"Akal adalah makhluk Allah terbesar yang melayakkan manusia menjadi khalifah-Nya. Tunjuk peta fikiran yang benar dan mendudukkan ilmu pada martabat yang sebenar supaya terjadi seperti sebatang pokok yang bermula dari akar tunjang, perdu, batang, cabang ranting, daun, bunga dan buah." - Ustaz Abdul Halim Abas

Monday, January 21, 2013

TIADA BERKAT!


Apabila kita sudah tidak ambil peduli....

Muamalat umat Islam akhir zaman kini telah dicemari dengan masalah riba’, penipuan, pendustaan, penyelewengan, rasuah, percampuran halal dan haram serta syubhat yang telah menyebabkan terangkatnya kebaikan dalam setiap urusan yang yang berupa ibadah atau bukan. Ruginya umat Islam akhir zaman kerana telah berlaku banyak perlanggaran Syariat dalam pelbagai bidang terutama sekali dalam hal ekonomi, kemasyarakatan dan kenegaraan. Umat Islam telah kehilangan rahmat Tuhan yang paling berharga iaitu ’KEBERKATAN’.  

Menurut Abu Ubaidah Abi Al Jarrah r.a, penyebab kepada hilangnya keberkatan pada urusan umat Islam ialah kerana lemahnya iman dan berlakunya banyak perlanggaran Syariat dipelbagai bidang. Umat Islam kian sombong kepada Allah dan mulalah mereka mengambil ringan hal hukum-hakam apabila menjalani urusan seharian. Mereka dilalaikan dengan kepentingan duniawi, sama ada mahu menjaga status,menunjuk-nunjuk keberadaan dan bermegah-megah dengan kelebihan. Rata-ratanya bagi umat Islam, mereka sedar akan wujudnya hukum halal dan haram dalam bermuamalat, bersosial atau berhubung sesama manusia. Jika dilihat dari sekecil perkara seperti soal makan dan minum, kini tidak ramai orang Islam yang menjaga unsur-unsur halal dan haram serta syubhat. Antara hal yang mustahak ialah perihal makan. Mereka sudah tidak segan-segan makan dan minum di kedai bukan Islam asalkan status sosial mereka dapat ditonjolkan kepada masyarakat. Ini berlaku kerana umat Islam hanya sedikit yang betul-betul mahu memperjuangkan ’Fardhu Kifayah’dalam bidang pemakanan. Apatah lagi dalam bidang ekonomi dan kemasyarakatan.

Kini kafe dan restoran bukan Islam memanglah diwajibkan memperoleh sijil HALAL, namun sebaik mana pun mereka faham tentang halal, haram, bersuci dan kebersihan, ianya bukanlah sesuatu yang sepatutnya menjadi ukuran umat Islam. Makanan yang disajikan walaupun bersih, namun apabila ia dimasak oleh bukan Islam tetap tidak boleh dianggap suci. Walaupun dijaga kualitinya dan kebersihannya sungguh-sungguh, ia tetap tidak boleh dipanggil suci. Di sinilah unsur ‘BERKAT’ tadi memainkan peranan. Oleh itu, ‘Halalan Toyyiba’ itu sudah tidak mudah diperoleh lagi malahan hampir tidak wujud kerana tidak betul-betul diperjuangkan dan lemahnya umat Islam dalam menjaga urusan pemakanan.

Oleh sebab kita meremehkan soal ‘Fardhu Kifayah’ dalam hal-hal penting terutama sekali tentang pemakanan maka umat kita menjadi tidak sensitif dan mulalah orang lain mengambil kesempatan. Apa yang mereka sogok semua kita telan, kadang-kadang kerana sudah tiada pilihan. Adakalanya makanan yang dimasak dikafe dan restoran ‘halal’ turut dicemari oleh benda-benda yang haram dan syubhat. Cuma kalau sesekali dibuat pemeriksaanke atas produk atau kilang pengeluaran makanan barulah kita hendak heboh dengan kes-kes pencemaran DNA khinzir, ayam ‘katok’, percampuran alkohol dan bahan-bahan haram yang lain. Akibat dari percampuran halal dan haram dalam makanan, maka keberkatan dalam makanan itu pun sudah hilang. Makanlah umat Islam seperti makannya orang kafir iaitu semata-mata untuk mengisi ‘bejana yang paling buruk’. Jadi bagaimanakah kita hendak berdepan dengan Tuhan apabila ditanyakan kelak tentang janji kita kepadaNya iaitu, Solatku, Ibadahku, Hidupku dan Matiku hanya untuk Allah?”

Lemah iman

Kelemahan iman juga telah menyebabkan umat Islam lalai dan berlebih-lebih dalam hal yang tidak penting. Lihat sajalah pada bulan Ramadhan dan Syawal, umat Islam sibuk sangat memperkatakan soal makan dan minum sehingga penuhlah media massa dengan hal-hal makan. Sudahlah tidak hormat kepada bulan Ramadhan, umat Islam lebih banyak menyibukkan diri mereka dengan hal makan yang umat Islam sendiri tidak mempunyai pencapaian yang membanggakan dalam bidangnya. Jangankan hendak mengadakan Fardhu Kifayah dalam pemakanan, malah hendak berniaga makanan pun tidaklah sepandai mana. Begitulah silap dan cuainya umat Islam! Yang sepatutnya diadakan tidak diusahakan, akibatnya berlakulah penganiyaan ke atas umat Islam itusendiri.

Dalam hal-hal lain seperti berniaga dan berjanji, umat Islam yang lemah imannya akan menjadikan penipuan, penyelewengan, pecah amanah, riba’ dan rasuah sebagai cara berurusan. Maka rezeki yang diperoleh melalui cara-cara ini hanya akan mengakibatkan tercabutnya berkat dan lahirlah umat Islam yang jahat. Jarang sekali kita lihat, peniaga kecil sehingga kepada ahli korporat Islam yang bersungguh-sungguh memberi tumpuan untuk menjauhi penipuan. Tipu-daya itu seolah-olah sudah menjadi suatu budaya perniagaan mereka. Untung yang diperoleh sangatlah lumayan tetapi tidak dapat membawa orang-orang ini lebih dekat kepadaTuhan.

Akhir sekali, tidak ada keberkatan selama amalan riba’ menjadi sumber rezeki. Ingatlah pesan Nabi SAW supaya kita berhati-hati kerana di akhir zaman ini,setiap pintu rumah akan berjaya dimasuki riba’.

Dengan kata lain, pembelian alatan rumah, kenderaan hatta rumah dibeli atau dibangunkan cubalah kita hindari dari riba’ kerana keberkatan itu akan hilang akibat dari unsur riba’ yang wujud dalam urusan kehidupan kita. Maka di sinilah pentingnya diwujudkan bank-bank Islam yang tidak mempraktikkan riba’ agar orang susah dan orang kebanyakan mampu memiliki keperluan asas ini tanpa ada unsur riba’. Disinilah peri pentingnya wujud orang-orang kaya yang bertaqwa yang dapat menguruskan hal ‘Fardhu Kifayah’ umat Islam yang sanggup berkorban harta benda dan menjadi penaung orang-orang yang kurang bernasib baik demi melihat umat Islam lain hidup dengan penuh keberkatan. Jauhkanlah diri kita dari berurusan dengan riba’ tidak kiralah sama ada memberi atau pun menerimanya.

Kongsikan :

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...