Maruah Umat Islam
Apa itu maruah? Apa pentingnya maruah? Bagaimana menjaga maruah? Apa jadi kalau hidup tanpa maruah?
Bagaimana cara menaikkan imej umat Islam?
Seringkali
kita dengar orang bercakap tentang maruah. Ibu bapa berpesan kepada
anak-anak supaya jaga diri di luar. Tujuannya agar maruah tidak tercemar
dengan tingkah laku anak mereka sekiranya berlaku sumbang. Para ulama
dan cendiakwan juga berpesan kepada masyarakat supaya jaga maruah umat
agar kita sentiasa dipandang tinggi oleh orang lain. Pemimpin negara
juga sentiasa menyebut tentang maruah terutama untuk menaikkan semangat
agar cinta negara dan berbakti kepada ibu pertiwi.
Maruah
ialah nilai kebaikan atau kemuliaan diri sesuatu bangsa dan seseorang
manusia. Maruah juga dikatakan kehormatan diri ataupun Izzatun Nafsi.
Pada bahasanya maruah ini bolehlah dikatakan sebagai harga diri yang
perlu dijaga supaya tidak dipandang rendah dan tidak dihormati. Nilai
maruah seorang muslim bergantung kepada berapa bagus dia melaksanakan
tuntuntan syarak ke atas dirinya dan ahli keluarganya serta seluruh
masyarakat sekelilingnya. Di sini keprihatinan seorang muslim ke atas
orang-orang di sekitarnya menjadi ukuran dirinya adakah mempunyai maruah
yang tinggi ataupun sebaliknya. Seorang muslim yang bermaruah tidak
sanggup melihat jirannya kelaparan sedangkan dia cukup makannya pada
hari itu. Seorang muslim yang bermaruah, paling tidak akan meletakkan
papan penanda di atas lubang-lubang jalan di sekitar tempat tinggalnya
dengan niat supaya manusia yang melalui jalan itu selamat dari jatuh ke
dalam lubang. Seorang muslim yang bermaruah menitik beratkan ilmu
pengetahuan yang baik untuk dirinya, keluarganya serta seluruh
masyarakat di sekitarnya. Seorang muslim yang bermaruah tidak rela jika
hukum-hukum Islam ditentang dan penentang-penentang itu baginya perlulah
diberi peringatan supaya tidak melampaui batas. Seorang muslim yang
bermaruah jiwanya lembut dan penuh kasih sayang namun mendidih darahnya
apabila agama Islam diperlekehkan. Seorang muslim yang bermaruah apabila
mengembara, dia akan membawa manfaat kepada orang-orang yang ditemuinya
di dalam perjalanan. Buktinya mereka sentiasa berhubung antara satu
sama lain untuk mengekalkan silaturahim. Seorang muslim yang bermaruah
tidak suka akalnya diperendah-rendahkan kerana baginya akal yang tinggi
menjamain kedekatannya kepada Tuhan kerana dengan akal yang tinggi
sahaja kebaikan dapat ditegakkan dan kemungkaran dapat dicegah
habis-habisan. Orang Islam yang bermaruah juga tidak akan membiarkan
akalnya kosong tanpa ilmu lalu akalnya itu diisi dengan
'makanan-makanan' yang baik. Orang Islam yang bermaruah sangat hormat
kepada orang tua, tok-tok guru yang arifbillah, apatah lagi terhadap
keduan orang tuanya. Orang Islam yang bermaruah akan mempertahankan
pemimpin yang takut Tuhan dan tidak redha duduk di bawah kepemimpan yang
fasik. Orang Islam yang bermaruah tidak mahu makan dari hadiah dan
sedekah tetapi lebih suka berada pada pihak yang banyak memberi. Orang
islam yang bermaruah tidak suka menarik perhatian manusia ke atas
dirinya sebaliknya segala kerjanya sedaya upaya disembunyikannya. Orang
Islam yang bermaruah, besar jiwanya dan prihatin dia terhadap
pembangunan ummah. Orang Islam yang bermaruah itu pemikirannya tepat
dalam membezakan hal yang haq atau yang batil secara tersurat dan
tersirat.
Maruah Islam terangkat jika harga diri
umatnya ditingkatkan. Harga diri inilah yang paling penting kita
usahakan sekarang ini. Jika tidak diusahakan, sedikit masa lagi umat
Islam akan dipandang lebih hina dari yang sekarang. Sudahlah ditindas di
serata dunia, para pemimpin pula bersikap opportunis dengan memihak
kepada kuasa-kuasa jahat demi mempertahankan kedudukan. Umat Islam
sebenarnya sudah terkenal dengan sikap berani mati. Tapi pada saat ini
kita perlu berani mati untuk apa? Adakah demi mempertahankan orang
fasik? Atau demi mempertahankan pemimpin-pemimpin yang tidak takut
Tuhan? Atau mempertahankan pihak-pihak tertentu yang kita ini berkongsi
kepentingan dengan mereka? Di manakah semangat sanggup berkorban untuk
agama? Adakah kita berkorban untuk agama dengan cara mempertahankan
orang fasik? Atau adakah kita tidak sedar pemikiran kita telah
dimanipulasi untuk berjuang atas tujuan yang tidak jelas dalam erti kata
lain sekadar ikut-ikutan?
Berkorban bukanlah maksud
berkorban nyawa, apa yang diperlukan sekarang ialah pengorbanan umat
Islam dalam memperjuangkan ekonomi Islam, pendidikan Islam dan segala
keperluan asas bagi umat Islam. Sebagai umat Islam maruah hanya dapat
ditegakkan dengan mengusahakan pendidikan yang bertepatan dengan
kehendak Allah dan Rasul. Berusaha membaiki akhlak umat Islam itu juga
satu pengorbanan, maksudnya orang-orang yang melakukan uasah-usaha itu
ialah orang yang sanggup berkorban. Akhlak yang mulia itu ibarat bunga,
semua orang tertarik padanya. Islam itu sebenarnya dipandang di sudut
akhlak umatnya terutamanya golongan pemimpin dan ulama. Apabila
pemimpinnya rosak, rosaklah orang bawahannya. Apabila Ulamanya jahat,
maka jahat pulalah para pengikutnya. Akhlak yang mulia yang menghiasi
diri seperti jujur, amanah, rajin, ikhlas, sabar, prihatin, tawaduk,
kasih sayang, peka, pemurah dan berani inilah imej Islam sejati.
Kadang-kadang terjadi, seorang muslim itu Ilmunya tentang agama bukan
kepalang tetapi apabila berjanji dan berurus niaga berunsur khianat. Ini
namanya Islam separuh-separuh. Ianya ibarat wanita yang pakai tudung
tapi bebas bertepuk tampar dengan yang bukan muhrim. Bila solat mahu
jadi imam, tetapi bila bercakap sentiasa takbur. Orang-orang yang
berilmu pula apabila bercakap hanya cakap-cakap kosong, tidak memberi
manfaat kepada pendengar. Ini semua namanya Islam hanya pada rupa tetapi
tidak pada akhlaknya. Terbalik dengan segelintir tokoh-tokoh dunia yang
personaliti luarannya nampak indah namun berkarat di dalam. Namun pada
hakikatnya inilah satu penipuan demi mencapai tujuan dunia. Jadi apa
yang perlu dibaiki di sini?
Umat Islam sepatutnya
berbangga dengan jati diri mereka. Tiada dalam agama, budaya atau
kehidupan bukan Islam yang mendidik tentang maruah. Iman, Islam dan
akhlak tidak boleh dikompromi. Jika cicir salah satunya maka rosaklah
nilainya. Jika maruah sudah tercemar ataupun sudah tiada nilainya maka
lahirlah manusia-manusia yang menggadai Tuhan, menggadai Nabi, menggadai
bangsa. Lebih parah lagi jika orang-orang ini berpura-pura baik di
depan masyarakat. Orang Islam yang kurang akalnya akan mudah terpengaruh
dengan manusia-manusia yang semacam ini. Akhirnya, maruah Islam
tercemar dalam tangan-tangan mereka.
Kadang -kadang
timbul rasa takut pada diri umat Islam dengan bermacam-macam andaian
tentang Islam. Mereka tidak yakin sepenuhnya bahawa umat Islam hanya
akan jadi maju dengan memperjuangkan iman, Islam dan akhlak. Segelintir
mereka tidak faham sekiranya mereka terus tunduk dengan undang-undang
Taghut, Islam tidak akan maju sampai bila-bila. Di setengah tempat, umat
Islam ditakut-takutkan oleh pemimpin mereka sendiri yang beragama
Islam. Mereka ini adalah pemimpin-pemimpin beragama Islam yang kebetulan
lahirnya sudah Islam tetapi amat membenci Islam, cuma jika mahu
isytihar benci Islam takut pula hilang sokongan kerana memerintah di
negara yang majoritinya orang Islam. Ini namanya pemimpin munafik.
Pemimpin begini kalau dibiarkan terus berkuasa, selepas sepuluh atau dua
puluh tahun sudah pasti Islam dikikisnya sikit-sikit dari hati rakyat.
Umat
Islam kini seolah-olah lupa bahasawanya Islam tersebar dengan luas
kerana akhlak orang-orangnya yang sangat baik. Buktinya Rasulullah SAW
dan para sahabat diundang ke Madinah untuk jadi pemimpin sedangkan
pergerakan mereka di Mekah pada waktu sebelum Hijrah sangat terbatas.
Bagaimana orang Madinah menjadi sangat tertarik dan yakin dengan
kepimpinan Rasulullah SAW? Bagaimana juga Rasulullah SAW boleh jadi
terkenal di Madinah malah dirindui kedatangannya di sana? Salahuddin Al
Ayyubi yang bangkit di kalangan umat Islam yang lain, sanggup mati
menentang kafir Eropah serta pengkhianat Islam di Palestin. Saladin
diangkat bukan sahaja oleh orang-orang Islam tetapi dipuja oleh sekalian
orang Eropah. Sewaktu menggempur Baitul Maqdis, beliau memilih panglima
tentera yang warak serta yang menjaga akhlak dengan Allah untuk
bertempur dengan tentera Ricahard. Beliau sangat teliti dengan akhlak
sehingga menjadi tauladan kepada Richard sendiri yang di waktu itu
terkenal garang dan berani. Sultan Muhammad Al Fateh yang pernah disebut
Rasulullah SAW keperibadiannya dalam hadis, berjaya menundukkan
kekuasaan Byzantin di Istanbul memiliki tentera yang berakhlak mulia,
berdisiplin dan taat kepadanya. Said Nursi Bediuzzaman digeruni Sultan
Ottoman dan dibimbangi pengaruhnya pada era Attarturk, memilih jalan
berkorban demi agama Islam sehingga setiap duit dan harta yang ada
padanya digunakan untuk mencetak buku-buku agama untuk diberikan kepada
umat Islam secara percuma. Beliau bergerak tanpa jemaah yang besar cuma
dibantu sedikit sebanyak oleh para simpati dan akhirnya pada zaman itu
beliau dianggap sebagai peneyelamat akidah umat Islam. Imam Shamil di
Chechnya terkenal gagah dan nekad memperjuangkan hukum-hukum Allah.
Beliau berjaya menyatukan sekitar 40 suku-sakat Balkan di bawah panji
Islam untuk mempertahankan Daghestan dan Chechnya serta sekitar kawasan
Kaukasus daripada pencerobohan tentera Tzar dari Russia. Beliau
mendokong tinggi syariat dan Hukum Allah dan bersedia menjatuhkan
hukuman berdasarkan undang-undang Islam hatta kepada ibunya sendiri.
Cita-citanya sangat besar iaitu kalau diizinkan Allah mahu saja dia
gempur Kristian Russia di St. Petersburg dan Moscow. Tidak kurang
hebatnya dengan perjuangan wali-wali Allah di Nusantara Indonesia dan
Tanah Melayu terutamanya di Acheh, Perak, Pahang , Kelantan, Terengganu,
Kedah dan Negeri Sembilan. Mereka ialah pejuang yang berusaha
mempertahankan Islam dalam jiwa masyarakat melayu yang tanahnya dijarah
oleh orang kafir selama 446 tahun.
Untuk menjadi
orang Islam yang bermaruah, bijaksana, maju, moden dan bertamadun, kita
perlu kembali kepada jalan Islam yang bertepatan dengan apa yang
disampaikan oleh Rasulullah SAW, para sahabat dan salafussoleh. Identiti
dan maruah diri umat Islam perlu dibina semula dengan ciri-ciri akhlak
mereka. Tugas para pendidik dan pendakwah bukan sahaja mengislamkan
orang malah mereka juga bertanggungjawab mencetak watak-watak pejuang
yang bijak, berani dan berakhlak. Kerja mendidik manusia akan mudah
berhasil jika akhlak Islam diterapkan ke dalam jiwa kanak-kanak dan
anak-anak muda. Didik mereka jadi hafiz supaya boleh memperjuangkan
kandungan Al Quran. Sama juga seperti kita hantar anak-anak ke sekolah,
agar suatu masa dapat mereka membela nasib kita di hari tua. Pengorbanan
yang manakah yang kita pilih? Anak yang disediakan untuk perjuangan
Islam atau anak yang disediakan untuk membela diri kita? Sebenarnya
kedua-duanya elok, namun lebih baik kita mempersiapkan mereka untuk
berbakti kepada agama. Tidak kiralah mereka ini belajar ilmu apa sekali
pun, didiklah supaya tertanam cita-cita untuk berkhidmat kepada Islam.
Ekonomi Islam akan maju jika akhlak Islam diterapkan ke dalam
perlaksanaan program-program perniagaan, kewangan dan pengurusan.
Peribadi ahli korporat Islam perlu dibentuk semula agar ada kesedaran
yang tinggi tentang berkorban di jalan Allah demi menyediakan keperluan
umat Islam di sekitar mereka. Dalam erti kata lain, akhlak Islam perlu
diterapkan ke dalam seluruh institusi termasuklah di bidang perubatan,
pertahanan, kenegaraan dan kebajikan.
Iman adalah
pengerak utama untuk menggerakkan dam memandu kemajuan atau tamadun
Islam. Hukum-hukum Allah hendaklah dibangunkan agar menjadi syiar
kemuliaan dan ketinggian Islam. Ibarat akhlak yang menjadi bunga bagi
Islam, iman pula adalah untuk mempertahankan maruah Islam. Sistem yang
ada dalam Islam menjadi penentu kepada sistem kehidupan seperti yang
dikehendaki Allah. Al Quran dan sunnah adalah ukuran kepada salah-betul
perlakuan kita. Tanda berjayanya ilmu Islam itu ialah apabila bukan saja
umat Islam dapat manfaat malah seluruh masyarakat bukan Islam turut
dapat menikmati keamanan, kedamaian, keadilan, kesaksamaan dan kasih
sayang. Mereka rasa sangat beruntung hidup di bawah Islam, selamat pula
tinggal dalam tetangga Islam dan rukun damai apabila bermasyarakat
dengan umat Islam. Inilah yang berlaku di Madinah di zaman Rasulullah
s.a.w, dimana ramai manusia yang takut Allah daripada manusia yang
fasik.
Umat Islam yang tidak minat memikirkan nasib
umat mereka akhirnya akan jadi pak turut dan tidak kurang jahatnya
daripada orang-orang fasik. Walaupun kehidupan mereka kaya-raya namun
seluruh kehidupan mereka itu terpaksa menadah tangan kepada orang-orang
fasik untuk menyediakannya. Orang Islam di Dubai gemarkan sukan lumba
unta. Namun unta yang disediakan untuk berlumba itu disusukan dan
diternak oleh penternak Australia di negara mereka sendiri.
Bangunan-bangunan pencakar langit di sekitar Abu Dhabi dan Dubai dibina
oleh jurutera asing, arkitek dan tenaga buruh asing dari Jepun, Korea,
China, Eropah, Amerika, India, Bangladesh, Indonesia dan Filipina
menggunakan duit-duit raja Arab dan pelobi-pelobi mereka. Orang Arab
diajar minum kopi berjenama, lalu syarikat dari Amerika membuka cawangan
kedai-kedai kopi di seluruh negara Arab yang kaya. Keuntungan syarikat
dari Amerika itu 70% datangnya dari hasil perniagaan mereka di
negara-negara teluk. Orang Islam yang gaya hidupnya sudah tidak serupa
Islam walaupun pakaiannya ikut Sunnah, tidak layak diberi harapan untuk
mempertahankan apatah lagi memperjuangkan Islam. Mereka ini umat Islam
yang sudah tiada harga diri. Mereka sangat pemalas pada jasad dan
rohaninya untuk membangunkan Islam malahan perut-perut mereka buncit
dengan makanan, minuman, hiburan dan kesedapan yang tidak putus-putus.
Sehinggakan mereka bersikap buta, tuli pekak dan bisu tentang nasib
saudara mereka di Palestin, Iraq, Syria dan sekitarnya. Oleh itu kalau
sekadar kaya tetapi tidak mahu menyediakan keperluan umat, akhirnya umat
Islam terpaksa duduk di bawah penguasaan orang fasik. Jadi apalah
gunanya kekayaan, kebebasan dan pendidikan jika tidak dipakai untuk
menegakkan hukum Allah?
Oleh itu, apabila umat Islam
mahu kemabali kepada maruah diri maka untuk mempertahankannya biarlah
secara habis-habisan. Apabila sudah sanggup membangunkan cara dan sistem
Islam dalam kehidupan maka tunggulah hasil yang dijanjikan Allah iaitu
masa emas yang dijanjikan untuk umat akhir zaman.
0 comments:
Post a Comment