"Akal adalah makhluk Allah terbesar yang melayakkan manusia menjadi khalifah-Nya. Tunjuk peta fikiran yang benar dan mendudukkan ilmu pada martabat yang sebenar supaya terjadi seperti sebatang pokok yang bermula dari akar tunjang, perdu, batang, cabang ranting, daun, bunga dan buah." - Ustaz Abdul Halim Abas

Monday, January 21, 2013

HATI RAJA DALAM DIRI


Rasa Bersalah Dengan Dosa, Rasa Biasa Bila Berdosa, Ammarah Yang Mengajak Engkar Kepada Allah

Rasulullah SAW bersabda,
“Allah tidak Melihat pada rupamu dan hartamu (gambaran lahirmu) tetapi Dia Melihat HATI kamu dan amalan kamu”.
(H.R Bukhari & Muslim)

“Sesungguhnya dalam diri manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baiklah seluruh badan. Apabila ia rosak,rosaklah seluruh badan. Ketahuilah olehmu itulah hati.”
(H.R Bukhari & Muslim) 

Hati orang Mukmin ialah hati yang sihat, ceria dan tenang. Manakal hati orang yang berdosa ialah hati yang sakit dan resah. Sesungguhnya dosa itu mengundang gelisah di hati manusia. Dosa juga menyebabkan hati manusia itu menjadi sakit dan hati yang sakit mudah dikuasai nafsu Ammarah yang ditunggangi oleh Syaitan. Apabila hati (raja) sudah sakit maka turunlah ia dari ‘takhtanya’ dan bermaharajalelalah nafsu Ammarah. Ia kini menaiki ‘takhta’ dan mulalah ia mengajak kepada kejahatan.
Firman Allah dalam Surah Yusuf: 12,
“Sesungguhnyahawa nafsu itu akan sentiasa mengajak kepada kejahatan”.

Rasulullah SAW juga pernah dicuci hatinya oleh para malaikat dan ia berlaku 2 atau 3 kali dalam hidup baginda. Begitulah tingginya nilai rohaniah hati kepada seseorang manusia.

Seperti penyakit lahir, penyakit hati ini berlaku bukan secara kebetulan, tetapi ia berlaku secara perlahan-lahan. Ada 4 tahap kerosakan yang berlaku dalam hati manusia sehingga ia benar-benar dikatakan sakit dan akhirnya menjadi ’buta’.

Apabila rasa bersalah dengan dosa

Apabila pertama kali membuat dosa, hati akan diburu rasa takut dan bersalah. Jiwa jadi resah tidak menentu kerana diri jadi berlawanan dengan fitrah semulajadi. Fitrah manusia itu sentiasa inginkan kebaikan, jadi apabila fitrah itu mula dikotori oleh dosa, manusia itu telah menentang hati kecilnya sendiri (fitrahnya). Oleh itu setiap kali dia melakukan dosa, wujud rasa bersalah dalam batinnya yang menyeksakan. Dirasakan seolah-olah dia sedang berperang dengan dirinya sendiri.

Apabila rasa biasa bila berdosa

Rasa begini tidak akanbertahan lama jika dosa yang dibuat itu dilakukan berulang-ulang. Rasa berdosadan bersalah akan semakin menghilang sehingga dosa yang dilakukan itu tidakdirasakan salah kerana sudah terbiasa. Sudah tiada lagi rasa kesal kerana telahdigantikan dengan rasa ‘tidak mengapa’, lega dan rela untuk terus berdosa.

Rasa seronok dengan dosa

Dosa itu sebenarnya ‘racun’ yang dibalut dengan kemanisan dan keenakan. Dosa yang dilazimkan tidak akan terhenti kesannya pada hati. Bila sudah terbiasa akan dosa itu dirasakan kecil sampai sehinggakan berdosa dan tidak berdosa itu sama sahaja. Ini menandakansakit pada hati itu sudah parah. Pada tahap ini, manusia itu akan mengintai peluang untuk berbuat dosa. Rasa ketagih dengan maksiat sudah menghantui fikirannya. Dosa yang sebenarnya racun, telah bertukar menjadi nikmat.

Menjadi pembela kepada dosa

Nafsu Ammarah itu sifatnya tidak pernah puas. Kehendaknya tidak ada batas. Syaitan pula tidak pernah lalai dengan tidur-tidur. Usahanya sentiasa lancar lalu ia meluncur laju di lebuhraya nafsu dengan kenderaan yang terbentuk dari sifat-sifat mazmumah. Hati yang begitu seronok dengan dosa itu akan sentiasa dirasuk rasa sedap. Di hujung-hujung keseronokan, manusia itu akan dikuasai habis-habisan sehingga ia menjadi pembela dan pejuang kepada dosa. Pada tahap yang sudah KRONIK ini, dosa itu akan dipromosikan, diperjuangkan dan akan dihiasi dengan sesuatu yang indah serta menguntungkan. Manusia yang penyakit hatinya sudah kronik akan menentang segala nasihat agama dan berusaha dengan  sebaik-baiknya untuk memadamkan cahaya kebenaran. Manusia yang seperti ini sudah sepenuhnya dikuasai nafsu Ammarah dan bisikan syaitan.

Begitulah halnya 4 tahap penyakit hati yang tidak dapat diubati dengan perubatan biasa. Penyakit hati yang sebeginilah yang paling susah diubati dan paling bahaya jika dihidapi. Penyakit hati tidak dapat dikesan tanpa mujahadah dan latihan kerohanian.

Berkata seorang guru kepada anak muridnya, “Penyakit lahir kalau tidak sempat sembuh sebelum mati tidak akan di bawa mati.  Namun penyakit hati jika tidak sempat sembuh sebelum mati, maka rugilah manusia itu serugi-ruginya kerana penyakit hati ini kelak akan menjadi penyebab untuk manusia masuk neraka”.

Berpesan seorang guru kepada muridnya, “Hati ibarat kain putih yang perlu dijaga baik-baik. Kalau terkena kotoran, cepat-cepatlah bersihkannya. Tetapi alangkah bodohnya manusia itu kerana mengotorkannya semula dengan terus bermain-main di dalam lumpur’.

Jadi hati yang sudah dididik dan dijaga rapi serta selalu dibersihkan itu kenalah sentiasa dijaga dari perbuatan yang sia-sia iaitu dengan menjaga ia dari dosa dan maksiat.
Firman Allah dalam Surah Al Isra’: 72,

“Dan(sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta(matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.”

Maka hendaklah kita sentiasa awasi perbuatan kita. Hati yang benar-benar berpenyakit itu akan menjadi buta pada akhirnya. Ia jadi‘keras’ akibat sifat mazmumah yang sudah berakar di dalamnya. Buta hati ini akan menyebabkan manusia jadi syirik, munafik dan kufur kepada Allah SWT.

Di sini nafsu Ammarah menjadi dalang kepada keinginan manusia untuk berbuat dosa. Nafsu Ammarah itu adalah nafsu peringkat pertama yang juga dikatakan nafsu ‘jahat’. Dalam diri manusia, dapat dikelaskan 7 peringkat nafsu yang perlu dilatih agar tunduk kepada Allah.

Dalam 7 peringkat ini, pada bahasa ringkasnya, terdapat satu nafsu ‘jahat’ yang apabila dilatih akan NAIK martabatnya kepada nafsu ‘nakal’ yang kalau ditempuh mestilah melalui dua peringkat. Setelah berjaya melalui peringkat kedua dan ketiga, sampailah manusia itu kepada peringkat yang keempat hingga ke tujuh. Peringkat keempat dan seterusnya inilah yang dikatakan nafsu ‘baik’ yang diperoleh setelah manusia dapat menundukkan nafsu-nafsu ‘jahat’ dan ‘nakal’ tadi.

Oleh itu empat peringkat nafsu baik inilah yang menjadi sasaran orang mukmin supaya ia dapat kembali kepada Tuhannya dengan membawa hati yang tenang, sejahtera, aman dan damai. HATI MANUSIA ialah alat penghubung rohaniah manusia dan Allah. Hati inilah yang jadi tempat jatuhnya Pandangan Allah ke atas hambaNya. Inilah yang dimaksudkan dengan setinggi manapun ilmu di dada, kalau tidak dijaga dan dilatih hatinya, akhirnya  manusia tetap tidak akan merasa puas dengan nikmat Allah ke atas diri mereka.

Kongsikan :

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...