MENYELESAIKAN MASALAH DALAM KEHIDUPAN
Manusia
hidup di dunia antaranya untuk diuji. Setiap ujian yang ditempuh
manusia didatangkan dalam pelbagai bentuk dan bertujuan mendidik jiwa
manusia sehingga datang kematangan dan kebijaksanaan. Bagi umat Islam,
ujian dalam kehidupan dianggap sebagai salah satu medium mendekatkan
diri kepada Allah. Ada masalah yang datang kerana ujian diri atau
sebagai penebus dosa (kifarah). Sikap seorang muslim terhadap ujian yang
sampai kepadanya ialah semakin banyak diuji semakin hampir dirinya
kepada Tuhan. Kunci penyelesaian terhadap masalah manusia ialah menjaga
hubungan dengan Allah SWT. Dalam erti kata lain muslim sejati
menyelesaikan masalah melalui jalan TAQWA. Malangnya pada hari ini, umat
Islam lebih cenderung meminta-minta nasihat dari manusia yang kononnya
pakar untuk menyelesaikan masalah mereka. Lebih-lebih lagi apabila
budaya-budaya barat mulai masuk ke tengah masyarakat Islam, manusia yang
dilanda masalah kehidupan lebih gemar berinteraksi dengan pakar-pakar
kaunseling daripada merujuk kepada pakar-pakar rohani. Jalan
penyelesaian yang datang dari manusia selalunya bersifat sementara dan
sering menimbulkan masalah sampingan yang akhirnya tidak akan membawa
penyelesaian muktamad kepada isu yang cuba diselesaikan. Ini terjadi
kerana pendekatan penyelesaian yang diambil tidak bersifat ‘spiritual’.
Setengah
masalah manusia diselesaikan dengan melaksanakan hukuman dan undang-
undang. Ada juga yang tidak boleh diselesaikan melainkan berserah kepada
takdir seperti apabila ditimpa bencana alam dan kematian. Namun banyak
masalah yang ditempuh manusia berpunca daripada perbuatan mereka
sendiri. Firman Allah, “Lahirlah kerosakan di lautan dan di daratan kerana hasil usaha tangan manusia sendiri”. (Surah Al Rum: 41)
Masalah
yang tidak diatasi tidak akan selesai begitu saja melainkan ada satu
usaha yang diambil bagi mengatasinya. Maka di sini Islam memberi panduan
kepada umatnya dan seluruh manusia tentang cara-cara yang sesuai untuk
dilaksanakan bagi menyelesaikan segala kemelut kehidupan. Di antara
jalan terbaik yang dianjurkan Islam ialah kembali kepada Allah dan
bersungguh–sungguh merawat hati.
Sambil menuding jari ke dada Rasulullah SAW bersabda, “Taqwa itu di sini….”
Apa yang dimaksudkan Rasulullah SAW itu ada lah hati yang ada taqwa.
Oleh itu taqwa adalah sebenar-benar JALAN yang perlu dibina untuk
mengatasi segala masalah yang dihadapi manusia.
Dengan
taqwa, manusia yang bergaduh boleh berdamai semula yakni hati-hati
mereka dapat disatukan kerana Allah. Negara Islam yang berperang dan
ditindas apabila membangunkan taqwa dalam jiwa rakyatnya akan jadi tabah
dan senang mendapat kemenangan. Orang yang ditimpa masalah ekonomi akan
diberikan Allah jalan keluar berupa pintu–pintu rezeki yang dibukakan
melalui hamba-hambanya yang lain atau yang terus datang kepadanya.
Manusia yang ada masalah keluarga akan dibaiki hubungan kekeluargaan itu
dengan cara mendatangkan rasa kasih sayang antara mereka. Pendek kata
dengan membangunkan hati dan membina hubungan dengan Allah Taala, segala
permasalahan akan diberikan jalan keluar. Firman Allah, “Barang siapa bertqwa kepada Allah akan dilepaskan dia dari masalah hidup dan diberikan rezeki dari sumber yang tidak diduga”. (At Talaq: 2-3)
Oleh
sebab itu manusia yang bersungguh-sungguh berusaha melahirkan ketaqwaan
dalam dirinya akan sentiasa mendapat jalan keluar bagisegala kemelut
yang dihadapinya. Masalah yang dihadapi manusia zaman ini dapat diatasi
dengan membentuk diri masing–masing menjadi orang bertaqwa. Jika tidak
mampu menjadi orang bertaqwa carilah penyelesaian masalah kehidupan
kepada orang-orang yang bertaqwa. Untuk jadi orang bertaqwa perluah ada
rasa kehambaan, takut dan cinta kepada Allah. Dekatilah orang–orang yang
ada taqwa supaya diri kita dapat belajar bagaimana mahu jadi manusia
yang ada hubungan dengan Allah Taala. Sesungguhnya Allah SWT lah yang
mendatangkan masalah (sebagai ujian) kepada manusia dan di TanganNyalah
terletak segala kunci-kunci penyelesaian.
0 comments:
Post a Comment