar tunjang, perdu, batang, cabang ranting, daun, bunga dan buah." - Ustaz Abdul Halim Abas

Monday, January 21, 2013

Syair Pendek Buat Jaafar r.a



"... kepada musuh yang akan berlaku sewenang-wenangnya dan bersikap kejam, 
tetapi asal saja Engkau tidak murka kepadaku, maka aku tidak peduli, 
hanya keselamatan dariMu akan lebih melapangkan hambaMu ini, 
aku berlindung dengan Nur WajahMu yang menerangi kegelapan dan menjamin kebaikan dunia akhirat, 
dari AmarahMu yang akan menimpa diriku dan MurkaMu yang akan membinasakan daku. 
ku mohon RedhaMu sampai ku perolehinya, 
dan tiada daya mahupun tenaga kecuali denganMu juga."

Hasan bin Tsabiq  kepada Jaafar At Taiyar radhiyallahu anhuma di waktu syahidnya
semasa perang Muktah, 5 Jamadil Awal, tahun ke-8 Hijrah.

Sebelum wafatnya Jaafar r.a, beliau sudah dikepung di kiri dan kanannya oleh tentera Rom Timur (Byzantine). Mereka sungguh-sungguh ingin membunuhnya. Jaafar r.a tiada jalan keluar, namun tidak pula Jaafar mahu menyerah diri. Dia ingin syahid kerana itu janjinya suatu masa dulu. Lalu musuh menebas tangan kanan Jaafar r.a sehingga putus sebahagiannya namun sebelum sempat panji yang mendukung kalimah La Ilahaillallah itu jatuh ke tanah, sempat disambarnya dengan tangan kiri. Kemudian mereka melibas pedang-pedang mereka mengenai tangan kirinya hingga putus bahagian bawah sikunya. Tetapi Jaafar r.a sempat mengepit panji itu ke tengah dadanya. Pada saat yang genting ini, Jaafar r.a bertekad tidak akan membiarkan panji Islam jatuh menyentuh tanah selagi hayat masih dikandung badan.

Akhirnya, sebahagian riwayat mengatakan kepalanya dipancung dan ada setengahnya mengatakan Jaafar r.a ditikam bertubi-tubi sehingga meninggalkan 90 kesan tikaman pada badannya. Abdullah bin Rawahah r.a kemudiannya membelah di tengah-tengah musuh, berlari mendapatkan panji dari tubuh Jaafar yang sudah kaku. Pada hari itu, mereka berdua syahid di jalan Allah sambil mempertahankan panji Islam agar tidak tumbang dipijak musuh. Lalu muncul panglima Islam, Khalid Al Walid r.a menggantikan tempat mereka kerana sesungguhnya, Khalid Al Walid r.a sangat mengidamkan mati syahid. Namun dengan izin Allah umurnya panjang dan wafatnya pula bukan di medan pertempuran.

Berita kematian mereka berdua dikhabarkan kepada Nabi SAW, baginda menitiskan air mata mengenangkan pengorbanan sahabatnya itu. Rasulullah pun bertolak menuju ke rumah sepupunya itu dan baginda berdoa untuk seluruh anak cucunya. Mereka dipeluk dan diciumnya sementara air mata baginda yang mulia terus-menerus mengalir tanda kasih dan gembira atas syahidnya dua orang mutiara Islam yang gagah, berani lagi berperibadi mulia. 

Kongsikan :

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...