AKU BERLINDUNG KEPADA ALLAH DARI SYAITAN DAN POLITIK
Sheikh Said Nursi memberi alasan mengapa
beliau mengundurkan diri dari medan politik pada waktu itu dan berpindah
kepada fasa “Said Baru” sebagai berikut:
“Said lama telah
memasuki kancah politik selama hampir sepuluh tahun dengan harapan dia
dapat berkhidmat untuk agama dan ilmu dengan jalan tersebut. Akan tetapi
usaha-usahanya hilang dibawa angin ketika dia melihat bahawa jalan itu
banyak problemanya dan diragukan, dan bahawa ikut campur di dalamnya
adalah sesuatu yang melampaui batas – bagi diriku, kereaa ia
menghalangiku melakukan kewajiban yang lebih penting. Ia ada bahayanya,
dan kebanyakkannya adalah penipuan dan pembohongan. Dan di sana ada
kemungkinan bahawa seseorang itu menjadi alat bagi orang asing tanpa
disedarinya. Demikian pula, orang yang masuk ke kancah politik ada dua
kemungkinan, menyetujui politik negara atau menentangnya. Maka jika saya
menyetujuinya, maka ikut masuk campur di dalamnya – bagi diriku –
adalah sesuatu yang melampaui batas dan tidak berguna bagiku, kerana
saya bukan pegawai negara dan juga bukan wakil di dalam parleminnya.
Maka tidak ada ertinya – ketika itu – aku melakukan hal-hal yang
berkenaan dengan politik. Dan jika saya masuk ke dalam pihak penentang
atau politik yang berbeza dengan negara, maka saya harus masuk – ketika
itu – dengan jalan pemikiran atau dengan jalan kekuatan. Jika masuknya
dengan jalan pemikiran maka saya tidak ada hajat juga, kerana
masalah-masalahnya telah jelas sekali. Semua orang mengetahui
masalah-masalah tersebut seperti saya, maka tidak ada gunanya banyak
bicara. Dan jika masuknya dengan kekuatan yakni dengan jalan menampakkan
penentangan untuk mencapai tujuan yang diragukan dengan menimbulkan
masalah-masalah, maka di sana banyak kemungkinan saya masuk ke dalam
ribuan dosa dan kesalahan, kerana banyak orang akan menderita kerana
kejahatan seorang manusia saja. Perasaanku tidak rela untuk masuk ke
dalam dosa dan membiarkan orang-orang yang tidak bersalah di dalamnya
hanya kerana satu kemungkinan atau dua kemungkinan daripada sepuluh
kemungkinan. Oleh kerana semua itu, maka Said Lama meninggalkan politik
dan majlis-majlis keduniaannya sebagaimana dia meninggalkan rokok dan
membaca surat khabar”.(53)
FASA KETIGA: SAID KETIGA
Peringkat
ini, yang Said Nursi menamakan dirinya sendiri dengan nama: “Said
Ketiga” dimulai sejak keluarnya beliau dari penjara kota Afiyun sampai
kewafatannya pada tahun 1960M. Keadaan di Turki pada peringkat ini
berbeza dengan kembalinya kegiatan parti-parti politik setelah di sana
hanya ada pemerintahan satu parti. Peringkat ini semakin jelas mulai
dari tahun 1950M, iaitu tahun kemenangan parti penentang, Parti
Demokrasi, dalam pemilihan umum dengan kemenangan besar. Dengan demikian
Parti Rakyat Republik disingkirkan dari kerusi pemerintahan yang
memerangi Islam selama seperempat abad. Di sini kita melihat “Said
Ketiga” menambah kegiatan “Said Baru” dengan kegiatan lain, iaitu
mengajarkan risalah-risalah an-Nur secara klasikal, di samping mengajak
dan menasihati para politikus dan orang-orang yang berada di dalam
pemerintahan untuk mengikuti ajaran-ajaran Islam. Beliau juga
menerangkan bahawa jalan satu-satunya yang benar adalah jalan Islam.
Beliau melakukan demikian itu tanpa masuk ke dalam kancah politik bahkan
beliau tetap jauh daripadanya bagi menumpukan segala usahanya untuk
mendidik jiwa dan memperkuat iman serta mengingatkan manusia akan Allah
dan hari akhir, serta sentiasa memperingatkan murid-muridnya agar supaya
mereka menjadikan pekerjaan yang positif lagi membangun sebagai simbol
mereka, tanpa masuk campur dalam membela hak-hak mereka dengan kekuatan
materi, atau menoleh kepada arus-arus yang memusuhi dan sibuk dengannya.
KE EMIRDAG SEKALI LAGI
Setelah keluar dari penjara
Afiyun, Badiuzzaman tinggal di salah satu rumah di kota Afiyun selama
dua bulan. Di depan rumahnya selalu ada dua orang polis yang mengawasi
orang-orang yang mengunjunginya dan murid-muridnya. Itu ertinya adalah
penjara dalam bentuk lain. Akan tetapi kita melihat beberapa perubahan
pada kehidupan Sheikh Badiuzzaman setelah keluar penjara. Dahulu Sheikh
tidak pernah membenarkan seorang pun untuk menginap di dalam rumahnya,
sehingga pintu rumah selalu dikunci mulai maghrib sampai fajar keesokan
harinya. Akan tetapi sekarang, kerana umurnya yang telah tua dan kerana
perlu rawatan, maka beberapa muridnya menginap di salah satu kamar dan
mereka tidak masuk ke kamarnya kecuali permintaanya.
Pada
tahun itu (1949M), risalah-risalah an-Nur tersebar luas kerana setelah
keputusan bebas yang dikeluarkan oleh berbagai mahkamah beliau
mengizinkan untuk dicetak dengan mesin memiograf (mesin cetak). Ribuan
naskah yang dicetak tersebar di desa, daerah dan kota-kota sehingga
menarik banyak pengikut dan menyalakan lampu iman di dalam ribuan hati.
Demikianlah
“Pergerakan an-Nur” bergerak di dalam realiti masyarakat Turki. Tidak
seorang pun dapat menafikannya. Pengadilan yang silih berganti atas
Sheikh Badiuzzaman dan murid-muridnya tidak dapat menjadi penghalang di
depan pergerakan ini. Bahkan hikmah Allah berkehendak sebaliknya,
pengadilan-pengadilan ini menjadi alat yang efektif untuk menyebarkan
risalah-risalah an-Nur. Yang demikian itu kerana pembelaan mengagumkan
yang disampaikan oleh Sheikh Badiuzzaman di alam mahkamah-mahkamah
tersebut – yang diadakan secara terbuka – merupakan sebaik-baik alat
untuk menerangkan tujuan risalah-risalah an-Nur dan membongkar tujuan
orang-orang yang menentangnya. Pembelaan tersebut ditulis oleh
murid-murid an-Nur dan disebarkan secara rahasia kepada orang banyak.
Begitu pula pengadilan-pengadilan tersebut – dan kejadian sebelumnya,
yaitu penangkapan murid-murid an-Nur dan penahanan mereka – adalah
sebaik-baik alat untuk berkenalan dikalangan murid-murid an-Nur yang
datang dari berbagai desa, daerah dan kota, sehingga penjara menjadi
tempat berkenalan, bersatu, bersahabat dan mengajarkan huruf Arab serta
memperbaharui janji menadzarkan diri mereka untuk berkhidmat demi Islam.
Benar-benar ia adalah “Sekolah Yusuf”.
Mahkamah Afiyun
telah memutuskan untuk merampas risalah-risalah an-Nur, akan tetapi
mahkamah bandingan membatalkan keputusan ini kerana bersandar kepada
mahkamah tinggi di Denizli yang telah memutuskan keputusan pembebasan
risalah-risalah an-Nur dan membenarkannya diedarkan. Kerana kejadian
tersebut, maka mahkamah lain diadakan untuk meneliti kembali perkara
ini. Ketika mahkamah sedang melaksanakan sidang-sidangnya, pemerintah di
Ankara telah ditukar, kerana Parti Demokrasi memegang kendali
pemerintahan pada tahun 1950M setelah menang dalam pemilihan umum bebas
yang pertama kali di Turki dengan mengalahkan Parti Rakyat Republik yang
telah memerintah negara selama seperempat abad dan yang menonjol dengan
permusuhannya yang sengit terhadap Islam pada masa pemerintahannya.
Ketika
Parti Demokrasi memegang pemerintahan, mereka mengeluarkan ampunan umum
di dalam negara. Demikianlah perkara ini ditutup. Setelah tinggal
selama dua bulan di kota Afiyun, Sheikh Badiuzzaman bersama
murid-muridnya menuju Emirdag. Beliau tinggal di sana selama dua tahun.
Setelah itu beliau mengunjungi kota Aski Syahar pada tahun 1951M. Ini
adalah kunjungan bebas pertama yang dilakukannya, kerana sebelumnya
beliau tidak bisa melakukannya sebelum tahun 1950M. Di sana beliau
bertemu dengan murid-muridnya yang lama dan baru. Sheikh Badiuzzaman
tinggal selama satu setengah bulan di kota ini, di hotel Yeldez. Beliau
bertemu dengan semua peringkat rakyat yang terus-menerus mengunjunginya.
0 comments:
Post a Comment