"Akal adalah makhluk Allah terbesar yang melayakkan manusia menjadi khalifah-Nya. Tunjuk peta fikiran yang benar dan mendudukkan ilmu pada martabat yang sebenar supaya terjadi seperti sebatang pokok yang bermula dari akar tunjang, perdu, batang, cabang ranting, daun, bunga dan buah." - Ustaz Abdul Halim Abas

Monday, January 21, 2013

Bab 2: Perang Dunia Pertama dan Darul Hikmah (bah.5)

DALAM PERANG DUNIA PERTAMA


Pertempuran berdarah meletus di medan Caucus pada Perang dunia Pertama. Rusia berusaha bergerak menuju ke Istanbul. Pada 16 Februari 1916M, tentera Rusia yang berjumlah tiga kali ganda tentera Uthmaniah mampu memasuki kota Erzurum.

Dalam pertempuran ini Said Nursi berjuang bersama murid-muridnya melawan Rusia dengan segenap kemampuan mereka. Dalam pertempuran ini pula di parit-parit medan perang, Said Nursi mengarang buku “ Isyarat al-‘Ijaz fi Madhan al-Ijaz ” dalambahasa Arab. Beliau menyampaikannya kepada muridnya yang bernama Mulla Habib. 

Ketika tentera Rusia memasuki kota Bitlis, Said Nursi dan murid-muridnya mempertahankan kota tersebut dengan keberanian yang luar biasa. Pertempuran sengit terjadi di jalan-jalan dan pelosok-pelosok kota. Akan tetapi angkatan tentera Rusia lebih unggul daripada angkatan kecil pembela tanah air tersebut. 

Dalam pertempuran ini Said luka parah. Beliau terjatuh ke dalam danau di bawah sebuah jambatan bersama seorang muridnya. Beliau pengsan selama tiga puluh jam kerana banyak darah yang mengalir keluar dari tubuhnya. Ketika muridnya tahu bahawa darah yang terus-menerus mengalir dan hawa yang dingin akan membawa maut kepada Sheikhnya, maka dia pergi menyampaikan perkara tersebut kepada tentera Rusia. 

Demikianlah Said Nursi ditawan oleh Rusia. Beliau dihantarkan ke sebuah kem di Qustarma di timur Rusia. (17)

KEGAGAHAN SEORANG TAWANAN MUKMIN
Di sana beliau diadili ke mahakamah perang dengan tuduhan menghina Tzar dan tentera Rusia. Ceritanya adalah seperti berikut:

Waktu itu, bapa saudara Tzar yang menjadi komandan umum tentera Rusia, Nicolai Nicolavich, mengunjungi kem tahanan. Semua orang berdiri menghormatinya kecuali Said Nursi. Komandan itu memperhatikan hal tersebut lalu dia datang semula dan lalu di hadapan Said Nursi sekali lagi. Akan tetapi beliau tetap tidak berdiri menghormatinya. Pada kali ketiga komandan berdiri di hadapan beliau dan terjadilah dialog mengagumkan di antara keduanya dengan perantaraan penterjemah seperti berikut:
- Nampaknya kamu belum kenal siapa aku?

- Tidak. Saya kenal siapa kamu. Kamu ialah Nicolai Nicolavich, bapa saudara Tzar dan komandan umum di medan Caucus.

- Jadi mengapa kamu menghinaku?

- Tidak. Saya tidak menghina sesiapapun. Saya melaksanakan perintah aqidahku.

- Apa yang diperintahkan oleh aqidahmu?

- Saya adalah ulama’ Islam. Saya membawa iman di dalam hati saya. Orang yang di dalam hatinya membawa iman adalah lebih baik dari orang yang tidak beriman. Kalau saya berdiri menghormatimu nescaya saya tidak menghormati aqidah dan keyakinanku. Jadi saya tidak berdiri dan menghormatimu.

- Dengan mengatakan saya tidak beriman beerti kamu telah menghinaku, menghina tenteraku, bangsaku dan juga Tzar. Mahkamah tentera harus dibentuk untuk mengadili perkara ini! 

Akhirnya mahkamah pun ditubuhkan dan Said Nursi diadili ke mahkamah tersebut dengan tuduhan menghina Tzar Rusia dan bangsa serta tenteranya. Suasana dipos tahanan diliputi dengan kesedihan. Said dikelilingi oleh para tawanan lain dari Turki, Jerman dan Austria. Mereka memintanya supaya memohon ampun dari Tzar Rusia. Akan tetapi beliau menolaknya dengan tegas. Beliau berkata, “Saya suka pergi ke akhirat dan berdiri depan Rasulullah s.a.w. Jadi saya hanya memiliki pasport ke akhirat. Saya tidak akan berbuat sesuatu yang menyalahi imanku.”

Mahkamah membuat keputusan untuk menghukum Said hingga mati. Pada hari perlaksanaan hukuman, beberapa perajurit yang diketuai oleh seorang komandan Rusia datang untuk mengambilnya dari tempat hukuman. Said Nursi bangun dari tempatnya dengan gembira sambil berkata kepada komandan tersebut, “Saya harap kamu membiarkan saya sebentar untuk menunaikan kewajipan terakhir saya.” Lalu beliau berwudu’dan solat doa raka’at.

Setelah solat, komandan umum datang kepadanya dan berkata, “ Saya meminta maaf kepadamu. Dahulu saya anggap bahawa kamu melakukan perkara itu untuk menghinaku. Sekarang saya yakin bahawa kamu melakukan apa yang diperintahkan oleh aqidahmu dan imanmu. Oleh kerana itu, keputusan mahkamah telah saya batalkan. Dan saya mengucapkan selamat atas ketabahanmu dalam memelihara aqidahmu. Sekali lagi saya meminta maaf.” (18)

KENANGAN KETIKA DITAWAN

Setelah menjadi tawanan selama dua tahun, empat bulan dan empat hari Said Nursi akhirnya dapat melarikan diri kerana terjadinya pemberontakan Bolshevik dan huru-hara di sana. Beliau lari ke Jerman. Di sana beliau disambut dengan meriah. Kemudian beliau menuju ke Istanbul.

Said Nursi menuliskan kenangannya pada hari-hari tawanan. Katanya, “Ketika Perang Dunia Pertama saya menjadi tawanan di kota yang sangat jauh, di timur laut Rusia yang disebut Qustarma. Di sana ada sebuah masjid kecil milik bangsa Tartar di tepi Sungai Volga yang mahsyur. Di kalangan para komandan tawanan saya paling sedih, lalu saya pilih untuk mengasingkan diri. Saya tidak boleh berjalan-jalan ke luar tanpa izin. Kemudian saya diperbolehkan untuk berteduh di masjid tersebut dengan jaminan para penduduk Tartar. Di dalamnya saya tidur seorang diri. Musim bunga hampir tiba. Di situ waktu malam terasa amat panjang. Saya tidak boleh tidur pada malam-malam yang gelap itu kerana merasa sedih dengan keterasingan yang gelap itu. Tidak mendengar apa-apa kecuali suara gemersik air Sungai Volga dan rintikan air hujan dan dendang perpisahan dari bunyi angin. Semua itu cukup membangunkan aku sementara waktu dari tidur –kelalaian yang nyenyak. Meskipun saya belum menyiapkan diri sebagai orang yang tua, akan tetapi orang yang menyaksikan Perang Dunia Pertama pasti akan berubah. Hari demi hari berlalu membuatkan anak-anak- berubah kerana kedahsyatannya. Seakan-akan salah satu rahsia daripada rahsia-rahsia ayat Al-Qur’an: “Hari yang membuat anak-anak beruban” (Surah al-Muzammil: 17) telah terjadi. Meskipun umurku baru mencapai empat puluh tahun akan tetapi saya merasa seolah-olah sudah berumur lapan puluh tahun.

Pada malam-malam hari yang gelap, panjang dan menyedihkan itu dan di dalam suasana yang penuh dengan kesedihan kerana keterasingan itu dan melihat peristiwa yang memedihkan itu, putus asa yang berat menyelinap ke dalam dada mengenang kehidupan dan tanah airku. Setiap kali saya menoleh pada kelemahan dan keterasinganku, putuslah harapanku. Akan tetapi pertolongan dari Al-Qur’an Al-Karim tiba-tiba mendatangiku. Lisanku mengulang-ngulang:

“Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah sebaik-baik pelindung.” (SurahAli Imran: 173 ) hatiku menangis dan menjerit, “Saya terasing… saya lemah… saya tidak berdaya… saya menginginkan keamanan… saya mohon maaf… saya meminta pertolongan di pintu-Mu wahai Tuhanku..”

Adapun jiwa saya mengenang kawan-kawan lama yang tersayang di negeriku dan menggambarkan kematianku di pengasingan ini, ia telah terukir di dalam bait-bait syair Niyazi al-Misri, iaitu bait-bait mencari kawan:

“Aku telah melewati kesedihan dunia
Sayapku ku bentangkan menuju kehampaan
Terbang dalam kerinduan
Menjerit tiap saat:
“Kawan! Kawan!”

Namun kelemahan dan ketidakupayaanku pada malam-malam yang menyedihkan, panjang dan penuh dengan perasaan perpisahan, kelemahan dan keterasingan ini telah menjadi dua wasilah untuk bertaqarrub kepada Allah Ta’ala dan menjadi penolong untuk mengadu kepada-Nya sehingga kini saya masih hairan mengapa saya boleh, hanya dalam beberapa hari sahaja melarikan diri dan menempuh jarak yang tidak mungkin ditempuh dengan jalan kaki kecuali setahun berlalu dengan cepat sekali; tambahan pula saya tidak tahu berbahasa Rusia. Saya mampu membebaskan diri dari penawanan yang aneh sekali iaitu dengan pertolongan Tuhan, setelah mengetahui kelemahan dan ketidakupayaanku. Saya tiba di Istanbul dengan melewati Warsaw dan Vienna. Demikianlah saya selamat dari penawanan itu dengan aneh sekali kerana begitu mudahnya. Perjalanan melarikan diri yang lama itu saya tempuh dengan mudah dan menyenangkan. Padahal orang yang paling berani, paling cerdik dan paling tangkas serta pandai berbahasa Rusia pun belum tentu boleh melakukannya.” (19)

DARI DAR AL-HIKMAH AL-ISLAMIYYAH

Di Istanbul pada 13 Ogos 1918M, Badiuzzaman dilantik tanpa pengetahuannya sebagai anggota Dar al-Hikmah al-Islamiyyah sebagai penghormatan untuknya. Keanggotaan Dar al-Hikmah tersebut tidak diberikan kecuali kepada para tokohdan ulama’ yang menonjol. Anggotanya antara lain adalah: Penyair yang terkenal Muhammad Akif, ulama’ Ismail Haqqi, ahli tafsir yang mahsyur Hamdi Alamili, Syaikh Islam Mustafa Sabri, Sa’duddin Basha dan lainnya.

Said belum pernah menyertai pertemuan Dar al-Hikmah kerana memang sangat memerlukan istirehat setelah menderita di dalam tawanan. Kerana sering tidak hadir maka beliau mengundurkan diri dari keanggotaan ini. Ketika itu pemerintahan telah memperuntukkan gaji untuknya. Beliau tidak menerima gaji tersebut kecuali untuk keperluan hidupnya. Bakinya beliau gunakan untuk mencetak beberapa risalah untuk disebarkan di kalangan kaum Muslimin secara rawak.

Anak saudaranya, Abdurrahman, yang tinggal bersamanya ketika itu berkata di dalam surat yang ditujukan kepada bapa saudaranya, Abdul Majid, “Saya sungguh hairan dengan sikap bapa saudara saya (Said). Beliau telah memadamkan harapan keduniaanku. Pemerintah telah memberi beliau gaji yang amat besar. Sayamenyimpan baki yang tertinggal dari keperluan kami. Beliau waktu itu telah banyak menulis buku dan suatu hari beliau memanggilku, “Pergilah. Panggilkan pengarah percetakan itu.” Lalu saya pun pergi. Ketika beliau menyerahkan karangan-karangannya kepada pengarah tersebut beliau berkata kepadaku, “ Hai Abdurrahmana! Ambil wang yang kamu simpan dan berikan kepada pengarah ini.”Maka saya pun melakukan apa yang disuruhnya. Ketika pengarah itu telah pergi mata saya bergenang dengan air mata, akan tetapi saya terus menghiburkan diri sambil berkata di dalam hati, “buku-buku itu akan dicetak dan dijual. Wang itu pasti kembali dan nanti saya akan simpan wang itu.”

Akan tetapi selang beberapa hari beliau mengutusiku lagi untuk memanggil pengarah percetakan tersebut. Kali ini beliau berkata kepada pengarah, “ Saya memohon engkau menulis di atas buku-buku saya bahawa ia dibahagi-bahagikan kepada umat Islam secara menyeluruh.” Ketika pengarah itu keluar, saya merasakan bahawa ikatan batin yang saya alami dengan bapa saudaraku yang besar ini telah goyah. Saya tidak mampu menahan perasaan untuk tidak menangis. Saya berkata kepada beliau, “Wahai bapa saudaraku! Saya menyimpan wang-wang itu untuk membangunkan rumah kita yang telah dimusnahkan oleh peperangan akan tetapi sekarang engkau telah menghancurkan harapan itu. Bolehkah begitu?” Bapa saudaraku tersenyum kepadaku seraya berkata, “Hai anak saudaraku..Abdurrahman! Pemerintah memberi gaji besar kepadaku sedang aku tidak berhak mengambilnya kecuali sekadar untuk keperluan kita. Baki yang selebihnya itu harus dikembalikan kepada baitul mal. Maka saya telah mengembalikannya kepada kaum Muslimin. Saya yakin engkau belum memahaminya, akan tetapi saya tahu bahawa jika Allah mengkehendakinya, Dia pasti memberimu rumah di mana sahaja di tanah air yang tercinta ini.” (20)

Kongsikan :

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...