5 HUKUM ASAS DALAM ISLAM
ISLAM
YANG LENGKAP INI TELAH MELAHIRKAN SATU SISTEM KEHIDUPAN yang cukup
mudah untuk difahami, diamalkan dan diperjuangkan. Ajaran yang
diperkatakan sebagai ‘THE COMPLETE WAY OF LIFE’ ini di dalamnya terdapat
LIMA HUKUM ASAS yang memandu manusia ke arah kesempurnaan hidup
sehingga mereka dijemput kembali ke Pangkuan Ilahi.
Setiap
persoalan yang kecil mahupun besar pasti DIBATASI OLEH LIMA HUKUM.
Buatlah apa saja perkara daripada aktiviti makan, minum, berkahwin,
bermasyarakat, berniaga sehingga hal menegakkan negara, hal
antarabangsa, lima hukum ini pasti menyuluh dan mengatur apa yang kita
lakukan. Hukum yang lima itu terdiri daripada WAJIB, SUNAT, HARAM,
MAKRUH, HARUS. Contohnya dalam hal ‘makan’. Kadang-kadang makan termasuk
dalam hukum wajib. Adakalanya menjadi sunat, jadi haram, jadi makruh
atau boleh jadi harus.
Bagaimana boleh jadi begitu?
WAJIB: Mesti dilaksanakan. Jika dikerjakan mendapat pahala atau ditinggalkan mendapat dosa.
Kita
tahan makan dan minum berhari-hari dengan sengaja sehingga lemah badan,
sakit perut, tak mampu buat aktiviti seperti solat, beribadat dan
lain-lain. Maka pada waktu itu, makan tadi hukumnya jadi WAJIB supaya
kesihatan kembali normal dan dapat pahala dari Allah SWT.
SUNAT: Elok
dilaksanakan, bukan mesti tetapi baik dikerjakan. Kalau dilaksanakan
mendapat pahala dan jika tidak dilaksanakan tidak berdosa.
Bila
hendak makan mulakan dengan doa, Bismillah, guna tangan kanan,
bersederhana dengan lauk-pauk, mengucap kesyukuran selepas kenyang,
disunatkan mengambil makanan yang berdekatan dengan kita (di hadapan
kita dahulu).
HARAM: Mesti tidak dilaksanakan atau mesti ditinggalkan. Berdosa kalau dikerjakan.
Makan dan minum benda najis, kotor, hasil judi, hasil rasuah, hasil menipu dan sebagainya.
MAKRUH: Allah
benci dengan perbuatan yang makruh. Namun sekiranya dilakukan, tidak
pula berdosa dan jika ditinggalkan mendapat pahala. Lebih baiklah kita
memilih supaya tidak melakukan perkara yang dibenci Allah.
Bayangkan
sekiranya perbuatan kita yang dibenci isteri, kita buat suka-suka. Bila
isteri tarik muka, kita jadi tak selesa. Begitu juga dalam hal yang
bersangkut-paut dengan menjaga hubungan dengan Allah. Oleh itu perbuatan
yang makruh itu termasuk masa makan tadi tidak baca doa, tidak baca
Bismillah, makan berlebihan, makan guna tangan kiri, minum ketika mulut
masih berisi makanan. Makan makanan yang membuatkan mulut berbau seperti
petai dan bawang secara berlebih-lebihan.
HARUS: Dibuat
atau ditinggalkan tidak mendatangkan pahala atau dosa. Terpulang kepada
kita untuk melaksanakan atau sebaliknya. Bak kata pepatah, ‘tepuk dada,
tanya selera’.
Kemahuan untuk makan makanan halal mengikut selera dan tidak memudaratkan.
Begitulah
Allah SWT mengatur manusia dengan sistem perundangan untuk menjalani
aktiviti harian. Supaya lebih faham, gantikan soal makan tadi dengan
soal menulis. Bagaimana menulis boleh jadi wajib, sunat, haram, makruh
dan harus. Boleh juga kita cuba gantikan dengan soal bersukan, bekerja,
bermasayarakat dan menuntut ilmu. Pendek kata, apa pun juga aktiviti
yang dilakukan hukum yang lima ini tetap menjadi panduan supaya
perbuatan kita itu sentiasa diberkati. Akhir sekali kita akan dapat
melihat bahawasanya kehidupan kita sudah dimudahkan oleh Allah melalui
hukum asas yang lima ini.
0 comments:
Post a Comment