"Akal adalah makhluk Allah terbesar yang melayakkan manusia menjadi khalifah-Nya. Tunjuk peta fikiran yang benar dan mendudukkan ilmu pada martabat yang sebenar supaya terjadi seperti sebatang pokok yang bermula dari akar tunjang, perdu, batang, cabang ranting, daun, bunga dan buah." - Ustaz Abdul Halim Abas

Monday, January 21, 2013

JALAN MENDAKI YANG SUKAR


FI SABILILLAH

Allah menyuruh umat Islam mencari rezeki dan kekayaan serta menyuruh mereka membelanjakan pula hasil yang halal tadi ke jalan Allah (Fi Sabilillah).

JALAN MENDAKI YANG SUKAR

Di sini Allah mengajar umat Islam cara membina ekonomi daripada kekuatan ukhwah. Allah menasihati umat Islam supaya tidak mensia-siakan harta benda ke arah kebatilan. Mereka disuruh berkongsi nikmat kekayaan di kalangan mereka. Setiap individu yang berada, perlu menyelamatkan saudara Islamnya yang kesempitan, ditindas dan serba kekurangan. Allah Yang Maha Agung mengibaratkan berbelanja di jalan Allah itu adalah satu ‘JALAN MENDAKI YANG SUKAR’. 

Sesungguhnya berbelanja di jalan Allah itu amat leceh dan berat sekali. Tiada pula imbalan fizikal yang boleh ditunjukkan pada manusia dan jalan ini juga tidak suka ditempuh kebanyakan orang (takut dan tak tahan diuji).

Allah SWT bertanya kepada kita,
“Tahukah kamu apakah yang dikatakan dengan jalan mendaki yang sukar itu?” (Al Balad:12)

Lalu Allah SWT memberi jawapan,
"Iaitu membebaskan hamba dari penghambaan, atau memberi makan pada hari kelaparan, (kepada) anak yatim yang bertali kerabat, atau orang miskin yang menderita kepapaan. Kemudian dia termasuk dalam orang yang beriman dan berwasiat antara satu sama lain supaya berhati teguh dan berkasih sayang." (Al Balad:13-17) 

KEMANISAN AMAL JARIAH

Di sini, Allah sangat memberi perhatian kepada orang miskin dan papa kerana keadaan umat Islam yang begini selalu tertekan.  Allah juga telah memberi jalan keluar bagi permasalahan ini. Allah Yang Maha Mengasihani telah mengurniakan kepada orang Islam kekuatan dan nikmat beramal jariah. Dengan amal jariah inilah Nabi SAW dapat sedikit sebanyak membina kekuatan Islam di Makkah. Malahan dengan cara ini, umat Islam dipupuk dalam hati mereka rasa cinta kepada saudara seagama sehingga sanggup bergadai harta dan nyawa. INILAH YANG DIKATAKAN KEMANISAN MEMBELANJAKAN HARTA BENDA YANG HALAL DI JALAN ALLAH. 

KEMUNCAK KEHIDUPAN SEORANG MUSLIM

Rupa-rupanya Allah SWT sangat sukakan perbuatan orang-orang yang membelanjakan harta pada jalanNya. Maka atas berkat Pandangan Allah ke atas perbuatan mereka yang ikhlas, Allah SWT telah mengangkat martabat mereka dengan mengabadikan sifat mereka ini dalam Surah Al Balad pada ayat 17 dan 18. Beruntunglah orang-orang yang termasuk dalam golongan yang dimaksudkan Allah dalam ayat ini. Sifat mereka adalah antara setinggi-tinggi iman. Mereka berpesan-pesan ke arah kebaikan, berhati teguh dan berkasih sayang. Mereka ini dikatakan golongan KANAN (manusia yang diterbangkan amalannya dan singgah pada tangan kanan di Padang Mahsyar kelak).

TULANG BELAKANG

Mereka adalah tulang belakang kepada perjuangan Islam. Segala harta yang halal dibelanjakan terus ke jalan kebaikan dan dilabur untuk perjalanan Islam. Contoh sahabat Nabi SAW yang banyak berkorban harta dan kekayaan antaranya Saidina Abu Bakar, Abdul Rahman Bin Auf dan Uthman Bin Affan r.a. Manusia yang seperti ini, mereka diwujudkan Allah sepanjang zaman. Insan-insan yang berbakti sebegini sentiasa berasa ingin berlumba-lumba melakukan amalan supaya diri mereka dekat kepada Allah, dipandang olehNya dan diredhai olehNya.

UMAT ISLAM YANG SENSITIF

Mereka amat sensitif dengan isu  Islam. Mereka sangat prihatin terhadap ummah  terutama dalam hal kebajikan orang miskin dan golongan yang lemah seperti peniaga yang tidak cukup modal dan dipulaukan, anak yatim yang tidak terbela, ekonomi Islam yang tak berkembang dan dakwah Islam yang menghadapi kesukaran. Mereka inilah pejuang-pejuang yang membela kewangan, ekonomi dan kebajikan umat Islam. Dalam jiwa mereka telah tertanam suatu perasaan cintakan amal kebaikan. Mereka tidak ragu-ragu berkorban dan membelanjakan wang untuk jalan-jalan keagamaan.

ANCAMAN ALLAH

Allah mengancam orang yang menyangkal keteranganNya dengan seksaan api neraka. Walhal, mereka ini juga berjuang dengan harta benda dan nyawa mereka, tetapi perjuangan mereka itu lebih kepada hendak menghancurkan umat Islam. Sesungguhnya mereka itulah yang dimaksudkan golongan KIRI (manusia yang diterbangkan amalan dan singgah pada tangan kiri di Padang Mahsyar kelak).

HALAL + HARAM

Selain itu, bagi umat akhir zaman yang  mencampur-adukkan perbuatan halal dan haram yakni mengambil kedua-dua jalan (buat kebaikan dengan sumber wang yang tidak bersih), mereka juga dalam kerugian yang amat sangat. Mereka semua tidak diberi Rahmat malahan mereka dikurung di dalam neraka dalam tempoh yang lama, tanpa ada masa rehat, sentiasa didera dan dihina di Akhirat kelak. Neraka Allah itu baunya sahaja pun dapat membunuh dari jarak 500 tahun perjalanan. Itulah sekeji-keji tempat, namun ramai antara umat Islam yang tidak mengambil berat soal ini kerana bagi mereka selagi mereka bernaung di bawah syafaat Qubra (dua kalimah syahadat) mereka tetap akan dapat masuk ke syurga. Mudahnya bagi mereka memikirkan hal syurga neraka sepertimana mudahnya mereka menilai hal halal dan haram. Tahukah mereka betapa dahsyatnya neraka Allah itu? Manusia yang sudah dicampak ke sana diseksa berterusan sehingga datang keampunan Allah kepada mereka. Itu pun jika Allah mahu beri keampunan. Terbakarlah mereka di dalamnya berjuta-juta tahun di alam yang kekal abadi itu bersama segala macam manusia dan jin yang melakukan kemungkaran semasa hidup di dunia.

Kongsikan :

0 comments:

Post a Comment

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...